TUNGGANG UJI: KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

TUNGGANG UJI: KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

Barisan model naked KTM Duke mula memasuki pasaran Malaysia dengan versi Duke 200 pada tahun 2011, dan kemudiannya diikuti oleh Duke 390 dan Duke 250 pada tahun-tahun selepas itu. Sejak dari mula diperkenalkan, selain grafik, bentuknya tidak banyak berubah, menyebabkan ia semakin pudar dalam pasaran.

Apatah lagi, segmennya semakin menerima banyak saingan dengan model-model baru seperti Yamaha R25, Honda CBR250R, Kawasaki Z250, Benelli TnT25, Naza N5, Megelli 250 dan beberapa model lain. Segmen motosikal 250 cc ini semakin meriah kerana banyak pengeluar yang mahu menambat hati pengguna dengan model yang menarik, tanpa perlu menaik taraf lesen motosikal B2 kepada B.

Dalam pasaran global, pada tahun 2017 ini, KTM telah memperkenalkan model baru Duke tahap permulaan (entry level) yang tampil lebih menarik dan datang dalam beberapa kapasiti antara 125 cc hingga 390 cc. Sejak daripada itu, ramai yang tertunggu-tunggu kehadirannya di Malaysia.

Akhirnya, minggu lalu Duke 2017 ini dilancarkan di negara kita dan ia didatangkan dalam dua pilihan iaitu Duke 250 dan Duke 390. Kedua-duanya adalah model pemasangan tempatan yang dilakukan di kilang KTM Malaysia di Jitra, Kedah dan seperti yang boleh dilihat, kini tiada lagi Duke 200 dalam barisannya.

Bagi saya, ini adalah langkah yang bagus diambil oleh KTM Malaysia kerana untuk merasakan kuasa yang berpadanan pada model ini, pengguna sekurang-kurangnya perlu memilih model 250 untuk berpuas hati. Walaubagaimanapun, Duke 200 sentiasa menjadi sasaran mereka yang mempunyai bajet terhad dan mahukan sesuatu yang lebih sporty berbanding model biasa.

TUNGGANG UJI: KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

Semasa pelancaran, harga bagi Duke 250 dan Duke 390 2017 ditetapkan pada RM21,730 dan RM28,800 termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran lain. Beza harga antara keduanya adalah RM7,070, dan sebelum pergi lebih lanjut kepada pengalaman menunggang motosikal ini, saya mahu menyatakan apa perbezaan di antara keduanya.

Seperti yang anda boleh lihat, kerangka asas yang lebih terdedah sehingga ke belakang serta panel badan baru pada motosikal ini adalah sama, tetapi paling jelas, enjinnya adalah berbeza (tetapi masih lagi satu silinder) iaitu Duke 250 menggunakan enjin 248.8 cc manakala Duke 390 menggunakan enjin 373.2 cc. Transmisi adalah sama iaitu unit enam kelajuan dengan klac slipper PASC.

Selain daripada itu, Duke 390 juga memiliki kelebihan lain termasuk lampu hadapan LED, paparan meter TFT pelbagai warna dengan pilihan tambahan KTM My Ride, sistem pendikit ride-by-wire, pilihan mod ABS supermoto dan brek cakera 320 mm (+20 mm) di hadapan.

Bahagian utama lain pula masih sama termasuk suspensi WP USD 43 mm di hadapan, monoshock WP di belakang, sistem ABS two-channel, rim 17 inci dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang, tinggi tempat duduk 830 mm, berat sekitar 149 kg dan kapasiti tangki minyak 13.4 liter.

Jadi daripada semua perincian ini sudah boleh diketahui, perbezaannya apabila menunggang dua model ini cuma adalah kuasa. Dalam sesi tunggang uji yang dianjurkan oleh KTM Malaysia ini, pengalaman saya boleh mengesahkan perkara ini dan ia cuma lebih jelas apabila mencecah kelajuan tinggi, di mana Duke 390 dapat mencapai kelajuan maksimum yang lebih tinggi berbanding Duke 250.

TUNGGANG UJI: KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

Jadi, dalam laporan tunggang uji ringkas dari Kota Damansara ke Bukit Tinggi dan berpatah balik ini, saya cuma akan fokus kepada Duke 390, yang mana naik tarafnya berbanding model terdahulu adalah lebih signifikan, tetapi memerlukan anda menaik taraf lesen kepada B penuh jika mahu memilikinya.

