TUNGGANG UJI: Yamaha MT-09 2018 – mainan si nakal

TUNGGANG UJI: Yamaha MT-09 2018 – mainan si nakal

Biar saya mulakan laporan tunggang uji kali ini dengan memberitahu bahawa saya memang berat sebelah kepada enjin tiga silinder. Selepas merasai sendiri kuasa daripada tetapan enjin ini melalui model daripada MV Agusta dan Triumph, saya merasakan enjin tiga silinder ini cukup memuaskan – sekurang-kurangnya bagi saya.

Walaupun begitu, apabila diterapkan dengan tetapan tertentu, dan juga pakej keseluruhan, setiap motosikal itu akan memberi identiti tersendiri yang boleh dibezakan. Tetapan enjin itu pula masih menjadi penyumbang utama kepada identiti masing-masing.

Pada tahun 2014, Yamaha kembali menggunakan enjin tetapan tiga silinder pada sebuah model baru yang dinamakan sebagai MT-09 dan ia menarik perhatian ramai. Apabila dibandingkan dengan model jenama lain yang juga menggunakan enjin tiga silinder, Yamaha mengatakan MT-09 adalah berbeza kerana menggunakan bentuk badan yang tinggi dan tegak.

Selepas beberapa tahun dalam pasaran, pelbagai maklum balas yang didapati berkenaan MT-09, tidak kiralah daripada penguji profesional, wartawan permotoran mahupun pemilik sendiri. Antara yang dipersetujui ramai adalah pendikit yang terlalu sensitif dan suspensi lembut. Bagi enjin, ramai yang memberi pujian.

Semasa menguji model MT-09 ini beberapa tahun dulu juga, saya bersetuju dengan perkara ini, tetapi sedar bahawa ia dijual pada harga yang mahu mendekati lebih ramai pengguna. Semasa model CKD mula diperkenalkan, MT-09 dijual pada harga sekitar RM45,000 dan bagi yang sudah memilikinya, mereka mungkin boleh mengambil masa selepas itu untuk mengumpul wang dan menaik taraf bahagian yang dirasakan terlalu asas, terutamanya suspensi.

Tidak dapat dinafikan, apabila muncul motosikal yang berada dalam lingkungan harga mampu milik bagi diri sendiri, saya juga cuba membayangkan keadaan apabila memilikinya. Namun selepas beberapa hari dengan MT-09 (model sebelum ini), ia terus dikeluarkan daripada senarai. Selain masalah yang disebutkan seperti di atas, saya juga tidak dapat menerima tempat duduknya terlalu keras dan tidak selesa walaupun tidak sampai satu jam di atas motosikal.

Minta maaf Yamaha, sehinggakan apabila ada orang yang bertemu sendiri dengan saya dan meminta pendapat untuk membeli MT-09, saya akan memberi tanda tidak setuju dan mencadangkan lebih baik mereka melihat pula kepada sebuah lagi model MT daripada Yamaha iaitu MT-07 yang lebih murah, lebih selesa dan lebih mudah dikawal. Kuasanya juga boleh dikatakan masih memuaskan.

Jadi, apabila mendapat tahu Yamaha telah mengeluarkan MT-09 versi facelift tahun lepas, dan dikatakan semua masalah tersebut telah diperbaiki, saya rasa tidak sabar untuk merasakannya sendiri. Awal tahun ini akhirnya MT-09 facelift dilancarkan di Malaysia pada harga RM47,388 dan minggu lalu saya dapat meminjamnya daripada Hong Leong Yamaha Motor (HLYM).

Sebelum saya jelaskan benarkah semua masalah yang disebutkan pada model sebelumnya sudah tiada pada model baru ini, kita lihat terlebih dahulu pada rekaannya. Secara asas, kalau anda lihat dari tepi, MT-09 ini masih lagi sama kecuali grafik dan warnanya. Namun kalau dilihat terus dari hadapan, barulah anda akan nampak lampunya kini sudah berbeza, dengan unit LED yang nampak lebih pelik seperti serangga Transformers dan sebenarnya diambil inspirasi daripada sebuah lagi model yang lebih berkuasa iaitu MT-10.

Di belakang pula, tempat meletak nombor plet kini berada di bawah bersama penghadang lumpur (sebenarnya tidak cukup efektif pun untuk menghalang percikan air) dan lampunya yang dulu kelihatan seperti tidak siap kerana tersembul keluar kini sudah diganti dengan unit LED yang lebih bersepadu dan kemas.

TUNGGANG UJI: Yamaha MT-09 2018 – mainan si nakal

Jika melihat kepada gaya, tanpa sebarang fairing dan didatangkan dengan enjin berkapasiti tinggi, mungkin ramai yang mahu memanggil MT-09 sebagai sebuah model super naked. Tapi, Yamaha mahu menjadikannya lebih sebagai sebuah motard jalanan, dan saya boleh katakan, mereka sudah berjaya.

