2016-renault-koleos-first-pic-1_BM

Selepas video teaser SUV terbaharu ini disiarkan, Renault telah mendedahkan secara rasmi imej Renault Koleos 2016. SUV segmen-D tersebut yang sebelum ini dikhabarkan akan digelar Renault Maxthon, akan melakukan kemunculan sulungnya untuk peringkat global di Beijing International Auto Exhibition yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Koleos yang berada pada kelas yang lebih tinggi daripada Captur dan Kadjar dalam barisan SUV Renault, akan menghadapi saingan dari Mitsubishi Outlander, Hyundai Santa Fe dan Kia Sorento. Koleos baharu ini dibina berasaskan platform Common Module Family Architecture (CMF-CD) yang dihasilkan menerusi Pakatan Renault-Nissan – yang juga digunakan sebagai asas binaan Nissan X-Trail terkini. Beberapa laporan mengatakan Koleos akan diproduksi di Korea Selatan.

Perincian rasmi model ini masih lagi belum dikeluarkan selain dari kenyataan media dari Renault yang menyebut Koleos akan menawarkan “kebolehan pada setiap permukaan jalan dalam masa yang sama memastikan pemanduan, pengendalian dan stabiliti yang terbaik.” Selain dari sekeping gambar rasmi yang disiarkan oleh Renault, terdapat juga dua keping gambar SUV segmen-D tersebut yang telah bocor di alam maya, memberikan gambaran yang jelas bahagian belakangnya.

Pada bahagian hadapan, Koleos diberikan gril yang garang dengan motif jaluran melintang beserta logo Renault yang diletakkan pada bahagian tengah. Lampu hadapan berbentuk-C yang turut menempatkan lampu nyalaan siang LED seperti yang ditunjukkan pada video teaser tempoh hari juga ditampilkan. Pada bahagian belakang pula, Koleos dilengkapi dengan sepasang lampu belakang yang digabungkan bersama lampu pada pintu belakang direka hampir bersambung antara kedua-duanya serta dua unit tip ekzos yang ditempatkan pada setiap sisi bampar belakang.

Imej bahagian dalaman Koleos belum lagi disebarkan disebarkan, tetapi telah dinyatakan dalam laporan sebelum ini, SUV ini akan hanya menampilkan konfigurasi lima-tempat duduk. Ini telah disahkan oleh CEO Renault, Thierry Bollore yang menyatakan Koleos tujuh-tempat duduk mungkin akan diperkenalkan untuk peringkat seterusnya.