Jaguar F-Type SVR 2016 – 567 hp, 700 Nm, 321 km/j

2016-Jaguar-F-Type-SVR-52-e1455677215994_BM

Kewujudan Jaguar F-Type SVR Coupe 2016 telah diketahui sebelum ini, tetapi satu-satunya perincian yang diberikan oleh Jaguar adalah jentera ini boleh mencapai kelajuan maksima 321 km/j. Jaguar kini telah mengesahkan, sebelum kemunculan sulungnya pada Geneva Motor Show, F-Type SVR ini yang hadir dalam bentuk badan coupe dan convertible akan dijana oleh enjin V8 Supercharged 5.0-liter berkuasa 567 hp dan tork maksima 700 Nm.

Dibina atas kekuatan asas F-Type yang diakui oleh media permotoran dan orang ramai, SVR telah menaiktaraf segalanya ke tahap terbaik termasuk casis, unit kuasa, dan aerodinamik aktif. Para jurutera Jaguar Special Vehicle Operation bekerjasama dengan Project 7 untuk menghasilkan F-Type SVR yang lebih ringan, lebih lincah dan lebih laju tanpa menjejaskan kebolehan kereta ini sebagai kenderaan harian.

Hasilnya F-Type SVR ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat sahaja dan boleh mencapai kelajuan maksima 321 km/j untuk coupe, manakala untuk versi convertible ia sedikit perlahan iaitu 314 km/j. “Objektif kami adalah untuk mengambil semua aspek yang disukai pelanggan berkenaan F-Type – prestasi, pengendalian, bunyi, rekabentuk – dan mengangkatnya ke tahap yang lebih tinggi. Inilah yang F-Type SVR dapat lakukan: ia sebuah supercar berkelajuan 321 km/j yang boleh dipandu setiap masa,” kata John Edwards, pengarah urusan Jaguar Land Rover Special Operations.

Ada beberapa perubahan dibuat untuk mengangkat SVR ke satu tahap prestasi supercar yang lebih tinggi. Ini termasuklah ruang kemasukan udara yang lebih besar pada bampar hadapan bersama penyejuk udara kemasukan yang diolah dan sirip bonet yang direka semula. Ini digabungkan dengan penambahbaikan pada sistem penyejuk dan kecekapan sistem penghantaran kuasa. Sistem ekzos titanium dan Inconel baharu yang lebih ringan mengurangkan back-pressure serta mengurangkan berat sebanyak 16 kg. Dengan menggunakan Inconel sebagai menggantikan logam tahan karat, ketebalan dinding tiub ekzos dapat dikurangkan sehingga separuh iaitu hanya 0.6 mm.

Bersama dengan injap titanium aktif pada penyenyap belakang,F-Type SVR 2016 menampilkan bunyi ekzos yang lebih tersendiri terhasil dari empat corong paip ekzos. Prestasi enjin yang dipertingkat ini dihantar ke keempat-empat tayar menerusi kotak gear lapan-kelajuan Quickshift yang ditala semula dan sistem pacuan empat roda Jaguar Intelligent Driveline Dynamics (IDD).

Perubahan yang dilakukan pada sistem IDD dan penambahbaikan pada unit karbeda aktif elektronik (EAD) pada bahagian belakang memberikan pengagihan tork yang optimum antara kedua belah roda belakang serta antara roda belakang dan hadapan. Digabungkan dengan sistem Kawalan Penstabilan Dinamik (DSC) SVR, cengkaman dan dinamik pemanduan dioptimakan untuk semua jenis keadaan jalan dan cuaca, menambahbaik kebolehan kereta tersebut untuk dipandu setiap hari.

Suspensi jenis double wishbone pada depan dan belakang serta injap di dalam penyerap hentak boleh-ubah setiap masa yang telah ditala, bersama perisian sistem Dinamik Adaptif yang juga turut ditala semula memberikan keselesaan pada kelajuan rendah dan pengendalian jitu pada kelajuan tinggi. Berbanding dengan F-Type R AWD, SVR ini 25 kg lebih ringan, dan boleh diringankan lagi sehingga 50 kg dengan pemasangan peralatan opsyen tambahan seperti sistem brek Matrix Karbon Seramik dan bumbung serat-karbon.

Aerodinamik aktif adalah sebahagian daripada pakej prestasi SVR, dengan sayap belakang serat-karbon yang akan terangkat apabila kelajuan mencecah 96 km/j dan 112 km/j untuk varian convertible dan coupe. Sayap tersebut juga akan terangkat secara automatik ketika pemandu menekan butang mod Dynamic. Ketinggian bahagian hadapan ditarik kebawah menerusi penggunaan sirip pada wheelarch liners, dan tray bawah lantai yang terletak di bawah suspensi belakang mempercepatkan pengaliran udara, merendahkan tekanan dan menarik kereta ini ke bawah.

Jaguar tidak lupa untuk menaik taraf pada bahagian dalaman F-Type SVR 2016. Tempat duduk berprestasi tinggi SVR Performance balutan kulit dipasang untuk pemandu dan penumpang, dan boleh dipilih dalam tiga warna. Sistem infotainmen InControl Touch menampilkan skrin sesentuh bersaiz lapan-inci digandingkan dengan sistem audio surround Meridian berkuasa 380 watt. Jika anda memilih untuk memasang sistem InControl Touch Plus, kuasa sistem ini akan diinjakkan kepada 770 watt.

Tempahan telah mula diambil oleh pihak Jaguar untuk F-Type SVR 2016. Untuk varian coupe, ia dijual dengan harga 110,000 pound sterling (RM663,000). Manakala untuk varian covertible ia berharga 115,485 pound sterling (RM696,000). Penghantaran supercar harian berkelajuan 321 km/j ini dijangka bermula pertengahan 2016.

GALERI: Jaguar F-Type SVR 2016

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required