Tampil dalam gaya baru, yang mana tarikan utamanya adalah pada bahagian lampu hadapan (LED untuk 390), Duke 2017 menjadi lebih garang kerana penggayaan sama turut digunakan pada model yang lebih besar seperti Super Duke 1290 dan Super Adventure 1290. Saya juga ada menerima maklum balas daripada individu yang tidak pernah menunggang motosikal, tetapi rasa begitu tertarik dengan motosikal ini kerana penampilannya. Walaubagaimanapun, itu masih adalah perkara subjektif kerana bukan semua orang akan menggemari muka seperti serangga ini.

Menunggang motosikal berkuasa tinggi ini memerlukan kawalan diri yang tinggi, dan sekiranya anda rasa boleh mengawal diri dengan baik, saya tidak takut untuk menyarankan motosikal ini untuk anda. Pertamanya ia adalah ringan dan mudah dikawal, manakala kuasanya pula tidaklah begitu mengejutkan apabila pendikit dipulas.

Cuma bagi mereka yang mempunyai ketinggian di bawah 160 sm, anda mungkin mahu mencuba terlebih dahulu duduk di atas motosikal ini kerana ketinggian 830 mm boleh dianggap tinggi juga. Sebagai perbandingan di sini, anda boleh melihat contoh Yamaha MT-07, tinggi tempat duduknya cuma 805 mm manakala dalam keluarga KTM sendiri model Super Duke GT juga mempunyai ketinggian tempat duduk hampir sama iaitu 835 mm.

Bagi saya yang berketinggian sekitar 180 sm memang tidak menjadi masalah, dan kedua-dua tapak kaki masih boleh dipijak rata serentak apabila duduk atas motosikal ini, tetapi bagi seorang lagi rakan yang mempunyai ketinggian 161 sm, untuk meletakkan dua kaki serentak, kedua-duanya menjingkit. Jika hendak menolak motosikal ke belakang sambil duduk, ini memang menjadi masalah.

Tapi bagaimanapun, jika anda dapat mempelajari teknik yang betul, apabila sudah bergerak ia tidak akan menjadi masalah kerana motosikal ini ringan dan mudah dikawal. Walaupun di dalam kesesakan bandar, anda tidak akan terbeban untuk menyelinap di antara kereta yang sangkut.

Bagi yang lebih berpengalaman, motosikal sebegini akan lebih dinikmati apabila masuk jalan berselekoh yang tidak terlalu luas, contohnya seperti di Bukit Tinggi, dan selekohnya berturut-turut. Untuk menarik motosikal ini daripada baring ke arah kiri, membalas pula ke sebelah kanan adalah mudah dan anda tidak perlu bekerja keras. Suspensi untuk model 2017 ini juga telah diperelok, dan dapat memberi lebih keyakinan sewaktu berhadapan selekoh.

Berkenaan kuasa pada Duke 390 ini, di atas lebuh raya, ia boleh pergi lebih daripada 170 km/j tapi saya sendiri tidak mahu pergi lebih laju daripada itu kerana malas mahu menahan tolakan angin bahagian depannya yang terdedah dan lagipun, keringanan badan motosikal ini sudah mula terasa. Biasa bagi motosikal satu silinder, ‘tumbukan’ operasi dalam silinder itu lebih terasa dengan terdapat sedikit gegaran halus, tetapi ia tetap lancar.

Disebabkan ia boleh pergi agak laju, KTM telah menyediakan brek hadapan yang lebih besar pada model 390 ini berbanding 250, bersama sistem ABS two-channel. Kuasa henti yang disediakan mencukupi dan saya sentiasa boleh berhenti dalam jarak yang dimahukan. Ini semua adalah ciri yang dimahukan oleh penunggang biasa, tetapi KTM juga ada menyediakan sesuatu bagi mereka yang lebih ‘nakal’.

