Skuter Yamaha NVX 155 pertama kali muncul di negara Asean sewaktu hujung minggu perlumbaan Moto GP di Sepang pada tahun lepas. Sejak itu, ramai yang tertunggu-tunggu pelancarannya. Bukan sahaja kerana jenama Yamaha itu sendiri, tetapi skuter ini dikatakan membawa semangat sporty, yang melebihi satu lagi skuter keluaran Yamaha yang menggunakan enjin 155 cc VVA sama iaitu NMax.

Ciri sporty ini bermula dengan aspek rekaan, yang seperti dilihat, NVX mempunyai lebih banyak garis tajam yang menjadikan ia nampak agresif dan membawa kesinambungan rekaan seperti model R25. Selain kuasa sebanyak 14.8 hp dan tork 13.8 Nm, pengendalian turut dipertingkat dengan penggunaan rim lebih besar, iaitu 14 inci, bersama tayar 110/80 di hadapan dan 140/70 di belakang.

Secara keseluruhannya, NVX ini 18 kg lebih ringan berbanding NMax, dan walaupun menggunakan padanan enjin dan transmisi sama, ia terasa lebih bersemangat, ditambah dengan talaan yang menjadikannya lebih responsif.

Bukan setakat pada prestasi, pada harga jualan NVX RM10,500 termasuk GST, pemilik juga akan menerima sistem berteknologi moden termasuk yang kami cukup gemari adalah sistem tanpa kunci berserta penggera. Dengannya, pengguna tidak perlu bersusah payah mengeluarkan kunci setiap kali mahu memulakan enjin. Selain itu, meter LCD 5.8 inci yang digunakan juga memberikan paparan yang menarik, terutamanya pada waktu malam.

Anda boleh mengetahui selebihnya berkenaan Yamaha NVX 155 ini melalui video yang telah kami sediakan di atas, atau untuk lebih terperinci lagi, laporan tunggang ujinya ada di sini, di mana ia turut menyatakan pendapat kami menunggang motosikal ini selama beberapa hari.