2016 KTM Super Duke GT Launch -5

Pengedar jentera dua roda berkuasa tinggi KTM di Malaysia, Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd kini memperkenalkan model sport touring terbaru, dikenali sebagai KTM Super Duke GT 1290 2016, pada harga RM118,000 (RM125,080 termasuk GST).

Ia menggunakan enjin 1,301 cc V-Twin 75 darjah dari model Super Duke R, dan menjana 173 hp serta 144 Nm tork untuk memberikan kuasa tunggangan dan keselesaan sebagai sebuah jentera jelajah dan kembara. Ia juga lengkap dengan sistem drive-by-wire Keihin EFI, kuasanya disalurkan melalui kotak gear enam kelajuan dengan slipper cluthch hidraulik.

Kerangkanya diperbuat daripada besi chrome-moly dan ditampung oleh sistem suspensi WP semi-aktif di bahagian depan dan belakang, dengan jarak endapan 125 mm dan 156 mm. Bagi brek, sistem Twin Brembo monoblok dengan kaliper empat piston pada cakera brek 320mm melengkapi di bahagian depan, manakala sistem Brembo tunggal dengan kaliper dua piston di bahagian belakang. Ia juga dilengkapi ciri ABS yang daripada Bosch.

Bagi simpanan bahan api, tangki minyak dengan kapasiti 23 liter tersedia, sementara ketinggian tempat duduk pula ialah 835mm. Berat kering jentera ini ialah 205 kg dengan jarak kelegaan 140 mm, serta jarak rodanya pula ialah 1,482 mm.

KTM Super Duke GT 1290 2016 ini akan mula berada di bilik pameran terpilih jenama ini dalam masa terdekat. Motosikal sport touring ini dijual pada harga asas RM118,000 (RM125,080 jika termasuk GST), dengan satu pilihan warna saja ditawarkan ketika ini. Bagi tempoh terhad, selagi stok masih ada, model ini akan turut disertakan dengan kotak barangan sisi.