Pemeriksaan latar belakang terhadap pemandu Grab dan Uber kini sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Pemeriksaan itu dijalankan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PDRM untuk memastikan pemandu-pemandu tidak pernah memiliki rekod jenayah serta rekod trafik yang selamat dan bersih.

CEO SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah menjelaskan perkara ini ketika berlangsungnya Simposium Pengangkutan Awam Darat 2017 di Kuala Lumpur. “Sebaik saja kami selesai dengan pemeriksaan berkenaan, kami akan mendaftarkan mereka dengan suruhanjaya ini,” ujar beliau, seperti dilaporkan oleh The Sun.

Menurut beliau lagi, kedua-dua syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan memberi kerjasama yang sangat baik dalam usaha ini. Berkaitan perkhidmatan perkongsian basikal oBike pula, Azharuddin berkata SPAD menyokong idea berkenaan, tetapi menekankan suruhanjaya itu bukanlah sebuah pihak berkuasa yang bertanggungjawab menyelia perkhidmatan itu.

“Yang bertanggungjawab berbuat demikian ialah pihak berkuasa tempatan di mana ia beroperasi, dan kami sentiasa bersedia membantu pihak berkuasa terlihat di dalam mewujudkan satu skim kawal selia yang lebih jelas tentang bagaimana cara sebaiknya perkhidmatan itu boleh dikawal selia,” tambah beliau.

Ini adalah sebagai maklumbalas dari insiden terbaru yang melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menyita 250 unit basikal oBike. Itu adalah kerana basikal berkenaan didakwa menghalang laluan dibeberapa tempat. Perkara berkenaan bagaimanapun telah diselesaikan.