Jaguar E-Pace diperkenalkan – SUV kompak dengan pilihan dua enjin Ingenium, kuasa antara 150 ke 300 PS

Jaguar E-Pace diperkenalkan – SUV kompak dengan pilihan dua enjin Ingenium, kuasa antara 150 ke 300 PS

Melihatkan pasaran SUV yang semakin berkembang, Jaguar juga sudah mula mengeluarkan model SUV mereka sendiri, bermula dengan F-Pace, dan kini diikuti oleh E-Pace yang sedikit kecil. Walaupun menggunakan huruf E di hadapan nama modelnya, ini bukanlah sebuah model elektrik, dan itu hanya dibiarkan untuk sebuah lagi SUV Jaguar iaitu I-Pace. E-Pace adalah sebuah SUV kompak dengan karekter sports.

Bermula dengan bahagian luar, E-Pace menggunakan perkadaran dan garis badan seperti kereta sports Jaguar termasuk F-Type dan ini boleh dilihat pada garis bumbung, gantungan hadapan dan belakang (jarak antara roda dan bampar) yang pendek dan roda yang besar. Walaupun seperti ringkas, kenderaan ini tetap nampak garang dan tegap dengan adanya bukaan udara yang besar di hadapan. Pembeli juga boleh memilih rim bersaiz 21 inci untuk E-Pace.

Gril unik Jaguar turut digunakan pada E-Pace, dan ia diapit oleh dua lampu hadapan yang boleh dipilih dengan jenis Advanced LED, bersama teknologi Adaptive Matrix LED. Lensa seperti kristal pada lampu ini nampak menarik dan mampu memberikan pencahayaan yang terang di waktu malam.

Pada bahagian belakang juga terdapat lampu LED, manakala bumbungnya pula boleh dipilih dengan sama ada warna hitam, warna sama seperti badan ataupun bumbung panoramik. E-Pace ditawarkan dalam pilihan 11 warna iaitu Caldera Red (First Edition sahaja) atau Fuji White (Solid); Borasco Grey, Firenze Red, Caesium Blue, Yulong White, Indus Silver, Santorini Black atau Corris Grey (Metallic); dan Farallon Pearl Black atau Silicon Silver (Premium Metallic).

Pergi ke bahagian dalam, E-Pace yang berukuran 4,395 mm panjang dan jarak roda 2,681 mm menawarkan ruang selesa untuk lima orang, dengan ruang kelegaan kaki di bahagian belakang 892 mm, manakala ruang barangan pula mempunyai kapasiti 577 liter. Rekaan bahagian dalam kenderaan ini juga dijadikan sporty dan menggunakan bahan premium yang berkualiti.

Pada bahagian tengah papan pemuka, terdapat skrin sesentuh informasi dan hiburan Touch Pro berukuran 10 inci, dan di bawahnya terdapat pula tombol untuk mengawal ciri pendingin hawa. Sistem yang digunakan untuk informasi dan hiburan ini adalah antara yang tercanggih di dalam kelasnya dan ia boleh disambung kepada aplikasi kegemaran pengguna seperti Spotify melalui aplikasi InControl Jaguar.

Selain itu, kenderaan ini juga menawarkan ciri hotspot Wi-Fi 4G untuk sehingga lapan orang, dan ia disokong dengan adanya empat soket mengecas 12 volt dan lima sambungan USB di dalam kenderaan. Pengguna juga boleh mengawal ciri informasi dan hiburan dalam kenderaan ini menggunakan arahan suara.

Bagi pemandu, informasi penting kenderaan dapat dilihat terus pada skrin Interactive Driver Display 12.3 inci HD dan head-up display TFT berwarna penuh, manakala kokpit pula disediakan dengan kedudukan sports, dengan mengambil inspirasi rekaan daripada F-Type.

Jaguar E-Pace diperkenalkan – SUV kompak dengan pilihan dua enjin Ingenium, kuasa antara 150 ke 300 PS

Jaguar E-Pace ditawarkan dalam pilihan dua enjin Ingenium iaitu 2.0 liter diesel dan 2.0 liter petrol, namun ia boleh didapati dalam lima talaan kuasa berbeza bermula dengan 150 PS/ 380 Nm untuk 2.0 L diesel D150, 180 PS/ 430 Nm untuk 2.0 L diesel D180, 240 PS/ 500 Nm untuk 2.0 L diesel D240, 249 PS/ 365 Nm untuk 2.0 L petrol P 250 dan 300 PS/ 400 Nm untuk 2.0 L petrol P300.

Semua enjin ini mempunyai pengecas turbo geometri boleh ubah, dan ia dipadankan dengan sama ada automatik sembilan kelajuan ataupun manual enam kelajuan. Sistem pacuan yang digunakan pula adalah pacuan semua roda, kecuali satu pilihan pacuan dua roda hadapan untuk D150 (dengan padanan transmisi manual).

Sebenarnya, E-Pace diasaskan daripada model Land Rover Evoque, tetapi Jaguar telah mengubah beberapa bahagian termasuk suspensi untuk menjadikannya lebih berprestasi. Ia kini menggunakan suspensi belakang Integral Link yang diambil asasnya daripada F-Pace, manakala bahagian depan juga adalah baru, dengan knuckle aluminium, subframe talaan khas dan getah (bush) yang lebih keras. Semua ini bagi menjadikan E-Pace dapat bertahan dengan pemanduan sporty di atas jalan biasa dan cukup lasak untuk dibawa ke mana sahaja.

Selain datang terus dengan pilihan mod pemanduan, pengguna E-Pace juga boleh menambah pakej Configurable Dynamics untuk lebih kawalan terhadap pendikit, transmisi dan stereng; dan juga sistem suspensi Adaptive Dynamics yang boleh melaras suspensi secara automatik berdasarkan input pemandu dan keadaan badan kenderaan.

Jaguar E-Pace diperkenalkan – SUV kompak dengan pilihan dua enjin Ingenium, kuasa antara 150 ke 300 PS

Pada aspek keselamatan dan sistem bantuan pemandu pula, E-Pace dilengkapi dengan antaranya Blind Spot Assist, Forward Traffic Monitor, Adaptive Driving Beam, Park Assist, enam beg udara, beg udara pejalan kaki (akan terkeluar di depan bonet apabila terdapat perlanggaran dengan pejalan kaki dalam kelajuan antara 25-50 km/j), Dynamic Stability Control (DSC), Roll Stability Control (RSC), Electronic Traction Control (ETC), Trailer Stability Assist (TSA), Hill Start Assist (HSA), Anti-lock braking system (ABS), Emergency brake assist (EBA) dan Corner Brake Control (CBC).

Selain model biasa, Jaguar juga menawarkan dua model istimewa untuk E-Pace iaitu First Edition yang dilengkapi dengan barangan antaranya seperti rim 20 inci, jahitan merah di dalam, lampu suasana, HUD, Configurable Dynamics, Jaguar Activity Key dan karpet khas; dan R-Dynamic Pack yang lebih sporty dengan kit badan agresif dan kemasan dalam lebih sporty.

Jaguar E-Pace akan dikeluarkan di dua kilang iaitu kilang Magna Steyr di Austria untuk pasaran global, dan kilang Chery Jaguar Land Rover di Changshu, China untuk pasaran dalam negara itu sahaja. SUV kompak ini akan mula dijual hujung tahun ini dengan harga bermula £28,500 (RM158,509) di United Kingdom.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required