Mengapa? Pertamanya ia mempunyai kedudukan menunggang yang tegak. Tinggi tempat duduk 820 mm masih membenarkan kaki saya menjejak lantai dengan mudah, manakala bahagian pemegang pula dapat dicapai tanpa perlu menunduk ataupun melunjurkan tangan.

Pada bahagian kokpit, tidak banyak benda yang berubah, dengan butang kawalan masih lagi sama seperti sebelum ini, termasuk juga panel meter digitalnya. Satu perkara yang dirasakan, butang kawalan MT-09 ini adalah sedikit kecil, dan ada ketikanya saya menghadapi masalah untuk menggunakan butang tertentu dan tersalah tekan antara butang hon dan butang penunjuk arah.

Disebabkan MT-09 facelift ini didatangkan secara standard dengan kawalan cengkaman dan penukar gear quickshifter sebagai tambahan kepada mod tunggangan, anda juga boleh melihat butang kawalannya berada di pemegang dan lampu penunjuk operasinya berada di panel meter. Lampu QS untuk quickshifter akan menyala sepanjang masa kerana ia sebenarnya tidak boleh ditutup.

Perkara kedua yang menjadikan MT-09 lebih kepada sebuah motard adalah pengendalian yang mudah. Dengan adanya sistem suspensi boleh laras sepenuhnya di hadapan (mampatan pada fork kiri dan lantunan di fork kanan), serta monoshock yang diperelok, motosikal ini cukup mudah untuk dikendali, tidak kiralah sama ada waktu mengharungi trafik sesak mahupun menyerang selekoh.

TUNGGANG UJI: Yamaha MT-09 2018 – mainan si nakal

Perkara seterusnya yang menjadi penyumbang adalah MT-09 mempunyai berat cuma 193 kg. Bagi sebuah model jalanan biasa, ia boleh dianggap ringan, tetapi dalam kategori motard, ia masih lagi agak berat. Hasilnya, MT-09 ini rasa lebih melekap atas jalan berbanding motard sebenar seperti Kawasaki KLX450R, Husqvarna 701 atau KTM 690 SMC.

Tetapi itu tidak akan mengganggu keterujaan apabila menunggang MT-09. Enjin tiga silinder 847 cc CP3 DOHC yang digunakan mempunyai tetapan yang agresif, sesuai dengan tema MT iaitu “Master of Torque“. Yamaha menyediakan tiga mod untuk pemilik menikmati kuasa maksimum sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm.

Mod A adalah yang paling agresif, kemudiannya ada mod Standard dan mod B adalah yang paling ‘lembut’. Walaupun saya ini seorang yang gemarkan keterujaan daripada motosikal berkuasa tinggi, pada kebanyakan masa mod B sahaja sudah mencukupi. Dua mod lagi saya rasakan tindak balasnya terlalu sensitif dan selepas sekadar mencubanya seketika, saya sudah tidak peduli untuk memilih mod A dan Standard ini.

Yamaha mengatakan mereka sudah memperbaiki masalah pendikit yang terlalu sensitif ini, tetapi saya berpendapat pelarasan yang mereka lakukan itu terlalu sedikit. Mahu menggunakan mod Standard waktu di lebuh raya juga tidak boleh kerana jika motosikal terhentak sedikit pun, ia akan mengganggu kelancaran penyampaian kuasa. Badan anda akan sama ada tertarik ke belakang akibat kuasa yang tiba-tiba datang ataupun terkehadapan akibat kuasa yang berkurangan.

Kalau diri anda dalam mod menyerang, seperti di dalam litar, mod A dan Standard ini mungkin sesuai kerana badan anda sudah bersedia untuk menerima kuasa yang agresif. Dalam pemanduan atas jalan biasa, berapa lama sangatlah yang anda boleh bertahan dengan cara pemanduan begini sebelum berasa letih.

Tapi sekiranya anda rasa anda tidak ada masalah dengan tetapan sebegini, dan mahu bertukar-tukar mod secara kerap, ia boleh dilakukan dengan mudah, termasuk waktu bergerak kerana ia hanya menggunakan satu butang, yang terdapat di bahagian kanan pemegang. Tekan saja butang tersebut, buat pilihan mod yang dimahukan, lepas pendikit dan dalam beberapa saat, ia akan masuk ke mod yang dipilih.

Walaupun tindak balas pendikit ini agak sensitif, sebenarnya enjin tiga silinder pada MT-09 baru boleh dikatakan agak lancar. Walaupun dalam kelajuan tinggi, anda tidak akan dapat merasa banyak gegaran daripada enjin ini, dan kuasanya terasa lebih padat berbanding enjin empat silinder. Daripada aspek bunyi pula, saya mendapati enjin ini menghasilkan bunyi bersiul, yang sebelum ini saya ingatkan hanya berada pada enjin tiga silinder Triumph.

