PANDU UJI: Kia Optima GT – kereta sport untuk Ayah

PANDU UJI: Kia Optima GT – kereta sport untuk Ayah

Sedan segmen-D bukanlah pasaran yang sangat besar dalam negara kita. Ini kerana model-model dalam saingan ini direka dengan saiz yang besar, serta harga yang agak tinggi, membuatkan ia biasanya dibeli oleh golongan ‘ayah-ayah’ dengan pendapatan tinggi serta berumur sekitar 35 tahun ke atas. Jadi bila berbicara berkenaan sedan-sedan dalam kategori ini, tentulah tiga nama tradisi yang menjadi pilihan rakyat Malaysia iaitu Honda Accord, Toyota Camry dan juga Nissan Teanna.

Pencabar dari Korea, Kia Optima juga tidak ketinggalan untuk mencuba nasib dipasaran tempatan sejak generasi pertamanya pada era awal Y2K. Namun sehingga kini, kerana ianya sebuah Kia, Optima masih lagi belum mampu untuk mencabar watak-watak utama dalam segmen tersebut terutamanya Accord dan Camry.

Walau bagaimanapun, tahun lalu Naza Kia Malaysia (NKM) telah membawa model istimewa Optima GT yang dijual pada pasaran tempatan dengan harga atas jalan tanpa insuran RM179,888, lengkap dengan waranti lima tahun tanpa had jarak perbatuan. Dengan harga jualan yang RM5,000 lebih mahal dari varian tertinggi Honda Accord 2.4 VTi-L Advance (RM 169,800.00) dan Toyota Camry 2.5 Hybrid Luxury (RM 169,900.00), apa yang membuat Naza Kia begitu yakin ada orang Malaysia yang berani untuk membeli kereta dengan logo Kia ini?

Saya sebenarnya telah pun memandu kereta ini tahun lalu ketika sesi pandu uji media dari KL ke Johor Bahru, namun ketika itu Naza Kia membawa sekali tiga model lain selain Optima GT ini dan saya hanya sempat memandunya dalam perjalan pulang, itu pun hanya dari Seremban pulang ke PJ melalui Lebuhraya Utara Selatan .

PANDU UJI: Kia Optima GT – kereta sport untuk Ayah

Jadi apa yang boleh saya tulis dengan pengalaman yang begitu pendek tersebut? Oleh itu pada bulan lalu, sekali lagi saya diberi peluang untuk memandu kereta ini, kali ini ia menjadi milik saya sepanjang cuti hujung minggu bagi mengenali dengan lebih rapat ‘hati budi’ Kia Optima GT tersebut.

Pengenalan Optima GT ini di Malaysia tahun lalu juga merupakan titik peralihan dari Optima generasi ketiga (TF) ke model generasi keempat (JF). Lampu projektor LED untuk model ini turut diberikan lampu nyalaan siang LED yang terbina dalam. Ia mengapit gril signatur ‘hidung harimau’ Kia bersama elemen Dot Array Mesh dan kemasan krom satin.

Manakala untuk apron pada bampar, liang kemasukan udara pada kedua-dua sisi bukanlah direka sebagai aspek kosmetik semata-mata, sebaliknya ia berfungsi sebagai tirai udara yang mengalirkan udara kearah bahagian luar tayar hadapan bagi mendapatkan kesan aerodinamik yang lebih berkesan.

Beralih ke sisi, anda akan dapat lihat satu lagi liang udara dengan kemasan krom disekelilingnya pada fender hadapan. Namun, ini hanyalah gimik semata-mata tanpa fungsi aliran udara sebenar. Kesemua sudut sedan ini pula diberikan rim aloi 18-inci dua tona, dibalut tayar yang serius untuk prestasi – Michelin Pilot Sport 3 bersaiz 235/45R18. Anda juga tidak perlu ke mana-mana bengkel untuk mewarnakan angkup brek kereta ini agar kelihatan ‘racing‘ kerana keempat-empat angkup brek telah disembur dengan warna merah di kilang.

Untuk bahagian belakang pula, Optima generasi terkini berkenaan menampilkan lampu belakang LED yang lebih tirus dari generasi sebelumnya. Bagi memberikan isyarat bahawa ia sebuah model yang bukan biasa-biasa, Optima GT diberikan diffuser udara pada bahagian bawah bampar belakang bersama dua tip ekzos berbentuk oval yang bersaiz agak besar.

Jika anda bosan dengan rekaan kabin ‘pakcik-pakcik’ yang selalunya menggabungkan warna hitam dan kemasan-kemasan kayu, anda mungkin akan berasa segar apabila masuk ke ruang dalaman Optima GT ini. Anda akan disambut oleh tempat duduk dengan sokongan sisi yang agak besar dan dibalut kulit berwarna merah gelap (pilihan warna hitam turut ditawarkan), serta menampilkan elemen jalur mendatar bersama sulaman logo ‘GT’ yang nyata lebih sporty berbanding pesaingnya dari Jepun.

