PANDU UJI: Proton Iriz facelift 2017 – kini lebih matang

PANDU UJI: Proton Iriz <em>facelift</em> 2017 – kini lebih matang

Sejujurnya, wujud perasaan bercampur baur ketika Proton Iriz diperkenalkan pada tahun 2014. Saya amat gembira memandu Iriz versi 1.3L manual kerana pengendaliannya yang begitu dinamik benar-benar dapat dirasai, namun keseronokan berkenaan terbantut ketika memandu versi yang diberikan transmisi CVT, tidak kira 1.3L, mahupun 1.6L yang lebih berkuasa.

Selain dari bunyi berdengung seperti pesawat mahu berlepas, kotak gear CVT itu juga memberikan satu perasaan yang tidak kena – lambat memberikan respon ketika pendikit ditekan, dan memberikan nisbah yang membuatkan enjin meraung tidak tentu hala. Saya percaya, bukan saya sahaja yang tidak puas hati dengan karekter hatchback segmen-B tersebut – tentunya ia menerima perasaan negatif dikalangan pemilik Iriz sendiri.

Setelah tiga tahun dalam pasaran, sememangnya sudah patut Proton memperkenalkan Iriz versi yang lebih matang. Jadi, disamping berita panas berkenaan rakan strategik asing yang kini telah pun sah dipilih semalam, Proton masih sempat untuk memperkenalkan Iriz facelift 2017 serta memberikan kami peluang untuk menguji hatchback kecil ini di litar ujian mereka.

PANDU UJI: Proton Iriz <em>facelift</em> 2017 – kini lebih matang

Jika model terdahulu Iriz diperkenalkan dalam lapan varian, versi kali ini hanya hadir dengan empat varian iaitu 1.3 Standard manual, 1.3 Standard CVT, 1.3 Executive CVT dan juga 1.6 Premium. Ini bermaksud versi dengan kotak gear manual hanya diberikan pada varian 1.3 Standard sahaja. Untuk warna pula, dua pilihan baharu diberikan iaitu Ruby Red dari Perdana dan juga Carnelian Brown dari Persona, manakala warna Citrus Green dan juga Fire Red kini tidak lagi diletakkan dalam brosur.

Untuk bahagian luaran, varian 1.6 Premium paling banyak diberikan perubahan. Namun perincian tambahan yang diberikan pada varian ini agak sukar untuk disedari jika melihatnya sekali imbas. Proton telah memberikan tema warna dua-tona untuk varian tertinggi ini (warna tunggal untuk varian lain) dengan menampilkan bumbung berwarna hitam. Selain itu, spoiler belakang, penutup cermin sisi, serta kemasan pada sebelah atas gril juga diberikan kemasan hitam berkilat sekaligus memberikan imej lebih garang.

Tiada langsung perubahan rupa diberikan pada perincian utama seperti lampu utama, bampar, dan sebagainya. Reka bentuk lampu kabus LED pada varian Premium dan lampu kabus biasa pada varian lebih rendah turut kelihatan sama. Begitu juga dengan rim aloi, rekaan yang sama masih lagi diberikan untuk rim 13-inci (model 1.3) dan rim 15-inci (model 1.6) tanpa sebarang perubahan.

Masuk ke bahagian kabin, Iriz masih lagi diberikan tema warna hitam sepenuhnya bagi membezakannya dengan Persona – menurut Proton, sedan lebih sesuai diberikan tema dua-tona pada bahagian dalaman. Rekaan dalaman juga secara keseluruhan masih lagi sama tetapi diberikan perincian-perincian yang sedikit berbeza.

Pertamanya, paparan instrumen Iriz sebelum ini diganti dengan unit dari Persona. Nampak sama, tetapi sebenarnya ia menampilkan corak tulisan dan digit yang sedikit berbeza, paparan digital bahagian tengah berubah dari merah ke putih dan turut diberikan lampu Eco Assist bagi memberikan panduan untuk pemanduan yang lebih efisien.

Panel plastik di sekeliling paparan instrumen tersebut juga kini diberikan kemasan hitam berkilat (hitam matte sebelum ini), begitu juga panel sekeliling skrin infotainmen yang turut dikilatkan. Bercakap mengenai infotainmen, model Premium kini diberikan skrin baharu yang menampilkan sistem Smart Link, yang membolehkan fungsi screen mirroring diaktifkan bersama telefon pintar – membolehkan aplikasi dari telefon digunakan pada skrin ini.

