Yamaha MT-10 Tourer 2017 diperkenalkan di Eropah

Yamaha MT-10 Tourer 2017 diperkenalkan di Eropah

MT-09 mempunyai versi yang lebih tinggi dan kuasa lebih lembut dikenali sebagai Tracer, dan kini, Yamaha memperkenalkan pula versi hampir sama bagi MT-10, dikenali sebagai MT-10 Tourer, dengan jualan akan bermula di Eropah pada bulan Mac.

Motosikal ini datang dengan ABS, beg sisi jenis lembut dan cermin penghadang udara lebih tinggi secara standard, dan akan mengisi ruang antara model MT-10 dan tourer dual-purpose Tenere di dalam barisan produk Yamaha. Kelengkapan lain yang mengubah motosikal ini kepada sebuah tourer adalah pelindung tangan dan tempat duduk yang lebih selesa.

Enjin yang digunakan pada MT-10 Tourer masih adalah unit Crossplane 998 cc yang diambil daripada model R1, dan ia dikata mampu menghasilkan 158 hp pada 11,500 rpm dan 111 Nm tork pada 9,000 rpm. Jumlah kuasa ini adalah sedikit kurang daripada R1, di mana R1 mampu menghasilkan 200 hp pada 13,500 rpm dan 112 Nm pada 11,500 rpm.

MT-10 Tourer turut didatangkan dengan mod tunggangan Yamaha D-MODE, dengan tiga pilihan mod dan setiap satunya mempunyai pelarasan pendikit, pemasaan ignition dan jumlah suntikan minyak yang berbeza. Dalam pakej elektroniknya pula terdapat kawalan cengkaman dan quickshifter untuk menaikkan gear tanpa menggunakan klac.

Turut dilengkapkan pada MT-10 Tourer adalah cruise control serta klac jenis slipper yang boleh mengurangkan daya pada tuil klac dan mengelakkan tayar belakang daripada daripada melompat apabila menukar gear rendah secara agresif. Sama seperti MT-10 standard, versi Tourer ini juga datang dengan suspensi boleh laras hadapan dan belakang, manakala fork hadapan adalah daripada jenis terbalik (upside down).

TIga warna disediakan untuk MT-10 Tourer iaitu Tech Black, Race Blu dan Night FLuo. Pilihan aksesori yang meluas juga disediakan untuk motosikal ini dalam katalog rasmi Yamaha.

Yamaha MT-10 Tourer 2017 diperkenalkan di Eropah

Setakat ini, masih belum ada harga yang dikeluarkan untuk Yamaha MT-10 Tourer 2017, tetapi model MT-10 dijual di United Kingdom pada harga 10,799 pound sterling (RM59,626). Pengedar rasmi motosikal Yamaha di Malaysia iaitu Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) tidak membawa masuk secara rasmi MT-10 ke Malaysia dan kemungkinan besar model Tourer ini juga akan mengalami nasib sama.

Apa yang disediakan oleh (HLYM) adalah MT-09 dan MT-09 Tracer, yang dikuasakan oleh enjin tiga silinder 849 cc, mampu menghasilkan 113 hp pada 10,000 rp dan 93 Nm tork pada 8,500 rpm. Tracer dijual pada harga RM59,900.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required