Mercedes-Benz X-Class dipertonton secara rasmi

Mercedes-Benz X-Class dipertonton secara rasmi

Berita bahawa Mercedes-Benz sedang membangunkan sebuah trak pikap telah diberitahu sejak tahun 2015 lagi, dan sejak dari itu, ramai yang tertunggu-tunggu bagaimana ia akan kelihatan. Selepas dua model konsep ditunjuk, akhirnya kini trak pikap premium tersebut membuat kemunculan rasmi dan akan mula dijual di Eropah pada bulan November.

Walaupun sudah jelas trak ini mempunyai kaitan dengan model Nissan Navara NP300 yang diambil sebagai asas, ia masih mempunyai rekaan yang unik untuk menjadikannya sebuah Mercedes-Benz. Bahagian hadapan memang membawa gaya Mercedes-Benz dengan lampu berbentuk C, serta gril dan logo yang cukup besar.

Rekaan gril berkembar dengan lubang berbentuk petak pada trak ini pertama kali dilihat diguna pada GLA facelift dan di bawahnya terdapat pelindung bampar dan dua lampu kabus di setiap bucu. Di bahagian tepi, lengkuk rodanya lebih berpetak berbanding Navara yang lebih membulat, dan ini menghasilkan penampilan yang lebih tegap. Bahagian belakang pula lebih ringkas.

Rekaan dalam juga sekali pandang sudah jelas ia adalah sebuah Mercedes-Benz, dengan adanya corong pendingin hawa bulat, serta banyak elemen lain seperti roda stereng, panel meter, sistem informasi dan hiburan COMAND serta suis lampu yang diambil daripada model C-Class. Walaupun begitu, beberapa suis lain seperti pengawal suhu, tingkap dan sistem pacuan digunakan terus daripada Navara dan tombol gear juga diletakkan di lantai.

Sesuai dengan jenama yang dibawa, X-Class ditawarkan dengan pelbagai kelengkapan mewah termasuk kulit hiasan Artico pada papan pemuka dan tempat duduk larasan elektrik dengan penyokong belakang yang dibalut dengan gentian mikro Artico dan Dynamica. Juga ditawarkan adalah naik taraf sistem navigasi COMAND Online dengan skrin 8.4 inci menggantikan skrin standard 5.4 inci.

Semasa pelancaran, X-Class didedahkan dengan varian X 220 d dan X 250 d. Tidak seperti model diesel Mercedes-Benz lain yang menggunakan enjin 2.2 liter sendiri jenama itu, X-Class menggunakan enjin 2.3 liter empat silinder daripada Renault dan digunakan pada Navara. Bagi model X 220 d enjinnya dilengkapi dengan pengecas turbo tunggal, menghasilkan 163 hp manakala pada X 250 d, ia menggunakan dua turbo sequential, berkemampuan 190 hp.

Terdapat juga model berenjin petrol 165 hp untuk pasaran seperti Dubai dan Morocco, berkemungkinan menggunakan enjin QR25 NA 2.5 liter daripada model Nissan Teana. Semua model datang dengan pacuan roda belakang dan kotak gear manual enam kelajuan, tetapi model diesel mempunyai pilihan untuk pacuan empat roda. Transmisi automatik tujuh kelajuan ditawarkan sebagai pilihan untuk model X 250 d.

Mercedes-Benz X-Class dipertonton secara rasmi

Model yang lebih berkuasa, iaitu X 350 d yang menggunakan enjin 3.0 liter turbodiesel V6 Mercedes-Benz, dengan kuasa sebanyak 258 hp dan 550 Nm akan ditawarkan bermula pertengahan tahun 2018. Model paling tinggi ini akan datang secara standard dengan kotak gear automatik 7G-Tronic Plus tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Turut disediakan pada model ini adalah mod pemanduan Comfort, Eco, Sport, Manual dan Offroad.

Daripada aspek keselamatan, X-Class datang terus dengan tujuh beg udara, Active Brake Assist, Lane Keeping Assist dan Traffic Sign Assist. Turut ditawarkan adalah Trailer Stability Assist, sistem pemerhatian tekanan angin tayar, sistem panggilan kecemasan, cruise control, lampu LED dan kamera 360 darjah.

Selepas Eropah, X-Class akan ditawarkan pula di Afrika Selatan, Australia dan New Zealand pada awal tahun hadapan, dan Argentina dan Brazil pada tahun 2019. X-Class ini akan dikeluarkan sama ada di kilang Mercedes-Benz di Barcelona, ataupun Argentina. Harganya bermula €37,294 (RM184,400) di Jerman.






GALERI: Mercedes-Benz X-Class Power Line


GALERI: Mercedes-Benz X-Class Progressive Line

GALERI: Mercedes-Benz X-Class Pure Line

GALERI: Aksesori Mercedes-Benz X-Class

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required