16c964_17_d328540-e1477421407787-850x531_bm

Akhirnya, Mercedes-Benz telah pun memperkenalkan trak pikap konsep mereka yang diberi nama Mercedes-Benz Concept X-Class. Bukan hanya sebuah, tetapi dua model konsep ditampilkan Mercedes-Benz untuk percubaan mereka masuk ke segmen trak pikap iaitu model konsep Stylish Explorer yang lebih kepada kegunaan pada jalan raya biasa, dan juga model konsep Powerful Adventurer untuk kegunaan lebih lasak.

Seperti yang diketahui, trak pikap X-Class ini dibina berdasarkan platform dari Pakatan Renault-Nissan, sama seperti Renault Alaskan dan juga Nissan Navara-NP300. Tetapi, model binaan Mercedes-Benz ini bukan sekadar ‘rebadge’, ia lebih tersendiri dan menampilkan ciri-ciri sebuah Merc sebenar. Keseluruhan rekaan trak pikap ini dibina dengan tema ‘hot and cool‘- hot mewakili rekaan permukaan yang diperhalusi manakala cool mewakili ketepatan yang secara teknikalnya diperinicikan.

Kedua-dua pikap konsep ini menerima lampu hadapan LED High Performance yang kelihatan seiras dengan AMG GT, mengapit gril hadapan yang besar. Gril bahagian bawah pula direka berbentuk seperti tulang, dan diterapkan elemen seperti pada kereta-kereta penumpang Mercedes-Benz yang lain. Bonet enjin juga diberikan bentuk yang lebih teguh.

16c964_16_d328539-e1477421482404_bm

Jika dilihat pada bahagian sisi, imej Navara agak jelas pada bahagian pintu dan kesemua tingkap. Tetapi rekaan garis badan pada X-Class ini tampak lebih ringkas berbanding Navara. Satu lagi perbezaan adalah pada ruang roda, dimana X-Class direka lebih bulat, manakala Navara kelihatan sedikit bersegi.

Bahagian dalaman, X-Class menampilkan rekaan mewah Mercedes sebenar. Papan pemuka direka dengan elemen melintang, dilengkapi paparan meter dari C-Class, roda stereng tiga jejari rata dibahagian bawah, liang penghawa dingin bulat (empat di bahagian tengah), skrin COMAND serta kawalan sistem berkenan menerusi suis putar dan juga touchpad.

Walau bagaimanapun ada sedikit ciri dilihat diambil dari Navara seperti suis penghidup enjin, panel kawalan penghawa dingin dan suis penukar sistem pacuan empat roda, kedudukan tuil penukar gear di lantai (kenderaan keluaran Mercedes terkini kebanyakkan tuil ini diletakkan pada kolum stereng), konsol bumbung serta tuil brek tangan tanpa brek parkir elektronik atau menggunakan kaki.

Untuk model Stylish Explorer, bahagian luarannya diberikan warna putih matte, gril hadapan bar tunggal dengan logo Mercedes bersaiz besar pada bahagian tengah. Lampu belakang agak unik kerana ia menggunakan jalur LED yang mengelilingi keseluruhan bahagian tailgate. Ia dipadankan dengan roda aloi pelbagai jejari gaya-AMG berdiameter 22-inci. Bahagian dalamannya pula diberikan upholsteri kulit Nappa berwarna putih dan kulit nubuck berwarna perang gelap, bersama kemasan kayu pada papan pemuka.

Model Powerful Adventurer pula diberikan warna badan lemonax metallic matte, gril dua-bar, pelindung bawah pada hadapan dan belakang, ruang roda gentian-karbon serta unit winch pada bahagian hadapan dan belakang.

Berbeza dengan Stylish Explorer, lampu belakang pada Powerful Adventurer ini lebih realistik, menampilkan rekaan menegak, mengapit tailgate berbentuk seperti bekas telur. Melengkapkan rupa sebuah trak pikap lasak, model ini diberikan roda aloi serta tayar off-road ekstrem.

Masuk ke bahagian dalaman pula, ia diberikan roda stereng tiga jejari bulat sepenuhnya, kemasan gentian-karbon, upholsteri balutan kulit berwarna hitam-kuning serta alat pemadan api diletakkan pada papan pemuka – dihadapan penumpang.

Mercedes telah mendedahkan varian tertinggi X-Class bakal dijana enjin V6 turbodiesel 3.0 liter berkuasa 258 hp/620 Nm. Model lain akan dijana enjin 2.3 liter empat silinder diesel turbo berkembar dari Navara pasaran negara yang dibekalkan diesel lebih bersih, berkuasa 188 hp/450 Nm.

Sistem pacuan empat-roda pikap ini akan menggabungkan sistem kawalan tarikan elektronik, kotak alihan (transfer case) dua kelajuan serta karbeda berkunci (differential locks) pada syaf tengah dan gandar belakang. Keseluruhan sistem ini akan menghantar kuasa ke gandar yang mempunyai cengkaman paling kuat, dan kedua-dua karbeda boleh dikunci pada permukaan off-road yang ekstrem.

Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer (rechts) und Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer (links) ; Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer (right) and Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer (left);

Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer (rechts) und Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer (links) ;
Mercedes-Benz Concept X-CLASS stylish explorer (right) and Mercedes-Benz Concept X-CLASS powerful adventurer (left);

Mercedes juga menyatakan trak pikap mereka ini mampu menampung beban lebih dari 1.1 tan dan kapasiti menunda sehingga 3.5 tan. X-Class juga mengambil sistem suspensi lima hubungan dengan spring gegelung pada bahagian belakang dari Navara untuk memberikan lebih keselesaan berbanding trak pikap lain pada permukaan jalan raya serta off-road. Ciri bantuan pemanduan turut akan diberikan secara standard, menggunakan kamera, radar serta penderia ultrasound.

Trak pikap X-Class ini akan dipasang di kilang Nissan Barcelona dan bakal masuk ke pasaran Eropah, Australia dan Afrika Selatan pada lewat 2017. Tahun berikutnya, ia akan diproduksi pula di kilang Renault Cordoba, Argentina untuk pasaran Amerika Latin.

Jadi, kepada peminat trak pikap diluar sana, apa pendapat anda tentang trak pikap dari Mercedes ini? Ok atau terlalu mewah untuk kerja-kerja lazim yang biasa dilakukan oleh sebuah trak pikap? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah.