Setelah hadir dengan dua hatchback berprestasi tinggi sebenar – i30 N dan Veloster N -, divisi talaan Hyundai yang dikenali sebagai Hyundai N kini mengesahkan mereka akan menghasilkan pula sebuah SUV berasaskan model Tucson, menurut laporan Auto Express.
“Tucson kini sedang dibangunkan, dan satu lagi model akan hadir selepas itu”, kata ketua jualan global Hyundai, Byung Kwon Rhin, kepada portal berkenaan. Laporan tersebut turut menyebut bahawa SUV itu kini baru dalam peringkat awal pembangunannya dan ia mungkin akan muncul dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun.
Idea untuk menampilkan Hyundai Tucson dalam versi lebih liar ini sebenarnya telah disuarakan oleh boss Hyundai N sendiri iaitu Albert Biermann pada tahun lalu. Tucson merupakan produk Hyundai yang agak laris pada pasaran UK dan Eropah.
“Jika anda lihat pada Tucson, ia adalah asas yang kuat jika berbicara dari sudut teknikal, untuk dijadikan Tucson N. Saya suka untuk menghasilkannya,” kata Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M.
Tiada lagi perincian berkenaan SUV berprestasi tinggi ini, namun boleh diagak Tucson lebih berkuasa ini mungkin akan dijana enjin sama pada i30 N dan Veloster N iaitu enjin 2.0 liter turbo menjana 275 PS/ 353 Nm. Seperti juga dua buah hatchback tersebut, Tucson juga mungkin akan ditala di litar The Green Hell, Nürburgring Nordschleife.
GALERI: Hyundai i30 N
GALERI: Hyundai Veloster N
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.