TUNGGANG UJI: Ducati Multistrada 950 – tidak seliar abangnya, mudah dikawal termasuk di jalan offroad

TUNGGANG UJI: Ducati Multistrada 950 – tidak seliar abangnya, mudah dikawal termasuk di jalan offroad

Motosikal jelajah datang dalam pelbagai kapasiti enjin dan pengguna mempunyai pilihan yang luas. Walaubagaimanapun, sekarang ini pengeluar telah mengambil langkah untuk memperkenalkan model yang berkapasiti rendah, tetapi mempunyai bentuk sebuah motosikal jelajah.

Ramai yang memanggil model ini sebagai ‘baby’ kerana ia duduk dalam keluarga sama seperti model yang lebih besar, sebagai contoh, BMW R1200 GS mempunyai ‘baby’ G310 GS, Honda CRF1000L dengan CRF250, Suzuki VStrom 1000 serta 650 dengan VStrom 250 manakala Kawasaki Versys 1000 dan 650 mempunyai Versys-X 250.

Bagi Ducati pula, dalam barisan modelnya sekarang, yang dicipta untuk kegunaan jelajah adalah cuma Multistrada, sementara Hyperstrada pula cumalah variasi bagi Hypermotard, yang ditambah dengan aksesori seperti penghadang angin hadapan, tempat duduk lebih rendah dan beg barangan.

Multistrada dikuasakan oleh enjin 1,200 cc, dan bukannya semua orang mahukan kuasa daripada enjin sebesar itu. Mungkin juga ada yang mahukan sebuah jentera jelajah Ducati, tetapi tidak mahu terbeban sama ada daripada aspek pengendalian mahupun kos penjagaan sebuah model yang besar. Oleh itu, Ducati telah menghasilkan Multistrada 950.

Daripada namanya, mungkin ramai yang sudah dapat menjangka, ia adalah sebuah Multistrada tetapi dengan enjin lebih kecil. Memang benar, model ini menggunakan enjin 937 cc, iaitu unit sama seperti yang digunakan pada model terbaru Hypermotard, tetapi masih mempunyai bentuk Multistrada.

Saya berpeluang menguji sendiri Multistrada 950 ini dalam satu acara tunggangan yang dianjurkan oleh Ducati Malaysia, bersama beberapa orang lagi rakan media lain, serta penunggang daripada pihak pengurusan acara ini. Perjalanannya bermula dari ibu pejabat Ducati Malaysia di Petaling Jaya, ke Genting Highlands, Bentong, Fraser’s Hill, Kuala Kubu Bharu dan kembali ke Petaling Jaya.

Ada masanya apabila berhenti dan meletakkan motosikal secara bercampur antara peserta media yang menunggang Multistrada 950 dan wakil pihak pengurusan acara yang menunggang pelbagai variasi Multistrada lain, saya hampir tidak dapat membezakan yang mana satu adalah Multistrada 950 dan mana pula Multistrada yang lebih besar. Model Multistrada Enduro sudah tentu boleh dikenali dengan mudah melalui rim jejari dan warnanya.

Saiz kesemuanya hampir sama tetapi cara mudah untuk mengenalinya adalah dengan melihat bahagian lengan ayun belakang, di mana Multistrada 950 menggunakan lengan ayun di kedua-dua belah (sama seperti Multistrada Enduro), manakala Multistrada 1200 menggunakan lengan ayun jenis sebelah (single sided swing arm).

Sebagai perbandingan saiz, walaupun nampak hampir sama, Multistrada 950 sebenarnya mempunyai jarak roda lebih panjang 9 mm dan berat kurang 3 kg berbanding Multistrada 1260 (versi asas terbaru Multistrada). Bagi tempat duduk pula, Multistrada 950 mempunyai tempat duduk tetap berketinggian 840 mm, dan sekiranya tidak sesuai pengguna perlu mendapatkan tempat duduk aksesori.

Bagi saya yang mempunyai ketinggian 180 sm, tempat duduk ini terasa lebih rendah, apatah lagi apabila anda melihat seperti dalam gambar, tempat duduk ini tenggelam banyak ke bawah, manakala tangki bahan api pula terletak tinggi. Bagi mereka yang lebih rendah, ini mungkin memberikan lebih keyakinan sewaktu mengawalnya.

TUNGGANG UJI: Ducati Multistrada 950 – tidak seliar abangnya, mudah dikawal termasuk di jalan offroad

Memang ada rasa seperti tidak kena apabila saya duduk di pelananya yang rendah, tetapi ia masih tidak mengganggu aspek keselesaan. Seperti yang diberitahu awal tadi, destinasi kami dalam acara ini agak banyak, dan apabila dibahagikan kepada dua hari, boleh dikatakan hampir separuh hari kami berada atas motosikal dengan beberapa persinggahan untuk mengambil gambar dan bersantai.

Walaupun begitu, saya tidak rasa penat menunggang Multistrada 950 ini kerana tempat duduknya cukup empuk dan luas, manakala kedudukan yang disediakan pula adalah menegak, dengan bahagian pemegang, walaupun lebar, masih mudah dicapai. Perkara lain yang turut membantu adalah tindak balas enjin yang lebih ‘lembut’.

