Renault Koleos 2016 akhirnya diperkenalkan secara rasmi di Beijing International Automotive Exhibition

koleos-23-e1461564225669_BM

Setelah video dan imej teasernya didedahkan, kini Renault memperkenalkan Renault Koleos 2016 kepada dunia secara rasmi sempena Beijing International Automotive Exhibition yang sedang berlangsung. Generasi terbaharu SUV segmen-D ini menampilkan rekaan, ciri-ciri, dan teknologi terkini dari Renault.

Koleos serba baharu ini dibina berasaskan platform Common Module Family Architecture (CMF-CD) yang dihasilkan menerusi Pakatan Renault-Nissan – yang juga digunakan sebagai asas binaan Nissan X-Trail terkini. Ia juga berada pada kelas yang lebih tinggi daripada Captur dan Kadjar dalam barisan SUV Renault, dimensi Koleos diukur dengan 4,670 mm panjang, 1840 mm lebar serta jarak roda keseluruhan 2,710 mm, dan turut menyaksikan ia berukuran lebih besar dari generasi sebelumnya. Jarak kelegaan tanah Koleos ini juga diukur agak tinggi dengan bacaan 213 mm.

Pada bahagian luaran pula, Koleos diberikan gril krom yang garang dengan motif jaluran melintang beserta logo Renault yang diletakkan pada bahagian tengah. Lampu hadapan berbentuk-C yang turut menempatkan lampu nyalaan siang LED seperti yang ditunjukkan pada video teaser tempoh hari juga ditampilkan. Pada profil sisi, dapat disaksikan SUV ini dilengkapi dengan kemasan perlindungan pintu dibahagian bawah serta rel bumbung aluminium. Pada bahagian belakang pula, ia dilengkapi dengan sepasang lampu belakang yang digabungkan bersama lampu pada pintu belakang direka hampir bersambung antara kedua-duanya serta dua unit tip ekzos yang ditempatkan pada setiap sisi bampar belakang.

Koleos menawarkan kedudukan pemanduan yang agak tinggi iaitu 150 mm dan ruang kelegaan kaki pada bahagian belakang juga agak besar dengan ukuran 289 mm. Bahagian dalamannya juga menampilkan penggunaan material anti-calar seperti krom kemasan satin pada bahagian roda stereng, tuil penukar gear dan kemasan pada liang penghawa dingin. Konsol tengah dibalut dengan filem pelindung, manakala pada bahagian papan pemuka dan panel pintu dibalut dengan material yang lembut.

Bahagian kabin Koleos turut hadir dengan upholstery balutan kulit. Pencahayaan dalam kabin tersebut datang dari unit-unit lampu LED yang cahayanya boleh dipilih dengan pilihan warna hijau, biru, kuning, merah atau ungu. Ia juga turut dilengkapi bumbung suria dengan bukaan yang besar sehingga ke ruang tempat duduk belakang. Tempat duduk belakang SUV ini boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi mendapatkan ruang kargo berkapasiti 624 liter. Pintu tailgate belakang berkuasa elektrik turut disertakan sebagai ciri standard.

Seiring dengan model baharu Renault yang lain, Koleos dilengkapi dengan sistem infotaimen Renault R-Link 2 dengan paparan skrin format lanskap tujuh-inci atau format potret 8.7 inci, dihubungkan kepada 12 unit pembesar suara Bose. Port USB, sambungan AUX, Bluetooh, dan soket kuasa 12V turut dilengkapkan secara standard.

Bergantung kepada varian dan versi, Koleos dilengkapi dengan tempat duduk hadapan larasan berkuasa enam-hala dengan fungsi pemanas dan liang pengudaraan. Begitu juga dengan pemanas roda stereng serta cermin hadapan dan penapis udara kabin juga turut dipadankan bergantung pada pasaran.

Koleos turut disertakan dengan teknologi 4×4 All Mode, yang membolehkan ia dipacu sama ada dengan pacuan hadapan sepenuhnya atau pacuan empat-roda dengan tork yang dibahagikan antara roda hadapan dan belakang. Semasa keadaan cengkaman rendah dan kelajuan rendah, Koloes boleh dipandu dengan pilihan mod ‘4WD Lock’. Kebolehan off-road Koleos turut disokong dengan sudut berlepas 19 darjah di hadapan dan 26 darjah di belakang.

SUV terbaharu dari Renault ini dikuasakan dengan dua pilihan enjin petrol dan dua pilihan enjin diesel dengan kuasa yang bermula daripada 130 hp hingga 175 hp. Kesemua pilihan enjin ini pula akan dipadankan dengan dua pilihan sistem transmisi iaitu manual enam-kelajuan atau CVT automatik X-Tronic.

Sistem bantuan pemanduan Advanced Driver Assist System (ADAS) yang terdiri dari sistem brek kecemasan automatik, sistem amaran keluar laluan, sistem amaran jarak selamat, sistem pengenalan papan tanda trafik dengan amaran kelajuan, amaran titik buta dan pengesan kelesuan pemandu juga ditawarkan bergantung kepada pasaran. Koloes turut dilengkapi kamera undur, lampu tinggi hadapan automatik serta penderia parkir dan bantuan parkir.

Koleos akan diproduksi di Busan, Korea Selatan dan akan dieksport ke pasaran lain selain China. Untuk pasaran China, Koloes akan dibina di Kilang Renault yang terletak Wuhan.

SUV ini bakal menembusi 80 pasaran di seluruh dunia bermula suku ketiga 2016 di Australia, Turki, negara-negara teluk, dan sebahagian pasaran Afrika dan Amerika Latin. Untuk pasaran China pula, ia dijangka mula masuk ke bilik pameran pada penghujung suku terakhir 2016, dan hanya sampai ke Eropah dan Russia pada awal 2017.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required