Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

Nissan akhirnya mendedahkan model Leaf 2018 serba baru. Model generasi kedua ini diangkat sebagai “kenderaan elektrik paling maju di dunia untuk pasaran massa” dan ikon kepada visi Mobiliti Pintar syarikat itu. Untuk pengetahuan, Tesla bukanlah untuk pasaran massa (besar-besaran) dan Leaf adalah peneraju kenderaan elektrik semasa ia belum popular lagi pada tahun 2010.

leaf baru ini menggabungkan jarak penggunaan yang lebih jauh dengan rekan lebih dinamik dan teknologi baru. Nadi penggeraknya menawarkan kecekapan tenaga yang diperelok, bersama tambahan kuasa dan tork, yang kini berada pada 110 kW (148 hp) dan 320 Nm. Ini masing-masing adalah peningkatan sebanyak 38% dan 26%.

Memberi kuasa kepada motor elektrik EM57 pada kenderaan ini adalah pek bateri lithium-ion 40 kWh. Pada tahun 2016, bateri Leaf telah diberikan naik taraf daripada 24 kWh kepada 30 kWh, jadi ini dianggap sebagai satu langkah yang besar sambil mengekalkan dimensi pek bateri tersebut. Jika dibandingkan dengan Leaf pada tahun 2010, bateri pada model baru ini mempunyai ketumpatan tenaga 67% lebih baik. Selain itu, dengan penggunaan elektrod yang dipertingkat dan formula baru juga, ketahanan bateri ini dapat diperbaiki.

Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

Apabila diuji dalam kitaran Japan Cycle, satu cas penuh bateri 40 kWh Leaf baru dapat memberi jarak pergerakan 400 km, manakala dalam ujian New European Driving Cycle (NEDC) pula, 378 km dan ujian EPA di Amerika Syarikat 241 km (150 batu). Menurut Nissan, mereka akan mengeluarkan versi berkuasa lebih tinggi dengan kapasiti bateri serta kuasa yang lebih tinggi pada penghujung tahun 2018.

Untuk masa mengecas pula, Nissan meletakkan tempoh lapan jam sekiranya menggunakan sumber 6 kW, manakala apabila menggunakan sumber 3 kW, ia menjadi 16 jam. Terdapat juga mod mengecas pantas apabila menggunakan soket CHAdeMO, dan ia akan mengambil masa 40 minit untuk mencapai tahap 80% penuh. Kadar cas AC maksimum yang boleh digunakan adalah 6.6 kW.

Untuk memadankan kenderaan ini dengan kuasa yang lebih tinggi, Nissan turut menaik taraf casis Leaf 2018 untuk stabiliti lebih baik, dengan cara meletakkan barang yang berat seperti bateri di bahagian tengah badan, seterusnya mengurangkan kereta menjunam apabila membrek dengan kuat (perkara biasa bagi kenderaan yang menggunakan enjin di hadapan).

Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

Nissan juga memberitahu bahawa stereng kuasa elektrik Leaf mempunyai rasa yang lebih linear dan tindak balas lebih baik. Selain itu, bump stop yang menggunakan bahan urethane sebelum ini telah diganti dengan getah biasa untuk keselesaan. Sistem Intelligent Ride Control pada Leaf dapat menguruskan penghasilan tork semasa mengambil selekoh, mengurangkan getaran dan meningkatkan kualiti pemanduan.

Biasanya bagi sebuah kenderaan elektrik, disebabkan tiada enjin, bunyi bising angin akan jelas kedengaran. Bagi mengurangkan perkara ini, Nissan telah memberikan peningkatan aerodinamik (Cd 0.28) dan beberapa penghalusan lain pada badannya. Langkah lain yang diambil untuk mengurangkan bunyi dalam kenderaan adalah ketegaran struktur inverter yang direka semula, lapik penyerap bunyi di atas modul penyampai kuasa dan bunyi motor elektrik sendiri dikurangkan.

Leaf 2018 ini juga dilengkapi dengan teknologi pemanduan pintar antaranya ProPILOT, iaitu sistem pemanduan autonomous dalam satu lorong. Apabila diaktifkan, kenderaan ini dapat mengekalkan jarak dengan kenderaan hadapan pada kelajuan yang ditetapkan (antara 30 km/j hingga 100 km/j), sambil stereng dikawal untuk memastikan kenderaan tetap dalam satu lorong. Ia juga boleh membrek sehingga berhenti sepenuhnya secara automatik apabila perlu.

Nissan Leaf 2018 punya lebih teknologi dan bergaya

Seterusnya adalah ProPILOT Park yang menggabungkan teknologi pemprosesan gambar menggunakan empat kamera dan 12 pengesan ultrasonik sekitar kenderaan untuk membantu meletakkan kenderaan dalam petak secara automatik. Sistem ini juga boleh mengambil alih tugas mencari lokasi letak kenderaan, pecutan, brek, kawalan stereng dan brek tangan.

Satu lagi ciri teknologi baru adalah e-Pedal, yang membenarkan pemandu mengawal pecutan, memperlahankan kenderaan dan membrek dengan hanya menggunakan satu pedal sahaja (pedal pendikit). Untuk memperlahankan kenderaan, anda hanya perlu melepaskan perlahan-lahan pedal tersebut, manakala untuk berhenti, angkat terus kaki daripada pedal. Sekiranya ciri ini sedang aktif, pemandu masih boleh menggunakan pedal brek untuk berhenti, terutamanya dalam waktu kecemasan.

Pada aspek keselamatan, Leaf dilengkapi dengan pakej Safety Shield, yang termasuk Intelligent Lane Intervention, Lane Departure Warning, Intelligent Emergency Braking, Blind Spot Warning, Traffic Sign Recognition, Rear Cross Traffic Alert, Intelligent Around View Monitor dengan pengesan objek bergerak dan Emergency Assist for Pedal Misapplication.

Bentuk Leaf baru ini juga tidak lagi pelik seperti dulu. Rekaannya mendapat inspirasi daripada model IDS Concept yang pernah ditunjukkan di Tokyo pada tahun 2015 dan menggunakan konsep rekaan sama seperti March baru, yang lebih dinamik dan sporty. Pada bahagian depan, tempat mengecasnya menggunakan sudut condong 45 darjah supaya lebih mudah dicapai oleh pengguna tanpa menunduk.

Pada bahagian dalam, keadaannya ringkas tetapi tetap bergaya. Kebanyakan bahagian berwarna hitam bersama selingan kemasan biru dan perak, manakala di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin yang memamaparkan operasi kenderaan termasuk kuasa yang tinggal dan jarak pergerakan. Pemilik juga boleh menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mengetahui informasi semasa berkenaan kenderaan mereka dan mencari tempat mengecas.

Nissan Leaf akan mula dijual di Jepun pada bulan Oktober manakala untuk Amerika Utara dan Eropah pula pada awal tahun 2018.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required