Mercedes-AMG CLS53, E53 Coupe dan Cabriolet – enjin hibrid AMG EQ Boost pertama, hingga 457 hp

Mercedes-AMG CLS53, E53 Coupe dan Cabriolet – enjin hibrid AMG EQ Boost pertama, hingga 457 hp

Mercedes-AMG telah mendedahkan barisan model siri 53 terbaru mereka, dengan tiga yang pertama adalah model CLS, E Class Coupe dan E-Class Cabriolet. Ketiga-tiganya menggunakan enjin hibrid ringkas twin-turbo 3.0 liter yang sama (menjadikannya AMG hibrid pertama), dan didakwa dapat “memberikan reaksi spontan dan respon sangat dinamik tanpa turbo lag.”

Enjin enam silinder sebaris serba baru (model AMG 43 menggunakan enjin V6 3.0L biturbo) yang digunakan mampu menghasilkan 435 hp dan 520 Nm tork, dan digabungkan dengan starter-alternator EQ Boost yang menjadi sebahagian daripada sistem elektrikal 48 V padanya. Sistem hibrid ini menambah 22 hp dan 250 Nm tork lagi dan terletak di antara enjin dan transmisi.

Penyampaian kuasa dilakukan oleh transmisi automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, seterusnya membolehkan E53 memecut 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat manakala E53 Cabriolet dan CLS pula pula 4.5 saat. Laju maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j (270 km/j dengan pakej AMG Driver), dan penggunaan bahan api berada pada 8.4 L/100 km untuk E-Coupe dan CLS, sementara Cabriolet yang lebih berat pula 8.5 L/100 km.

Unik bagi enjin baru model 53 ini adalah cara pengecasan turbo berkembar yang dilakukan, di mana ia hanya ada satu pengecas turbo, tetapi dibantu dengan compressor elektrik tambahan. Daripada rpm yang rendah, compressor ini dapat memberi tekanan kuasa tinggi tanpa sebarang kelambatan (lag) dan digunakan untuk meningkatkan tork secara pantas apabila memecut sebelum tindakan turbo masuk.

Terdapat lima mod yang disediakan untuk model-model ini iaitu Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual, dengan setiap satunya mengubah tindak balas enjin, transmisi, suspensi dan stereng. Terdapat juga butang M yang menandakan penukaran gear manual. Untuk cengkaman paling optima, sistem 4Matic+ yang diguna mempunyai klac kawalan elektro-mekanikal yang dapat memindahkan kuasa secara berubah ke gandar hadapan, daripada gandar belakang yang berfungsi sepenuh masa.

Turut diberi adalah suspensi udara AMG Ride Control+. Suspensi ini dibangunkan oleh AMG untuk menampilkan ciri penyerapan boleh laras sepanjang masa ADS+ (Adaptive Damping System), dan semua model siri 53 ini menggunakan kadar spring lebih tinggi untuk mengurangkan olengan badan dan meningkatkan stabiliti di selekoh. Kuasa penghentian datang daripada brek cakera berliang 370 x 36 mm dengan angkup empat piston di hadapan, manakala di belakang pula terdapat cakera 360 x 26 mm bersama angkup satu piston terapung.

Mercedes-AMG CLS53, E53 Coupe dan Cabriolet – enjin hibrid AMG EQ Boost pertama, hingga 457 hp

Pada bahagian luar, selain perubahan yang boleh dilihat pada bahagian gril, bampar dan bukaan udara, kenderaan ini juga mempunyai spoiler di belakang (boleh dipilih untuk unit gentian karbon), diffuser dan empat muncung ekzos di belakang. Rim standard bersaiz 19 inci tapi pembeli juga boleh memilih unit 20 inci.

Untuk bahagian dalam pula, kenderaan ini mendapat barangan khas AMG seperti tali pinggang merah, kemasan gentian karbon, roda stereng AMG Performance yang dibalut dengan kulit Nappa dan tempat duduk sport AMG. Pilihan tambahan yang disediakan adalah termasuk kulit buatan Artico dan gentian mikro Dinamica, kulit Nappa dan balutan Designo.

Selain padanan warna biasa seperti hitam/merah dan hitam/kelabu, model E53 turut mendapat pilihan lain termasuk hitam/jahitan coklat, hitam/putih, hitam/merah, designo titian red/macchiato beige dan designo titanium grey/black. CLS 53 pula mendapat pilihan macchiato beige/magma grey, black/Bengal red dan espresso brown/magma grey.

GALERI: Mercedes-AMG CLS 53


GALERI: Mercedes-AMG E 53 Coupe

GALERI: Mercedes-AMG E 53 Cabriolet

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required