Renault telah menyiarkan video teser pertama berkenaan model SUV baharu mereka, yang sebelum ini dijangka akan digelar sebagai Maxthon. Model yang dikatakan sebagai pengganti model Koleos sedia ada ini, pada asasnya adalah versi lebih besar Renault Kadjar yang turut mensasarkan pasaran SUV bersaiz lebih besar seperti Mitsubishi Outlander, Hyundai Santa Fe, Kia Sorento, dan juga Nissan X-Trail di mana ia dibina dengan asas yang sama dengan SUV terbaharu keluaran Renault ini.

Video berkenaan dilihat sebagai episod pertama dari siri video yang bakal ditayangkan kelak oleh pihak Renault dan memberikan sedikit perincian tentang model baharu tersebut. Pada video yang disiarkan kali ini, Renault memaparkan sebahagian lampu hadapannya dan membayangkan SUV ini akan dilengkapi dengan lampu hadapan LED dengan rekaan berbentuk-C seperti rekaan pada sedan Talisman dan hatchback Megane IV, berbeza dengan rekaan berbentuk trapezoid pada Kadjar.

Seperti disebutkan tadi, SUV baharu ini dibina berasaskan platform Common Module Family (CMF-CD) sama seperti Nissan X-Trail. Platform tersebut diukur dengan panjang 4,700 mm, dan akan mempunyai saiz yang hampir dengan pesaingnya yang lain, lebih besar sedikit daripada Honda CR-V serta Mazda CX-5 yang sedang disaingi oleh Kadjar sekarang.

Walau bagaimanapun, tidak seperti pesaingnya yang lain, SUV Renault baharu ini tidak akan ditawarkan dalam varian tujuh-tempat duduk, sekurang-kurangnya pada peringkat awal pengenalannya. CEO Renault Thierry Bollore berkata kepada Auto Express: “Ia tidak bermaksud yang ianya tidak akan berlaku, tetapi buat masa sekarang ia tidak akan dilengkapi dengan tujuh tempat duduk.” Tambah beliau, SUV tersebut dibina dengan idea untuk menempatkan tujuh tempat duduk, jadi bentangan tempat duduk sedemikian mungkin akan wujud pada peringkat seterusnya.

Ketua pereka bentuk Laurens van den Acker turut meredakan khabar angin yang SUV tersebut akan disediakan dalam varian tujuh-tempat duduk. “Saya tidak fikir ada ramai keluarga yang mempunyai empat orang kanak-kanak semata-mata untuk menghasilkan sebuah lagi model tujuh-tempat duduk,” kata beliau kepada Automotive News. Setakat ini mereka yang mahukan Renault dengan tempat duduk tambahan akan cenderung untuk memilih Espace dan Kangoo.

SPYSHOT: SUV Renault baharu