Kerjasama Volkswagen Group dan Tata Motors batal – tiada ‘Skoda mampu milik’ untuk pasaran India

Kerjasama Volkswagen Group dan Tata Motors batal – tiada ‘Skoda mampu milik’ untuk pasaran India

Mac lalu, CEO Volkswagen Group Matthias Muller dilaporkan menandatangani memorandum persefahaman antara syarikatnya dengan pengeluar kenderaan dari India iaitu Tata Motors. Kerjasama berkenaan adalah usaha Volkswagen untuk memperkasakan jualannya ke pasaran India dan bakal dibuat menerusi jenama Republik Czech yang berada di bawah naungannya iaitu Skoda, yang bakal membangunkan model-model mampu milik bersama Tata.

Namun menerusi kenyataan ringkas terbaharu yang dikeluarkan oleh Skoda, kedua-dua pihak nampaknya tidak mencapai kata sepakat dan kerjasama tersebut akan ditamatkan. Namun keputusan terbaharu ini tidak akan melibatkan apa-apa keputusan lain sekiranya ada perbincangan yang akan dibuat pada masa akan datang.

“Skoda Auto telah membuat pentaksiran dan penilaian terhadap kerjasama strategik yang berpotensi dengan Tata Motors Ltd selama berberapa minggu dan bulan kebelakangan ini. Dalam langkah tersebut, kedua-dua pihak membuat kesimpulan pada tahap ini, tiada aspek teknikal atau sinergi ekonomik yang dapat dicapai bagi meneruskan minat kedua-dua pihak. Oleh itu, kerjasama strategik yang dirancang tidak lagi akan diteruskan buat masa ini. Kedua-dua pihak ingin menegaskan bahawa berikutan perbincangan yang intensif dan konstruktif dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ia tidak memutuskan kemungkinan kerjasama pada masa hadapan,” kata kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

Walaupun telah dinobatkan sebagai pengeluar terlaris di dunia tahun lalu dan sangat kuat di pasaran China, Volkswagen agak bermasalah di India kerana pasaran tersebut amat sensitif dengan harga. Kerjasama yang dirancang dengan Tata ini pada asalnya untuk membina model-model khas di bawah jenama Skoda, mengabungkan teknologi Kumpulan VW dan juga kepakaran Tata dalam menghasilkan produk yang lebih rendah kos bagi pasaran India.

Kedua-dua syarikat telah menjalankan rundingan struktur kerjasama ini lebih dari setahun sehingga Mac lalu. Pada peringkat awal, VW mahukan platform MQB-A miliknya untuk digunakan untuk projek ini, tetapi ia akan melibatkan kos yang tinggi dan bakal menghasilkan produk dengan harga yang tidak kompetitif pada pasaran India.

Selepas itu, Tata Motors pula menawarkan untuk menggunakan Advanced Modular Platform (AMP) yang telah dibina untuk model-model mereka untuk masa hadapan, yang lebih efektif dari segi kos serta lebih fleksibel untuk menghasilkan produk yang lebih pelbagai. VW agak skeptikal dengan tawaran ini pada awalnya, tetapi bersetuju setelah hasil ujian terhadap platform berkenaan yang memberangsangkan oleh firma kejuruteraan bebas Jerman, EDAG.

Tata pula bersetuju untuk menggunakan teknologi elektrikal VW untuk produk-produk yang bakal dihasilkan dari platform AMP ini kerana ia jauh lebih baik berbanding sistem elektrikal mereka dan ia masih lagi efektif dari segi kos. Tata juga akan mengetuai pembangunan enjin kerana unit janakuasa VW agak sukar untuk dihasilkan dengan menggunakan kandungan komponen tempatan yang banyak, dan bakal meningkatkan kos serta menjadikan harganya tidak kompetitif di India.

Namun segala yang dirancang ini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan setelah kerjasama tersebut sah dibatalkan. Sebelum ini juga Volkswagen sangat berharap kerjasama berkenaan akan berjaya kerana mereka pernah gagal untuk berunding dengan Suzuki Motor Co. (Maruti Suzuki di India) kerana isu budaya – kedua-dua syarikat mempunyai budaya yang jauh berbeza.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required