Untuk tempat duduk pula, model Premium kini tidak lagi diberikan upholsteri kulit sepenuhnya, sebaliknya menggunakan material gabungan kulit dan fabrik. Proton turut menampilkan jalur biru merah pada bahagian tengah (varian lebih rendah turut menerima jalur sedemikian) yang kelihatan seperti livery perlumbaan Martini – mengingatkan saya kepada kereta-kereta rali Proton PERT pada era-90’an yang turut pernah menggunakan livery perlumbaan dengan elemen sama.

Perubahan lain yang dapat dilihat antaranya benang jahitan yang diserlahkan dengan warna merah pada tempat duduk dan roda stereng, manakala model Executive kini turut diberikan sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin. Namun untuk model Premium, ia kini tidak lagi diberikan lampu hadapan automatik dan juga fungsi automatik naik pada tingkap berkuasa sebelah pemandu.

Mungkin perubahan dari fizikal tidak menggambarkan apa yang disebutkan Proton sebagai ‘memperhalusi’, tetapi hakikatnya ia benar-benar dibuktikan ketika anda mula memandu kereta ini. Menerusi apa yang dikecapi pada Persona 2016 dan juga Saga 2016, Proton membuat banyak perubahan untuk memperbaiki aspek respon dan juga kadar NVH kereta ini.

PANDU UJI: Proton Iriz <em>facelift</em> 2017 – kini lebih matang

Sama seperti Persona, Iriz tidak lagi menggunakan empat cagak enjin (mounting point), sebaliknya hanya tiga cagak yang digunakan. Ini membolehkan resonan getaran dari enjin kurang dipindahkan ke badan kereta. Selain itu, pakej tebatan bunyi juga dipertingkatkan bersama sistem ekzos yang kini menggunakan sistem dari Ferucia – sama seperti Persona. Secara keseluruhan, kesemua penambahbaikkan aspek NVH ini telah memberikan penghasilan bunyi lima desibel lebih rendah dari model sedia ada.

Iriz masih dijana enjin 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp pada takat 5,750 rpm dan tork maksima 150 Nm pada takat 4,000 rpm (94 hp/120 Nm untuk versi 1.3 liter VVT). Ia juga masih diberikan transmisi CVT dari Punch yang sama untuk menyalurkan kuasa ke roda hadapan. Walaupun hardware yang digunakan masih sama serta menghasilkan jumlah kuasa yang sama, Proton sebenarnya telah memberikan talaan baharu bagi mengubah karekteristik unit janakuasa ini.

Transmisi ini dapat dirasakan terus ‘menangkap’ sebaik sahaja pedal pendikit ditekan. Kuasa yang diberikan juga begitu linear – kuasa ke roda diberikan seiring dengan kelajuan putaran enjin. Enjin kini tidak lagi mengaum tidak tentu hala dengan kuasa yang tidak dapat dirasakan menolak kereta ini.

Menurut Proton, Iriz kini menghasilkan daya-G maksimum lebih tinggi ketika ia memecut, dan daya maksimum berkenaan dapat dicapai satu saat lebih cepat dari sebelum ini. Elemen baharu yang lebih seronok ini turut dibantu dengan hilangnya bunyi berdengung yang dihasilkan dari transmisi CVT berkenaan.

Proton turut menyatakan tiada apa-apa perubahan dilakukan pada casis khususnya pada suspensi dan stereng kerana bahagian berkenaan sudah pun sedia sempurna. Tetapi, ketika sesi pandu uji ini, kami turut merasakan respon pengendaliannya terutama stereng terasa lebih solid, berkemungkinan jenis tayarnya yang kini telah ditukar kepada tayar Goodyear Assurance (untuk rim 15-inci sahaja) yang sememangnya lebih baik dari tayar sebelum ini.

Secara peribadi, perasaan bercampur baur saya terhadap Iriz sebelum ini boleh dikatakan sudah lenyap. Proton Iriz kini sememangnya sudah matang setelah diperhalusi oleh Proton – lengkap sebagai sebuah hatchback yang bukan sahaja mampu milik, malah ianya penuh dengan elemen seronok untuk dipandu.

Boleh saya sifatkan, jika Iriz ialah Cell iaitu watak antagonis dalam siri animasi Jepun Dragon Ball, ia kini sudah mencapai fasa separa sempurna setelah menelan Android no.17 – ia hanya berada pada peringkat sempurna sekiranya Proton turut memberikan facelift untuk rupa dalam erti kata sebenar.

GALERI: Proton Iriz facelift 2017 1.6 Premium

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required