Selepas beberapa teaser dikeluarkan, Triumph akhirnya mendedahkan secara penuh model Speed Triple 2018, yang ditawarkan dalam dua versi iaitu S dan RS. Mengambil model sebelum ini sebagai asas, enjin tiga silinder 1,050 cc padanya telah dinaik taraf untuk memberikan lebih kuasa – kini menjadi 150 PS pada 10,500 rpm (naik 7%) dan 117 Nm tork pada 7,150 rpm (naik 4%).

Antara yang menyumbang kepada peningkatan kuasa ini adalah 105 komponen baru yang digunakan pada enjinnya, termasuk crank gear yang lebih ringan, lapik silinder aluminium, serta starter, bateri dan alternator yang lebih kecil dan ringan.

Mengikuti perubahan yang dilakukan pada ‘adiknya’ iaitu Street Triple 765, model Speed Triple ini didatangkan dengan pakej elektronik dan sistem bantuan penunggang yang penuh. Ini termasuk lima mod tunggangan, traction control, ABS yang boleh ditutup, cruise control dan cornering ABS, yang dibangunkan dengan kerjasama Continental.

Untuk bahagian panel instrumen, Speed Triple baru ini menggunakan skrin TFT LCD berwarna penuh, sama seperti Street Triple, dan bagi model S, ia diberikan dengan tiga tema paparan, manakala model RS boleh ditukar dengan enam tema. Penambahan baru lain adalah sistem tanpa kunci untuk model RS dan butang di bahagian pemegang yang mempunyai lampu.

Bahagian kotak gear dan klac slip assist yang digunakan turut menerima talaan semula bagi meningkatkan keselesaan semasa menunggang, dan bagi model RS, ia didatangkan terus dengan ekzos Arrow secara standard. Untuk sistem brek, Speed Triple baru ini menggunakan unit Brembo Monobloc empat piston di hadapan, manakala di belakang menggunakan angkup Nissin.

Untuk bahagian suspensi, Speed Triple S dilengkapkan dengan unit fork Showa 43 mm USD di hadapan dan di belakang terdapat unit monoshock Showa – kedua-duanya boleh dilaras sepenuhnya. Bagi Speed Triple RS pula, ia dinaik taraf dengan fork Ohlins NIX30 di hadapan manakala di belakang menggunakan monoshock Ohlins TTX36 – juga boleh dilaras sepenuhnya.

Secara keseluruhannya, Speed Triple S mencatat berat 192 kg, manakala versi RS mencatat 189 kg, hasil penggunaan komponen gentian karbon, subframe aluminium serba ringan dan ekzos Arrow. Kapasiti tangki bahan api yang disediakan adalah 15.5 liter dan tinggi tempat duduk bagi kedua-dua versi adalah sama, iaitu 825 mm.

Harga untuk Speed Triple 2018 ini masih belum diumumkan, tetapi ia ditawarkan dalam dua pilihan warna bagi kedua-dua versi iaitu Jet Black dan Crystal White untuk versi S, dan Crystal White dan Matte Jet Black untuk versi RS. Ia juga didatangkan sekali dengan bellypan dan penutup tempat duduk belakang.

GALERI: Triumph Speed Triple S 2018


GALERI: Triumph Speed Triple RS 2018

GALERI: Aksesori Triumph Speed Triple 2018