Yang dimaksudkan adalah mod ABS ‘supermoto’. Konsep mod ini sebenarnya adalah mudah, iaitu ABS brek belakang ditutup, dan ABS di hadapan masih berfungsi tetapi KTM telah terbit dengan satu terma yang cukup menarik iaitu supermoto. Mod ini boleh dipilih melalui butang kawalan pada bahagian kiri pemegang dan dilihat pada panel meter TFT, tetapi setakat yang saya cuba, ia hanya boleh dilakukan sewaktu motosikal berhenti. Apabila mod ini diaktifkan, anda boleh ‘mengunci’ tayar belakang dan mula menggelungsur. Selain mod ini, anda juga boleh menutup terus ABS untuk kedua-dua tayar.

Tidak dinafikan, panel meter TFT berwarna penuh ini juga menjadikan Duke 390 2017 nampak lebih premium berbanding sebelum ini, malah mengikut KTM, ia adalah yang pertama di dalam segmennya. Operasi meter ini cukup mudah menggunakan butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang, sementara informasi yang dipaparkan cukup lengkap.

Dalam paparan utama terdapat semua informasi penting seperti kelajuan, rpm, kedudukan gear, lampu-lampu amaran dan jarak perjalanan, manakala apabila menekan butang ‘set‘ anda boleh mengubah tetapan fungsi motosikal termasuk antaranya mod ABS dan lampu siang LED.

Namun satu lagi fungsi menarik yang boleh didapati melalui skrin ini adalah KTM MyRide, yang membolehkan penunggang menghubungkan telefon pintar dengan motosikal ini melalui bluetooth. Harganya cuma RM190.80 termasuk GST, dan dengannya, penunggang boleh menjawab panggilan dan mengawal pemain muzik di dalam telefon menggunakan butang kawalan pada motosikal.

Turut dinyatakan sewaktu pelancaran adalah Duke 2017 mempunyai posisi tunggangan yang lebih agresif berbanding model sebelum ini. Bezanya terlalu sedikit dan saya rasa ia seperti tidak memberi sebarang kesan. Dalam kedudukan biasa sambil tangan di pemegang, saya tidak rasa badan saya tunduk banyak. Yang lebih menarik perhatian saya sebenarnya adalah panel pada bahagian tangki.

Untuk model baru ini, tangkinya adalah besi, bermakna bolehlah anda menggunakan beg bermagnet untuk diletakkan di atasnya, tetapi panel plastik di tepinya itu sendiri direka bukan sahaja untuk penampilan, malah keselesaan penunggang turut diambil kira. Walaupun saya tinggi dan mempunyai kaki panjang, lutut saya tidak terganggu dengan panel ini, dan ruang yang ada masih luas. Ia juga sedap untuk dikepit waktu mengambil selekoh atau bergerak lurus.

TUNGGANG UJI: KTM Duke 250 dan 390 2017 – lebih garang, terus tunjuk prestasi baik menari di selekoh

Bagi model 2017 ini, KTM Duke turut menerima penarafan emisi Euro 4, yang mana peraturannya semakin ketat terutama di bahagian Eropah. Biasanya apabila aspek emisi ini diberi keutamaan, kebanyakan motosikal boleh dilihat mempunyai ekzos yang lebih senyap, dan adakalanya lebih besar sehingga mencacatkan penampilan keseluruhan motosikal tersebut.

Walaubagaimanapun, Duke 2017 tidak sebegitu. Walaupun sebelum ini menggunakan ekzos yang berakhir pendek di bahagian tengah, bawah motosikal, manakala unit baru ini keluar dengan peredam bunyi di bahagian kanan motosikal, ia masih lagi kelihatan menarik. Lebih memuaskan, walaupun dengan unit asal ini, anda masih boleh mendengar deruman enjin apabila pendikit dipulas. Kalau mahu lebih kuat, sudah tentulah anda perlu menukar kepada ekzos Akrapovic contohnya.

Dengan semua ini telah dinyatakan, saya masih berpendapat KTM Duke adalah motosikal yang sukar ditandingi dalam aspek keseronokan tunggangan, dan tambah baik, model 2017 ini tampil lebih garang dan moden berbanding pesaingnya, terutamanya model jenama Jepun. Melalui model 390, penunggang yang sudah berpengalaman dengan motosikal yang berkuasa lebih tinggi pun mungkin boleh berpuas hati dengannya.


GALERI: KTM Duke 390 2017

GALERI: KTM Duke 250 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required