Bagi abang-abang pemilik superbike 1 liter, setakat mendengar kuasa 115 PS pada MT-09 ini pasti mereka tidak akan rasa begitu teruja. Tapi sebenarnya, karekter yang agresif juga mampu membuatkan adrenalin anda memuncak apabila menunggang MT-09. Apabila pendikit dipulas, kuasanya cukup pantas sampai ke atas jalan, dan setakat mengangkat roda hadapan, ia cukup mudah terjadi walaupun anda tidak berhasrat untuk melakukannya.

Mungkin memang itu karekter yang mahu dihasilkan oleh Yamaha pada MT-09, dan pada pendapat saya, ia bukan untuk calang-calang orang. Jika anda sudah berpengalaman menunggang motosikal berkuasa tinggi, dan memang mahu menjinakkan ‘kuda gila’, inilah dia modelnya. Tapi jika anda masih baru, saya harap apabila mahu menunggang, bacalah doa sebanyak mungkin, supaya anda tidak terpedaya dengan ketagihan kuasanya.

Bagi yang sudah berpengalaman dan yakin dengan kemampuan mengawal diri, saya boleh katakan, MT-09 tidak akan menghampakan. Semasa menguji motosikal ini di Bukit Tinggi, saya dapati brek cakera berkembar di hadapannya cukup kuat untuk menghentikan motosikal yang berkuasa ini, walaupun dengan menggunakan satu jari, tetapi suspensinya masih lagi terasa lembut.

TUNGGANG UJI: Yamaha MT-09 2018 – mainan si nakal

Selain sistem ABS, MT-09 facelift turut didatangkan bersama sistem kawalan cengkaman, yang boleh dipilih dalam dua mod dengan kemasukan tindak balas yang berbeza, dan boleh ditutup sepenuhnya jika mahu. Mod 1 menjadi pilihan saya pada kebanyakan masa kerana kemasukan tindak balasnya kurang sensitif dan masih membenarkan sedikit gelinciran terkawal apabila memulas pendikit, dan tayar hadapannya juga masih boleh terangkat apabila memecut.

Satu lagi penambahan baru, iaitu penukar gear quickshifter juga bertindak lancar pada MT-09 ini. Seperti ramai yang sudah tahu, quickshifter beroperasi lebih cekap dalam kelajuan memecut yang tinggi, dan begitu juga dengan MT-09 ini. Kemasukan gear dapat dilakukan lancar dan cepat tanpa penunggang perlu menarik klac ataupun melepaskan pendikit. Cumanya, anda tidak akan dapatlah bunyi letupan di antara enam gear yang ditukar seperti BMW S1000RR ataupun superbike lain pada motosikal standard ini. Jika ada yang sudah menukar ekzos nanti, beritahulah saya bagaimana bunyinya.

Untuk penggunaan bahan api, saya berpeluang menggunakan satu tangki penuh 14 liter MT-09 ini dalam satu perjalanan yang bercampur antara lebuh raya dan jalan lama dari Kuala Lumpur ke Hutan Melintang Perak, minggu lepas. Walaupun mahu sampai ke destinasi agak cepat, saya tidak menunggang laju kerana membawa beg yang berat dan tidak tahan dengan angin yang kuat, dan secara keseluruhannya minyak tersebut boleh bertahan sehingga 265 km.

Selain rintangan angin kuat yang sudah menjadi kemestian bagi sebuah model tanpa fairing di hadapan, saya tidak mempunyai sebarang rungutan berkenaan keselesaan MT-09 baru ini. Tempat duduknya walaupun masih mempunyai bentuk seperti papan sama seperti dulu, saya rasakan Yamaha telah menggunakan span yang lebih baik kerana ia terasa selesa dan tidak menyakitkan, walaupun berada di atasnya hampir dua jam secara terus.

Setelah membaca laporan ini dan anda membuat keputusan mahukan model yang berenjin sama, tapi lebih selesa dan mudah dikawal, lihatlah kepada Tracer. Asasnya sama sahaja, tetapi anda akan dapat motosikal yang tidak memenatkan dan penyampaian kuasa lebih mudah dikawal. Segala perkara baik berkenaan enjin tiga silinder itu juga masih dapat dinikmati dan beza harganya cuma sekitar RM5,000.

Untuk MT-09 ini biarkanlah ia dipadankan dengan penunggang nakal yang anggota badannya cukup terkawal, berpengalaman dan tidak kisah untuk membakar banyak kalori setiap kali keluar menunggang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required