Bukan itu sahaja, malah tempat duduk hadapan tersebut boleh dilaras secara elektrik (12-hala untuk pemandu dan 10-hala untuk penumpang), manakala khas untuk pemandu ia turut mempunyai fungsi memori serta akan meluncur kebelakang secara automatik setelah enjin dimatikan dan pintu dibuka bagi memudahkan pemandu keluar dari kabin. Tambahan lagi, kesemua tempat duduk diberikan sistem liang udara dan pemanas.

Selari dengan tempat duduk tersebut, Optima GT turut menerima roda stereng rata di bawah dan juga tombol gear yang kedua-duanya menerima balutan kulit serta serlahan jahitan benang merah. Tidak ketinggalan, set pedal juga diberikan dengan kemasan aluminium bagi menambah sensasi semasa memandu.

PANDU UJI: Kia Optima GT – kereta sport untuk Ayah

Papan pemuka kereta ini diberikan material sentuhan lembut pada kebanyakkan tempat, begitu juga pada panel-panel kabin lain seperti pada pintu dan perehat tangan. Namun, papan pemuka kereta ini diberikan skrin sesentuh utama tujuh-inci serta memberikan fungsi-fungsi asas seperti sokongan USB, AUX dan Bluetooth dan hubungan ke telefon pintar serta memaparkan imej untuk kamera undur. Skrin berkenaan juga memberikan respon yang sedikit lambat sekiranya anda mengawalnya terus dengan sentuhan pada skrin.

Ciri lain yang turut dibekalkan pada Optima GT ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sistem penghawa dingin automatik dua-zon dengan Clean Air ioniser bersama liang kabin belakang, kawalan pelbagai fungsi pada roda stereng, pengecas telefon tanpa wayar, bumbung panaromik, pelindung matahari pada cermin belakang, sistem pemantau tekanan angin tayar dan paparan maklumat 4.3-inci TFT-LCD pada kluster meter serta enam-pembesar suara.

Untuk keselamatan pula, Optima GT dilengkapi dengan enam beg udara, kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan kestabilan kenderaan (VSM), Bantuan mula mendaki (HAC), ABS serta lampu isyarat kecemasan (ESS). Penderia parkir di hadapan dan belakang serta kamera undur turut dilengkapkan sebagai ciri standard.

Sebaik sahaja enjin dihidupkan, anda akan dapat mendengar bunyi yang unik pada derumannya. Ia seakan menggelegak atau menghasilkan bunyi enjin lebih dari empat silinder serta semacam enjin yang mempunyai dua kepala silinder seperti enjin V mahupun boxer. Namun hakikatnya bunyi tersebut terhasil kerana sistem Electronic Sound Generator (ESG) yang diberikan pada kereta ini.

ESG berkenaan akan menghasilkan bunyi dan getaran pada bahagian bawah cermin hadapan, dan kemudian akan menghalakan bunyi tersebut ke dalam kabin. Tidak dinafikan, walaupun bunyi tersebut adalah bunyi enjin palsu, ia sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat anda untuk memandu kereta ini.

Satu lagi ingin diingatkan, bunyi garang sikit-sikit macam V8 tersebut hanya kedengaran dalam kabin, jadi jika anda lalu di hadapan gerai pisang goreng yang sibuk, tak usah nak buat muka poyo dan berharap pandangan orang ramai akan teralih kepada anda kerana bunyi tersebut hanya bergema dan kedengaran di dalam kabin.

Sebagai model GT sebenar (bukan GT-Line yang hanya menampilkan imej sporty pada aspek kosmetik semata-mata), Optima GT ini dijana oleh enjin empat-silinder Theta II 2.0 liter dengan pengecas turbo dan sistem suntikan bahan api terus (T-GDI). Ia berupaya menghasilkan 242 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 350 Nm bermula 1,400 rpm. Ini secara tidak langsung menjadikan Kia Optima GT ini antara model paling berkuasa dalam kelasnya.

Sebagai perbandingan Toyota Camry 2.5L Hybrid hanya menghasilkan 202 hp keseluruhan, Mazda 6 2.5L berkuasa 185 hp/250 Nm dan Honda Accord 2.4L pula berkuasa 173 hp/225 Nm. Manakala bagi pencabarnya dari Eropah yang juga menerima pengecas turbo, Volkswagen Passat 2.0 TSI menghasilkan 217 hp/350 Nm, sementara Ford Mondeo 2.0 liter EcoBoost pula menjana 237 hp/345 Nm.

