Kalau anda belum tahu, TC Euro Cars (TCEC) selaku pemegang francais tunggal bagi kenderaan Renault di Malaysia minggu lalu telah mengumumkan SUV Renault Koleos kini hadir dengan pilihan sistem pacuan 4WD. Ini adalah galeri lengkap untuk membolehkan anda melihat perincian pada SUV ini.

Ditawarkan pada harga RM201,800 (berbanding RM182,800 bagi varian 2WD), SUV ini menampilkan teknologi ALL-MODE 4×4-i yang memantau tahap cengkaman secara berterusan untuk prestasi yang lebih dinamik, stabil dan selamat. Satu lagi ciri baru yang ditampilkan pada model 4WD ini ialah kendalian pintu belakang automatik menggunakan Renault Smart Keycard yang diletakkan di dalam poket atau beg tangan. Pintu berkenaan boleh dibuka dengan hanya menggerakkan kaki pada bahagian bawah bampar belakang.

Selain itu, Koleos 4WD ini juga akan hadir dengan warna baru Maroon Red, selain mengekalkan warna Universal White, Grey Metallic, Black Metallic dan Meissen Blue.

ALL-MODE 4×4-i pada varian Koleos 4WD ialah teknologi yang sudah terbukti dan digunakan ke atas jutaan kenderaan di bawah pakatan Renault-Nissan di seluruh dunia. Sistem itu terdiri daripada suis kawalan yang mudah digunakan. Ia membolehkan pemandu untuk memilih tiga mode – 2WD, 4WD Auto dan 4WD Lock. Setiap mode ini mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan kepada kondisi pemanduan.

Dalam mode 2WD, Koleos bergerak dengan pacuan roda hadapan untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api dan ideal untuk kondisi pemanduan yang normal. Manakala dalam mode 4WD Auto pula, teknologi ALL-MODE 4×4-i akan sentiasa memantau pecutan longitudinal dan lateral, selain kadar yaw dan sudut stereng. Berdasarkan kepada maklumat ini, sistem akan mengira agihan kuasa tork hadapan/belakang yang ideal (daripada 100/0 kepada 50/50) untuk menawarkan cengkaman paling cekap bagi mengelakkan berlakunya masalah understeer dan oversteer.

Di laluan off-road atau dalam keadaan di mana cengkaman amat diperlukan, seperti di atas lumpur dan pasir, mode 4WD Lock membolehkan pemandu menggunakan pacuan empat roda pada kelajuan kurang 40 km/j untuk mengagihkan kuasa tork yang sama kepada gandar hadapan dan belakang (50/50) bagi kestabilan maksimum.