2017-Yamaha-MT-09-Tracker-32

Dipertontonkan kepada media tempatan buat pertama kali ketika pelancaran model Yamaha Bolt pada Oktober 2015, Hong Leong Yamaha kini memperkenalkan secara rasmi model Yamaha MT-09 Tracer untuk pasaran Malaysia pada harga RM59,900.

Jentera sports tourer ini dilengkapi dengan enjin 849 cc empat lejang tiga silinder DOHC 12-injap sejukan cecair ini menjana 113 hp pada 10,000 rpm dan 93 Nm tork pada 8,500 rpm, menjadi pelengkap kepada model Yamaha MT-09 standard yang dipasarkan sebelum ini (dan dijual pada harga RM44,653). Bagi sistem transmisi, ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan dan dilengkapi dengan ciri ABS serta kawalan cengkaman sebagai ciri standard.

Yamaha MT-09 Tracer direka untuk menjadi sebuah jentera jelajah jarak jauh, dengan kedudukan penunggang lebih tegak. Berat keringnya adalah 190 kg, manakala kapasiti tangki petrol adalah 18 liter.

Ditawarkan dalam warna Race Blu untuk pasaran Malaysia, Yamaha MT-09 Tracer dijangka akan mula berada di bilik pameran pengedar sah Yamaha yang terpilih seluruh negara bermula pertengahan Julai ini. Harga jualannya ialah RM59,900 tidak termasuk GST, cukai jalan, insurans dan nombor pendaftaran.

Bagi pasaran antarabangsa, barisan lengkap perkakasan tambahan dan aksesori bagi model ini turut ditawarkan sebagai pilihan. Namun, untuk pasaran tempatan masih belum dapat dipastikan.