Walaupun menggunakan enjin dua silinder L 937 cc Testastretta sama seperti Hypermotard, ia terasa lebih mesra pengguna dan tidak terlalu agresif. Tetapi apabila melihat kepada jumlah keseluruhan kuasa, sebenarnya Multistrada 950 ini mempunyai tambahan 3 hp (menjadi 113 hp pada 9,000 rpm) dan tambahan 1 Nm tork (menjadi 96 Nm pada 7,750 rpm) berbanding Hypermotard 939.

Tetapan tindak balas pendikit dan kuasa enjin ini menjadikan Multistrada 950 mudah dikawal dan enjin tidak akan tersengguk banyak apabila bergerak perlahan. Sehinggakan, semasa melalui jalan sempit mendaki Bukit Fraser’s, saya masih boleh bersantai agak lama dengan hanya menggunakan gear dua, tanpa perlu menukar walaupun ada kalanya perlu membrek dan memperlahankan motosikal.

Ini adalah sewaktu berada dalam mod Urban, iaitu satu daripada empat mod tunggangan yang ditawarkan, selain Touring, Sport dan Enduro. Setiap mod ini mempunyai sensitiviti sistem keselamatan dan pendikit yang berbeza, manakala untuk kuasa pula, Touring dan Sport mengeluarkan kuasa penuh, sementara Urban dan Enduro dihadkan kepada 75 hp.

TUNGGANG UJI: Ducati Multistrada 950 – tidak seliar abangnya, mudah dikawal termasuk di jalan offroad

Bagi sistem brek ABS pula terdapat tiga tahap yang boleh dipilih, manakala sistem kawalan cengkaman pula ada lapan tahap. Dalam setiap mod ini, anda boleh menetapkan sendiri berapa tahap ABS dan TC yang dimahukan, dan ia boleh dilakukan melalui butang kawalan di bahagian kiri pemegang. Untuk menukar mod, anda masih boleh melakukannya sewaktu bergerak, tetapi saya merasakan ia lebih selamat sekiranya dilakukan waktu berhenti.

Pihak penganjur acara tunggangan ini mahukan kami, wakil media merasakan semua mod yang ada, tetapi bagi saya, setelah mencuba mod Urban beberapa ketika, saya mengambil langkah untuk menukarnya sahaja terus kepada Sport. Memang anda masih boleh mendapat pecutan yang mencukupi dan memuaskan dalam kebanyakan masa termasuk memotong dan mendaki bukit, tetapi saya rasa lebih puas menggunakan mod Sport. Barulah rasa Ducati sebenar mula muncul pada motosikal seberat 229 kg ini.

Walaupun dalam mod Sport ini, sebenarnya kuasa yang terhasil masih mudah dikawal dan ia tidak tersengguk-sengguk waktu dalam keadaan perlahan. Saya cuma sukakan tindak balas enjin yang lebih cepat dan satu lagi yang saya perasan not bunyi daripada ekzos juga bertukar apabila berada dalam mod Sport. Memulas pendikit dan memasukkan setiap gear hingga gear enam terasa lebih puas apabila dalam mod Sport.

Sampai di tempat penginapan kami di Bentong, wakil media diberi peluang untuk menguji Multistrada 950 ini di atas jalan offroad, tapi semua latihan yang diadakan adalah menggunakan kelajuan rendah. Ini sekaligus menunjukkan bahawa motosikal ini mudah dikawal, tanpa membebankan penunggang, cuma apabila perlu berdiri dalam keadaan meredah lumpur, pelapik getah di peletak kaki perlu dicabut supaya tidak licin – ini boleh dilakukan dengan mudah tanpa menggunakan sebarang skru.

Melihat kepada suspensi, walaupun tidak mempunyai pelarasan elektronik seperti Multistrada 1200, unit pada Multistrada 950 ini masih lagi cukup baik dan ia menggunakan fork KYB 48 mm yang boleh dilaras sepenuhnya di hadapan manakala di belakang terdapat monoshock Sachs juga yang boleh dilaras sepenuhnya. Kualiti tunggangan pada kebanyakan masa masih lagi terjamin dan meyakinkan.

Sama juga dengan brek, kerana ia masih menggunakan unit sama seperti Multistrada 1200, iaitu set berkembar cakera terapung 320 mm serta angkup Brembo Monobloc empat piston di hadapan, manakala di belakang pula terdapat satu cakera 265 mm dan angkup Brembo dua piston. Kekurangan brek Multistrada 950 adalah ia tidak dilengkapi dengan Cornering ABS.

Jadi siapakah sebenarnya yang sesuai untuk memiliki Multistrada 950 ini? Jawapan pertama yang boleh saya beri sudah tentu adalah mereka yang tidak mahu membelanjakan lebih RM100k (harga jualan Multistrada 950 adalah RM85,900) untuk sebuah model jelajah Ducati dan inginkan rupa Multistrada. Kemudiannya, juga mungkin untuk mereka yang mahukan lebih keyakinan waktu meredah jalan tidak rata, kerana Multistrada 950 ini mempunyai kuasa yang lebih mudah dikawal dan rimnya adalah unit 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

Sudah tentu, jika anda mahu meningkatkan lagi keupayaan Multistrada 950 ini di atas jalan offroad, anda boleh mendapatkan aksesori tambahan lain seperti rim jejari seperti model Multistrada Enduro 1200 dan barangan perlindungan lain yang boleh menjamin ketahanan jentera anda.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required