Seiring dengan trend teknologi semasa, Subaru bakal menampilkan model dengan teknologi janakuasa plug-in hybrid (PHEV) pertamanya tahun ini, menurut laporan Automotive News. Ini merupakan langkah pertama yang diambil jenama dari Jepun berkenaan dalam teknologi janaan elektrik sebelum kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) diperkenalkan pada tahun 2021 kelak.
Untuk teknologi peringkat awal ini, Subaru masih perlu bergantung dengan Toyota (pemegang saham terbesarnya) bagi membangunkan unit janakuasa hibrid berkenaan. “Untuk plug-in hybrid kami yang akan diperkenalkan tahun ini, kami akan menggunakan teknologi Toyota sebanyak yang mungkin,” kata ketua pengarah teknikal Subaru, Takeshi Tachimori.
Sistem hibrid berkenaan bakal menerapkan sistem yang kebanyakkannya diambil dari Toyota Prius Prime. Walau bagaimanapun, ia tetap perlu disesuaikan dengan teknologi Subaru sendiri kerana jenama tersebut masih lagi akan mengekalkan enjin bentangan boxer yang dipasang menghadap kebelakang, berbanding Toyota yang menggunakan bentangan empat-silinder sebaris konvensional yang dipadankan secara melintang.
Desakan untuk teknologi elektrik ini adalah kerana undang-undang pencemaran udara yang kini semakin ketat, dan kerjasama ini perlu kerana saiz Subaru yang sederhana serta dalam keadaan bajet yang terhad. “Kami tidak boleh terbabit dengan pembangunan berskala besar,” jelas Tachimori.
Walau bagaimanapun, model mana yang bakal diperkenalkan untuk versi PHEV ini masih belum jelas. Namun boleh diagak ia mungkin akan ditampilkan pada Impreza atau XV, kerana kedua-dua model tersebut diasaskan dari Subaru Global Platform yang sememangnya direka bagi membolehkan sistem hibrid atau unit janakuasa elektrik sepenuhnya dipadankan.
Bukan hanya pada model penumpang biasa, laporan-laporan sebelum ini juga mendedahkan Subaru bakal menggunakan teknologi hibrid berkenaan pada model berprestasi tingginya – Subaru WRX dan WRX STI generasi baharu yang bakal muncul pada tahun 2020 nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.