Renault Koleos kini hadir dengan sistem pacuan 4WD untuk pasaran Malaysia – harga dari RM202k

Renault Koleos kini hadir dengan sistem pacuan 4WD untuk pasaran Malaysia – harga dari RM202k

TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal untuk kenderaan Renault di Malaysia hari ini mengumumkan bahawa SUV Renault Koleos kini telah hadir dengan pilihan sistem pacuan 4WD.

Ditawarkan dengan harga anggaran RM201,800 (berbanding RM182,800 bagi varian 2WD), SUV ini menampilkan teknologi ALL-MODE 4×4-i yang memantau tahap cengkaman secara berterusan untuk prestasi yang lebih dinamik, stabil dan selamat. Satu lagi ciri baharu pada versi 4WD ini ialah pintu belakang bebas tangan iaitu dengan adanya Renault Smart Keycard yang diletakkan di dalam poket atau beg tangan, but boleh dibuka dengan hanya menggerakkan kaki pada bahagian bawah bampar belakang.

Selain itu, Koleos 4WD ini juga akan hadir dengan warna baharu iaitu Maroon Red, selain mengekalkan warna Universal White, Grey Metallic, Black Metallic dan Meissen Blue.

“Renault Koleos mendapat sambutan memberangsangkan sejak varian 2WD dilancarkan tahun lalu. Kami yakin dengan penambahbaikan dan reka bentuk Koleos yang mantap ini, versi 4WD akan menarik minat lebih ramai pembeli SUV di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars Sdn Bhd, Kuan Kim Luen.

Renault Koleos kini hadir dengan sistem pacuan 4WD untuk pasaran Malaysia – harga dari RM202k

Menurut Renault, ALL-MODE 4×4-i pada varian Koleos 4WD ialah teknologi yang sudah terbukti dan digunakan ke atas jutaan kenderaan Pakatan Renault-Nissan di seluruh dunia. Sistem itu terdiri daripada suis kawalan yang mudah digunakan. Ia membolehkan pemandu untuk memilih tiga mode – 2WD, 4WD Auto dan 4WD Lock. Setiap mode ini mempunyai kelebihan tersendiri berdasarkan kepada kondisi pemanduan.

Dalam mode 2WD, Koleos bergerak dengan pacuan roda hadapan untuk mengoptimumkan penggunaan bahan api. Ideal untuk kondisi pemanduan yang normal. Manakala dalam mode 4WD Auto pula, teknologi ALL-MODE 4×4-i akan sentiasa memantau pecutan longitudinal dan lateral, selain kadar yaw dan sudut stereng. Berdasarkan kepada maklumat ini, sistem akan mengira agihan kuasa tork hadapan/belakang yang ideal (daripada 100/0 kepada 50/50) untuk menawarkan cengkaman paling efisien bagi mengelakkan berlakunya masalah understeer dan oversteer.

Apabila mengharung laluan off-road atau dalam kondisi di mana cengkaman amat diperlukan, seperti di atas lumpur dan pasir, mode 4WD Lock membolehkan pemandu menggunakan pacuan empat roda pada kelajuan kurang 40 km/j untuk mengagihkan kuasa tork yang sama kepada gandar hadapan dan belakang (50/50) bagi kestabilan maksimum.

Seperti mana varian Koleos 2WD yang dilancarkan pada tahun lalu, Koleos 4WD ini juga menawarkan ruang kabin luar biasa, dengan memiliki tapak roda berukuran 2,705 mm dan panjang keseluruhan kenderaan sehingga 4,672 mm yang disifatkan sebagai yang terpanjang dalam kelasnya. Ini membolehkan Renault Koleos menawarkan ruang kabin paling luas.

Tempat duduk hadapan Renault Koleos ialah antara yang paling selesa dengan dimensi terbesar dalam kelasnya. Penumpang belakang pula disediakan dengan ruang lutut seluas 289 mm yang jelas mengalahkan model-model pesaingnya. Tidak ketinggalan ruang kepala, bahu dan siku yang luas. Ruang but seluas 542 liter menampilkan lantai yang boleh dialih dan diposisikan sama tinggi dengan but, seterusnya membentuk lantai yang rata. Sistem Easy Break dengan hendal dipasang pada bahagian but membolehkan tempat duduk belakang dilipat pada kongurasi 60/40 dengan mudah, sekali gus dapat menawarkan kapasiti ruang sehingga 1,690 liter.

Selain itu, bahagian kabinnya juga dilengkapi dengan material premium termasuk krom kemasan satin yang bergaya pada stereng, tuil gear dan corong pendingin hawa. Konsol tengah juga dibalut dengan lapisan filem perlindungan yang keras dan sedap disentuh. Material lembut pada papan pemuka dan panel pintu juga menyumbang kepada ambien kabin yang menenangkan. Manakala upholsteri kulit berwarna hitam dan perehat tangan dengan kemasan kulit diberikan jahitan benang yang kontras untuk melengkapkan rasa serta penampilan yang premium.

Keselesaan ketika berjalan ditingkatkan lagi dengan lampu kabin LED yang boleh diubah suai, bersama satu palet warna daripada hijau, biru, kuning, merah atau ungu, bergantung kepada mood pemandu dan penumpangnya.

Renault Koleos juga dilengkapi lampu LED penuh pada bahagian hadapan dan belakang. Di hadapan, lampu utama Pure Vision LED berbentuk-C dengan lampu nyalaan siang (DRL) memberikan penampilan yang unik dan garang. Manakala lampu kabus menawarkan fungsi membelok untuk keselamatan tambahan. Di bahagian belakang, lampu LED itu menampilkan teknologi Edge Light yang mampu menghasilkan kesan 3D yang jelas dan terang.

Untuk aspek keselamatannya, ia dilengkapi dengan sistem brek ABS, EBD serta BA, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Tarikan, Bantuan Mula Mendaki, Sistem Pengesan Titik Buta serta enam beg udara. Selain itu Koleos turut dilengkapi dengan brek parkir elektronik, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

Bagi penjana kuasanya pula, enjin 2.5 liter dipadankan dengan transmisi automatik X-Tronic CVT untuk prestasi lebih baik, pemanduan menyeronokkan dan penggunaan bahan api yang optimum. Enjin yang efisien ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 171 PS dan tork puncak 226 Nm. Ia sangat responsif pada putaran enjin rendah dan sederhana, dengan 200Nm tork boleh diperoleh pada serendah 1,800rpm.

Tidak seperti transmisi CVT sebelum ini, prestasi kotak gear X-Tronic Koleos lebih kepada transmisi automatik multi-nisbah, terutama ketika pemandu mahu memecut dengan pantas. Pada masa yang sama, transmisi ini memastikan rev dan beban enjin sentiasa dioptimumkan untuk menawarkan penggunaan bahan api lebih baik, pemanduan yang selesa dan senyap ketika memandu dalam kelajuan selari.

Sama seperti semua kenderaan Renault, Koleos didatangkan dengan jaminan pengilang selama lima tahun tanpa had perbatuan. Jaminan ini disokong sepenuhnya oleh Renault dan bukan oleh mana-mana syarikat insurans. Ini bermakna, terma dan syarat, serta alat ganti adalah konsisten mulai tahun pertama pemilikan sehinggalah tempoh jaminan tamat.

Untuk perincian lanjut mengenai Renault Koleos ini, sila layari CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required