Proton Iriz 2017 kini di pasaran- 4 varian, dari RM44k

Proton Iriz 2017 kini di pasaran- 4 varian, dari RM44k

Pada 19 Mei lalu, Proton Iriz 2017 telah pun membuat penampilan pertama di khalayak ramai di acara DRB-Hicom Autofest 2017. Lima hari selepas itu, pihak media permotoran tempatan berpeluang melihat secara lebih dekat dan memandu uji model facelift dari segmen-B ini apabila Proton bersedia mendedahkan spesifikasi dan perincian lengkapnya.

Seperti mana yang kami nyatakan sebelum ini, Proton telah mengurangkan varian Iriz untuk kali ini dari lapan varian kepada empat varian sahaja – 1.3 Standard manual, 1.3 Standard CVT, 1.3 Executive CVT dan 1.6 Premium CVT – menyaksikan transmisi manual kini hanya diberikan pada varian standard sahaja.

Menurut Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, CEO Proton, Iriz facelift ini telah diberikan penambahbaikan yang lebih signifikan termasuk pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran yang lebih baik. Malahan turut ditambah ciri Bantuan Pemanduan Eco serta penghalusan pada penentukuran ECU yang menyediakan tindak balas selari bagi pemanduan yang lebih baik.

Proton Iriz 2017 kini di pasaran- 4 varian, dari RM44k

Iriz kini menerima rombakan mekanikal yang sama seperti Persona di mana empat cagak enjin sebelum ini dikurangkan hanya kepada tiga (bagi mengurangkan resonan getaran dari enjin ke badan kereta), dan juga tebatan-tebatan lain bagi membolehkan kabinnya senyap termasuk menghilangkan bunyi berdengung yang datang dari transmisi CVTnya – sama seperti Persona.

Enjin 1.3 liter VVT (94 hp/120 Nm) dan juga 1.6 liter VVT (107 hp/150 Nm) digandingkan dengan transmisi CVT masih lagi kekal, namun talaan untuk kotak komputer enjin dan juga transmisi telah diperhalusi bagi memberikan respon yang jauh lebih baik ketika pecutan diperlukan seperti pada model sedia ada.

Bukan itu sahaja, Iriz juga kini tampil dengan dua warna baharu iaitu Ruby Red (dari Perdana) dan juga Carnelian Brown (dari Persona), manakala warna Citrus Green dan Fire Red kini digugurkan.

Malah varian tertinggi turut menerima tema warna badan dua-tona (varian lebih rendah kekal dengan warna tunggal) berwarna hitam kilat pada bahagian atas gril, cermin sisi, bumbung dan spoiler belakang (lebih besar dari varian lain). Ia turut diberikan dengan logo Proton 3D baharu pada bahagian hadapan dan belakang. Selain dari itu, rupa bentuk ciri lain masih lagi sama, termasuk kit badan yang diwarnakan dengan warna badan.

Pada bahagian dalaman pula, kebanyakkan ciri masih lagi sama dengan model sedia ada. Tetapi varian Premium model baharu ini diberikan skrin sesentuh Smart Link pada bahagian tengah papan pemuka bagi membolehkan fungsi hubungan screen-mirroring terhadap telefon pintar. Keseluruhan tema dalaman Iriz juga masih kekal berwarna hitam untuk membezakannya dengan versi sedan iaitu Persona, namun hatchback ini kini diberikan kemasan berkilat pada panel meter dan juga di sekeliling skrin infotainmen.

Iriz turut diberikan upholsteri gabungan kulit dan fabrik, bersama serlahan jahitan benang berwarna merah. Apa yang menarik, tempat duduknya kini menerima jalur biru-merah ala-livery perlumbaan Martini. Jalur tersebut turut diberikan pada varian lain yang lebih rendah tetapi dengan material fabrik sepenuhnya. Kesemua varian juga menerima alas kaki baru dengan ciri anti-gelincir, manakala varian Premium diberi serlahan merah di sekelilingnya.

Proton Iriz 2017 kini di pasaran- 4 varian, dari RM44k

Walau bagaimanapun, Iriz kini berkongsi tombol gear dan juga paparan instrumen (diberikan lampu Eco Assist) yang sama seperti Persona. Varian 1.3 Executive kini telah diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin yang sebelum ini hanya pada varian Premium

Bagi varian asas 1.3 Standard, ciri yang diberikan masih lagi kekal dengan lampu projektor hadapan, lampu belakang LED, rim 14-inci, upholsteri fabrik, penderia parkir dan juga pemain audio utama 2-DIN dengan hubungan Bluetooth, USB, dan AUX dihubungkan kepada empat pembesar suara.

“Walaupun terdapat penambahbaikan dan penghalusan dilakukan, ciri-ciri keselamatan standard dikekalkan pada Iriz di mana model ini sememangnya dikenali dengan ciri-ciri keselamatan yang hebat dan struktur Hot Press Forming (HPF).

Ciri keselamatan masih lagi kekal sama di mana varian asas Standard diberikan dua-beg udara, sistem brek ABS dan EBD bersama bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki, amaran pemakaian tali pinggang keledar hadapan dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada bahagian belakang.

Untuk varian tertinggi Premium, ia turut diberikan beg udara sisi dan tirai (menjadikannya enam-beg udara keseluruhan) serta amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk kesemua tempat duduk. Malah Iriz 2017 juga telah menerima penarafan lima-bintang daripada ASEAN NCAP bagi semua varian.

Sudah pun mula berada di semua cawangan Proton Edar, harga atas jalan (tanpa insurans) bagi Iriz baharu ini adalah RM43,800 bagi varian 1.3 Standard MT, RM46,800 untuk 1.3 Standard CVT, manakala 1.3 Executive CVT pula berharga RM50,800 dan RM58,800 bagi 1.6 Premium CVT. Ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai spesifikasi dan perincian mengenai Iriz 2017, sila layari CarBase.my.

Sila baca ulasan pandu uji awal Proton Iriz 2017 DI SINI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required