Renault Koleos 2016 dilancarkan di M’sia – RM178k

Renault_Koleos_Ext-2

Setelah muncul buat pertama kali di Beijing International Automotive Exhibition April lalu, TC Euro Cars hari ini memperkenalkan Renault Koleos 2016 untuk pasaran Malaysia. Koleos hadir dalam versi CBU yang dipasang di Busan, Korea.

Model yang ditampilkan pada hari ini hanyalah untuk tujuan prebiu sahaja dimana model sebenar untuk pasaran Malaysia hanya akan muncul pada pertengahan Oktober nanti. TC Euro Cars juga akan mempamerkan SUV ini di Centre Court, Mid Valley Mega Mall dari 7 hingga 11 September untuk tatapan orang ramai.

Hadir dengan varian tunggal SCe 170, Koleos bakal dijual dengan harga pengenalan atas jalan dengan insuran RM177,917.72 untuk semenanjung Malaysia dan RM116,800 untuk Langkawi (mungkin akan berubah pada pelancarannya nanti). Setiap pembelian SUV lima-tempat duduk ini turut dilindungi dengan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, dan sudah mula boleh ditempah sejak Ogos lalu.

Renault_Koleos_Ext-17

Generasi terbaharu Koleos ini dibina berasaskan platform Common Module Family Architecture (CMF-CD) yang dihasilkan menerusi Pakatan Renault-Nissan – yang juga digunakan sebagai asas binaan Nissan X-Trail terkini – menampilkan suspensi Topang McPherson pada bahagian hadapan serta suspensi multilink di bahagian belakang.

Ia juga berada pada kelas yang lebih tinggi daripada Captur dan Kadjar dalam barisan SUV Renault, dimensi Koleos diukur dengan 4,670 mm panjang, 1840 mm lebar serta jarak roda keseluruhan 2,710 mm, dan turut menyaksikan ia berukuran lebih besar dari generasi sebelumnya. Jarak kelegaan tanah Koleos ini juga diukur agak tinggi dengan bacaan 213 mm.

Pada bahagian luaran, Koleos diberikan gril krom yang garang dengan motif jaluran melintang beserta logo Renault yang diletakkan pada bahagian tengah. Lampu hadapan berbentuk-C yang turut menempatkan lampu nyalaan siang LED. Pada profil sisi, dapat disaksikan SUV ini dilengkapi dengan kemasan perlindungan pintu dibahagian bawah serta rel bumbung aluminium. Empat warna ditawarkan iaitu Universal White, Grey Metallic, Black Metallic, dan Meissen Blue.

Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan sepasang lampu belakang yang digabungkan bersama lampu pada pintu belakang direka hampir bersambung antara kedua-duanya serta dua unit tip ekzos yang ditempatkan pada setiap sisi bampar belakang.Untuk pasaran Malaysia, Koleos dipadankan dengan roda aloi “Argonaute” berdiameter 18-inci dibaluti tayar bersaiz 225/60R18.

Bahagian kabin Koleos menerima upholsteri balutan kulit. Kabin SUV ini juga diberikan pencahayaan dari unit-unit lampu LED yang cahayanya boleh dipilih dengan pilihan warna hijau, biru, kuning, merah atau ungu. Koleos turut dilengkapi bumbung suria dengan bukaan yang besar sehingga ke ruang tempat duduk belakang. Tempat duduk belakang SUV ini boleh dilipat dengan nisbah 60:40 menggunakan tuil satu sentuhan bagi mendapatkan ruang kargo berkapasiti 624 liter.

Untuk memantau sistem SUV ini, Koleos dipadankan dengan paparan instrumen TFT berwarna 7-inci. Seperti juga model baharu Renault yang lain, Koleos dilengkapi dengan sistem infotaimen Renault R-Link 2 dengan paparan skrin format lanskap tujuh-inci atau format potret 8.7 inci, serta penghawa dingin dua zon. Port USB, sambungan AUX, Bluetooh, dan soket kuasa 12V turut dilengkapkan secara standard. Model pasaran Malaysia juga dilengkapi dengan tempat duduk hadapan larasan berkuasa enam-hala serta sokongan lumbar untuk bahagian pemandu.

Sistem stereo Bose dengan 13-pembesar suara seperti model yang diprebiu ini juga tidak ditawarkan untuk pasaran tempatan, tetapi diganti dengan sistem stereo 3D Arkyms dengan lapan-pembesar suara.

Koleos turut berkongsi enjin dan transmisi dengan Nissan X-Trail T32. Enjin QR25DE 2.5 liter petrol empat silinder suntikan bahan api terus berkenaan mampu menghasilkan 170 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 226 Nm pada takat 4,400 rpm dan dipadankan dengan transmisi X-Tronic CVT. Model pasaran Malaysia ini hanya dibekalkan dengan sistem 2WD, memacu roda hadapan.

Dengan gabungan enjin dan transmisi berkenaan, Koleos mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 200 km/j. Menurut Renault, SUV ini hanya menggunakan sekitar 8.1 liter petrol bagi setiap 100 km perjalanan dalam Kitaran Pemanduan Eropah Baharu (NEDC).

Untuk ciri keselamatan, model pasaran tempatan ini tidak dilengkapi dengan Advanced Driver Assist System (ADAS) yang terdiri dari sistem brek kecemasan automatik serta pelbagai ciri lain. Tetapi Koleos pasaran Malaysia masih menerima sistem brek ABS lengkap EBD serta BA, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Tarikan, Bantuan Mula Mendaki, Sistem Pengesan Titik Buta serta enam beg udara. Selain itu Koleos turut dilengkapi dengan brek parkir elektronik, penderia parkir hadapan dan belakang serta kamera undur.

Untuk lebih perincian dan juga maklumat pembelian Koleos ini, anda boleh berkunjung ke laman Carbase.my.

GALERI: Gambar Rasmi Renault Koleos 2016

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required