Lexus telah mengeluarkan satu imej teaser dengan tajuk “Expect the Unexpected”, dan ia menunjukkan bahagian depan sebuah kenderaan yang sudah bersedia untuk dilancarkan di Beijing Auto Show 25 April ini. Identiti model ini masih dirahsiakan, tetapi Lexus memberitahu ia “mensasarkan transformasi radikal pada pengalaman pemanduan pengguna mewah seluruh dunia.”
Walaupun begitu, anda boleh melihat perincian yang terdapat pada gambar ini mempunyai persamaan dengan gambar Lexus ES 2019 yang bocor semalam. Jika benar itulah ia, model eksekutif saiz sederhana ini akan menggunakan rekaan inspirasi daripada model limo yang lebih besar iaitu Lexus LS.
Jika dibandingkan dengan ES XV60 facelift sekarang (diperkenalkan pertama kali pada tahun 2015), model di dalam gambar ini menunjukkan bahagian hadapan yang lebih menonjol dan agresif. Grilnya juga lebih lebar dan mempunyai seperti dua tanduk yang bersambung dengan garisan di atas hud.
Merujuk kepada gambar yang bocor sebelum ini pula, lampu hadapannya mempunyai rekaan lebih tajam, dan disertakan dengan lampu siang LED bersepadu. Lampu DRL itu juga mempunyai nyalaan yang lebih moden, dengan beberapa variasi grafik.
Menurut khabar, Lexus ES 2019 ini akan menggunakan platform TNGA, sama seperti yang ada pada Toyota Camry terkini. Ini tentunya akan memberikan ruang yang lebih luas bagi ES. Untuk pasaran Amerika, Camry di sana turut ditawarkan dengan enjin V6 baru yang mungkin akan ditawarkan juga pada Lexus ES ini. Dan, seperti model Lexus yang lain, ada kemungkinan versi hibrid turut akan ditawarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.