Setelah hampir satu tahun MT-09 Tracer dilancarkan di pasaran Malaysia, pengedar rasmi Yamaha di Malaysia iaitu Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd melancarkan pula versi pemasangan tempatan (CKD) motosikal yang menggunakan asas daripada MT-09, tetapi mempunyai gaya jelajah ini.

MT-09 Tracer dilengkapi dengan enjin 849 cc empat lejang tiga silinder DOHC 12-injap sejukan cecair sama seperti MT-09 dan mampu menjana 115 hp pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Bagi sistem transmisi, ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan dan dilengkapi dengan ciri ABS serta kawalan cengkaman sebagai ciri standard.

Berat kering MT-09 Tracer adalah 190 kg manakala tangki minyaknya pula mampu menampung 18 liter petrol. Pada bahagian belakang badan motosikal ini sudah terdapat rangka untuk memasang beg barangan dan pemilik boleh menambahnya jika mahu. Bagi motosikal berkapasiti tinggi, MT-09 Tracer ini melengkapi model MT-09 dan MT-07.

Pada masa ini, Yamaha MT-09 dijual di pasaran pada harga RM44,653, manakala MT-07 pula dijual pada harga RM36,795. Bagi MT-09 Tracer CKD ini pula, harganya ditetapkan pada RM52,000, dan semua harga yang disebutkan tadi adalah termasuk GST, tanpa insurans dan pendaftaran. Warna yang ditawarkan baginya ada dua – hitam dan biru. Sebelum ini, MT-09 Tracer CBU dijual pada harga RM59,900.