Imej Toyota Rush 2018 bocor di internet sebelum didedahkan secara rasmi sepenuhnya di Indonesia

Imej Toyota Rush 2018 bocor di internet sebelum didedahkan secara rasmi sepenuhnya di Indonesia

Pasaran MPV/SUV mampu milik Indonesia nampaknya benar-benar menarik perhatian jenama-jenama automotif Jepun. Setelah Mitsubishi Xpander membuat kemunculan sulungnya di Gaikindo International Indonesia Auto Show (GIIAS) Ogos lalu, selepas ini Toyota Rush 2018 pula akan membuat penampilan pertama diperingkat global di negara berkenaan.

Namun sebelum ia didedahkan secara rasmi, laman Autonetmagz terlebih dahulu telah menyiarkan imej SUV berkenaan yang telah bocor. Rush yang juga dikenali sebagai Daihatsu Terios pada sesetengah pasaran nampaknya akan muncul untuk generasi ketiga sebagai jelmaan produksi bagi model Daihatsu FT Concept yang pernah muncul di GIIAS 2015.

Gambar yang bocor ini jelas menunjukkan Rush kini lebih berbentuk seperti MPV berbanding dengan rupa sebuah SUV sebenar pada model-model sebelum ini. Laporan ini juga turut mendedahkan berberapa kelengkapan yang diberikan pada model generasi baharu ini antaranya, lampu hadapan reflektor LED, lampu nyalaan siang LED berbentuk-L, lampu belakang LED, lampu puddle LED pada cermin sisi dengan lipatan elektrik, spoiler belakang dengan lampu brek LED serta antena sirip-yu.

Dua varian muncul pada set imej kali ini iaitu G dan TRD Sportivo, di mana kedua-duanya diberikan standard dengan ciri-ciri yang dinyatakan diatas. Namun apa yang membezakan antara kedua-dua model ini adalah saiz dan rekaan rim di mana model G diberikan rim aloi 16-inci manakala TRD Sportivo (berwarna hitam) menerima rim dengan elemen rekaan turbin dua-tona bersaiz 17-inci – seperti rekaan yang ditampilkan pada Daihatsu FT Concept.

Ciri standard lain yang dibekalkan untuk varian G adalah termasuk fungsi sistem start-stop enjin automatik dan juga penghawa dingin manual dengan fungsi memori seperti pada Perodua Myvi 2018. Untuk TRD Sportivo pula, ia menerima penghawa dingin automatik, papan pemuka dengan material sentuhan-lembut serta sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Kedua-dua varian diberikan kamera undur, penderia parkir dan juga sistem infotaimen dengan skrin utama tujuh-inci. Untuk model tertinggi pula, pemain audio infotainmen utama turut akan diberikan sokongan Near-Field Communication (NFC) dan dihubungkan kepada lapan-pembesar suara.

Rush turut menerima roda stereng pelbagai fungsi yang hanya boleh dilaras tinggi-rendah, paparan instrumen analog bersama paparan pelbagai informasi TFT dan juga tiga port pengecas. Kereta baharu ini juga menerima brek ABS, EBD, VSC, bantuan mula-mendaki dan juga enam-beg udara. Namun khabar yang turut tersebar mengatakan, versi Daihatsu Terios hanya akan menerima empat beg-udara tetapi ia akan dilengkapi dengan kamera sekeliling 360-darjah yang tidak diterima oleh Rush.

Toyota Rush dan Daihatsu Terios dijangka bakal dijana enjin baharu 1.5 liter empat silinder Dual VVT-i 2NR-VE, iaitu enjin yang sama berada dalam perut Myvi 1.5L 2018. Ia berupaya menjana 102 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada takat 4,200 rpm – 6 hp lebih berkuasa tetapi 6 Nm kurang tork berbanding enjin 1.5 liter terdahulu. Walau bagaimanapun, enjin ini direka bagi mendapatkan penggunaan bahan api yang lebih efisien.

Untuk pasaran Indonesia, Toyota Rush 2018 dilaporkan akan dijual Rp.5,000,000 (RM1,540) lebih mahal dari sebelum ini. Untuk model terdahulu, Rush dijual pada harga bermula Rp 228.7 juta untuk G manual hingga Rp.262.45 juta (RM78,534) untuk TRD Sportivo Ultimo A/T. Selain Xpander, Rush turut akan memberikan tentangan sengit terhadap Honda BR-V dan Suzuki Ertiga pada pasaran berkenaan.

Toyota Rush dan Daihatsu Terios pernah dihasilkan dalam versi Perodua sebelum ini iaitu Kembara dan juga Nautica. Jadi tidak hairan jika ada desas-desus mengatakan model generasi baharu ini turut akan hadir sebagai Alza generasi seterusnya atau SUV kompak baharu yang disebut-sebut sebelum ini.

Namun mengikut trend yang ditunjukkan pada dua model serba baharu yang dilancarkan oleh Perodua iaitu Bezza dan Myvi, pembuat automotif dari Rawang berkenaan nampaknya ‘sedang berseronok’ dengan unit R&D mereka – menghasilkan upper body Bezza dan Myvi, serta mengolah kembali platform Myvi lama bagi menjadikannya sebuah platform baharu.

Adakah Perodua akan ‘menarik’ platform Myvi 2018 bagi menghasilkan Alza baharu (seperti apa yang dilakukan oleh Toyota terhadap MPV Passo Sette iaitu asas Alza sedia ada), atau SUV dengan platform baharu ini tetapi dengan upper body dari Perodua sendiri, perkara ini sebenarnya masih agak sukar untuk diramal.

GALERI: Daihatsu FT Concept di GIIAS 2015

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required