DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

Kita mungkin sudah tak asing lagi dengan nama Uber atau Grab. Tapi, menjelang April nanti, akan ada satu lagi platform perkongsian kenderaan yang akan dilancarkan di Malaysia, dikenali dengan nama Decentralize Alternative Cabs Serving & Empowering Everyone (DACSEE).

Walaupun penampilan antaramuka dan aplikasi yang akan diperkenalkan nanti nampak macam sama sahaja dengan dua lagi perkhidmatan yang dinyatakan itu, menurut DACSEE pendekatan platform yang mereka perkenalkan ini sangat berbeza dari segi operasinya – ia memberikan tumpuan dan keutamaan kepada komuniti dan lingkungan serta kitaran sistem mereka, serta kelebihan untuk mengurus dan menjalankan operasi sendiri. DACSEE hanya menyediakan platform open source untuk tujuan itu.

Berbeza dengan Uber atau Grab yang setiap aspek operasinya ditentukan oleh syarikat (pemandu hanya wajib mematuhi apa saja keputusan yang dibuat) yang bertindak selaku orang tengah di dalam perkhidmatan berkenaan, dengan DACSEE, tiada lagi peranan orang tengah seperti itu – ia bertujuan untuk memberdayakan lingkungan komuniti pemandu dan pengguna yang ada. Pemandu boleh menjana pendapatan yang lebih bagi setiap perjalanan yang dilakukan serta berdasarkan jumlah pemandu lain yang mereka cadangkan (referral) untuk menyertai platform ini.

DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

Menurut CEO DACSEE, Alexander von Kaldenberg, ini boleh dicapai kerana dalam kaedah sedia ada, syarikat yang menyelia operasi berkenaan akan mengambil peratusan daripada jumlah bayaran yang dikutip bagi setiap perjalanan yang pemandu lakukan. Ketika ini, Grab dan Uber mengambil sekitar 20% daripada jumlah tambang.

Tetapi lain halnya dengan DACSEE. Oleh kerana ia satu platform terbuka open source, maka ia tidak dimiliki atau dimonopoli oleh mana-mana syarikat. Pihak berkepentingan bagi platform ini terdiri pemandu sendiri, pengguna atau penumpang serta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) selaku badan kerajaan yang akan meluluskan pemohonan pemandu. DACSEE hanya bertindak selaku penyedia platform.

Menurut DACSEE, mekanisme yang digunakan adalah seperti ini; jika pemandu A mencadangkan individu B untuk ikut serta jadi pemandu, A akan mendapat imbuhan/komisyen daripada setiap tambang yang dikutip oleh B bagi setiap perjalanannya. Kemudian, jika B pula mengajak individu C untuk ikut serta, A dan B tetap akan mendapatkan imbuhan daripada setiap tambang yang dikutip C. Bagaimanapun, maksimum imbuhan ini adalah hanya pada tahap 3-tier dalam rangkaian berkenaan sahaja.

DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

Ya, bunyinya sama pernah kita dengar dari skim multi level marketing (MLM), tetapi menurut DACSEE, ia hanya melibatkan aspek agihan pendapatan tanpa pemandu mengeluarkan apa-apa modal pendahuluan.

Mengambil contoh potongan 20% yang diamalkan ketika ini oleh dua syarikat sedia ada yang beroperasi itu, setiap bahagian imbuhan atau komisyen yang dimaksudkan adalah dari jumlah ini sahaja, dan tidak mengganggu 80% lagi yang menjadi pendapatan pemandu.

Bezanya, 20% yang potong itu tidak diambil oleh DACSEE, sebaliknya akan digunakan kembali untuk komuniti berkenaan; dalam konteks ini, seperti contoh yang diberikan ketika sidang media, 2% daripada jumlah itu adalah komisyen kepada pemandu di peringkat yang lebih atas yang mencadangkan (recurring over riding referral comission) – serta termasuk pecahan bahagian yang sama kepada pihak DACSEE selaku penyedia platform.

DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

Bagaimanapun, peratusan-peratusan ini hanyalah contoh yang diberikan. Jumlah yang dipersetujui nanti mungkin berbeza. Semua perkara berkaitan, misalnya tambang yang akan dikenakan bagi setiap kilometer perjalanan, akan ditentukan dan dipersetujui sendiri oleh pihak berkepentingan di dalam lingkungan ini (pemandu, pengguna dan SPAD) dan bukannya oleh DACSEE.

Antara keunikan lain yang ditawarkan oleh DACSEE ialah penumpang boleh membuat senarai pemandu kegemaran mereka sendiri – membolehkan penumpang merasa selesa dan selamat – dan boleh menempah perkhidmatan mereka secara terus jika mahu.

Sekiranya berlaku sebarang insiden atau kecemasan, pengguna boleh memaklumkan melalui aplikasi berkenaan, dan individi yang berada dalam lingkungan yang sama dapat memberikan respon serta tindakan susulan yang lebih cepat. Begitu juga dengan pemandu, mereka juga ada pilihan untuk tidak lagi menerima tempahan pelanggan (yang cerewet dan tidak bertimbang rasa, misalnya).

Pemilihan pemandu juga dilakukan oleh lingkungan komuniti. Jika pemandu A mencadangkan rakannnya B, ia masih perlu disahkan dan diteliti oleh seorang lagi pemandu lain, dan terakhir, kata putus dan kelulusan lesen yang muktamad akan dikeluarkan hanya oleh SPAD selepas menilai dokumen dan latar belakang mereka.

DACSEE ingin jadi platform e-hailing bertujuan untuk memberdayakan komuniti, bukan monopoli syarikat

Hanya selepas mendapat kelulusan SPAD barulah mereka boleh mula memandu. Dengan cara ini, jika B melakukan perkara-perkara yang melanggar peraturan, A juga boleh disiasat. Menurut DACSEE, ini adalah bertujuan untuk melahirkan rasa tanggungjawab dalam kalangan pemandu yang terlibat.

Buat masa ini, DACSEE masih di dalam fasa ujian dan pengambilan pemandu. Lebih daripada 5,000 pemandu sudah berdaftar, dan akan memulakan ujian terhadap operasi dan aplikasinya pada Februari nanti dan jika semua berjalan lancar, ia akan mula beroperasi sepenuhnya pada bulan April.

Hanya selepas itu barulah kita dapat lihat keberkesanan sistem ini. Dan, jika ia dapat memberikan pulangan pendapatan yang lebih berbaloi kepada pemandu dan penumpang dalam tempoh kerja yang lebih singkat seperti yang didakwa, ia mungkin akan menarik perhatian lebih ramai pemandu. Ataupun sebaliknya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Ahmad Kamil Mardzi on Jan 17, 2018 at 3:41 pm

    1st tier of downlines, get 1% commission
    2nd tier of dowlines, get 2% commission
    3rd tier of downlines, get 20% commission

    Bila dah saturated, yang laggerd ni nak makan komisen dari mana? Tak guna punya MLM/Skim piramid

    Belum start bawak penumpang dah kena beli Dacsee token

    Takkan 29 juta penduduk Malaysia semua nak jadi drebar teksi?

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 3
 

Add a comment

required

required