PANDU UJI: Kia Optima GT – kereta sport untuk Ayah

Digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional enam-kelajuan memacu roda hadapan, Kia Optima GT didakwa mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 7.4 saat dan berupaya mencapai kelajuan maksima 240 km/j. Itu diatas kertas, secara realitinya kereta ini sememangnya memberikan saya senyuman di atas lebuhraya.

Tiga mod pemanduan disediakan untuk pilihan pemandu – ECO akan membuatkan kereta ini seakan malas untuk bergerak dan kecekapan bahan api ditala pada tahap tertinggi, Normal untuk talaan asal kereta ini, manakala mod Sport akan memberikan respon enjin terbaik.

Selain dari tindak balas enjin yang berubah, mod Sport berkenaan turut akan memberikan bunyi ESG yang lebih kuat, manakala paparan TFT-LCD yang sebelum ini memberikan informasi seperti penggunaan bahan api semasa dan jarak perjalanan berubah dengan memberikan bacaan meter kelajuan digital pada bahagian tengah serta tahap penghasilan tork dan tekanan boost turbo di kiri dan kanannya.

Walaupun menurut Kia enjin turbo ini menghasilkan tork maksima seawal 1,400 rpm, enjin ini mengalirkan kuasa dengan agak linear – bermaksud tujahan tork ketika pengecas turbo mula mengasak tidak terasa, sebaliknya pedal pendikit perlu ‘dipepah’ sehingga jarum rpm hampir menyentuh redline bagi merasai kuasa sepenuhnya, seperti enjin NA berkapasiti besar. Ini berkemungkinan kerana enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear dengan nisbah yang agak panjang (gear empat sahaja mampu mencatatkan kelajuan menghampiri 200 km/j).

PANDU UJI: Kia Optima GT – kereta sport untuk Ayah

Menyentuh berkenaan kotak gear pula, ia memberikan penukaran gear yang lancar dan ketika memandu kereta ini secara bersungguh-sungguh, gear juga akan memberikan memberikan sentapan yang mengujakan, tetapi ia seakan tidak cukup laju dan terasa sedikit lag.

Padanan karekter enjin dan transmisi berkenaan tidak ada sebarang masalah ketika anda memandu Optima GT ini di lebuhraya dan sentiasa akan memberikan senyuman ketika mengerah pedal pendikitnya. Namun jika ia dibawa untuk melayan selekoh, anda mungkin akan mempunyai masalah dalam menentukan kedudukan gear. Oh ya, kotak gear ini juga tidak memberikan sebarang ‘throttle blip‘ automatik ketika anda menurunkan gear, dan untuk menurunkan gear secara manual dan agresif adalah hampir mustahil.

Bagaimana pula dengan pengendalian? Sebenarnya sebelum membawa kereta ini untuk ‘berseronok’ di jalan berliku, saya membayangkan Optima GT sebuah kerangka yang menerima talaan seakan kereta-kereta Korea generasi baharu terutamanya Hyundai Elantra Sport 1.6 liter Turbo. Tetapi sangkaan saya kali ini agak meleset.

Kia berjaya menyeimbangkan tahap keselesaan dan juga prestasi sedan ini di mana ia masih lagi selesa dalam masa yang sama tahap olengan badan kekal minimal dan membekalkan cengkaman yang cukup ketika meredah selekoh pada kelajuan tinggi seperti kereta-kereta buatan Eropah. Namun talaan dinamiknya masih lagi seperti Kia yang dahulu – terasa sangat neutral dan kadang-kadang cenderung untuk understeer.

Walaupun pengendaliannnya tidak terasa tajam, namun sedan besar ini sebenarnya masih lagi lincah dan tidak bermasalah untuk menukar arah dari kiri ke kanan atau sebaliknya dalam kelajuan tinggi.

Satu lagi yang agak tidak seronok pada kereta ini adalah stereng bantuan kuasa elektrik (R-MDPS) yang dibekalkan padanya. Pada pendapat peribadi saya sendiri, ia terasa terlalu ringan walaupun dalam mod Sport. Ini menyebabkan ia terasa tidak semula jadi dan sukar untuk mendapatkan maklum balas sebenar dari tayar terhadap permukaan jalan.

Jadi adakah Optima GT ini menrupakan alternatif terbaik dari pesaing-pesaingnya dari Asia yang lain? Jika anda mahukan kelainan, kereta ini sememangnya perlu anda uji dahulu sebelum mengambil keputusan sedan segmen-D mana yang sepadan dengan anda kerana ia mempunyai karekter uniknya tersendiri.

Naza Kia Malaysia juga sepatutnya diberi pujian kerana berani untuk membawa model varian tertinggi ini kepasaran Malaysia, yang mana pengeluar lain dengan jumlah jualan yang jauh lebih besar masih lagi ragu-ragu untuk membawa model-model unik seumpama ini. Saya juga tertanya-tanya, adakah ‘keberanian’ NKM ini adalah petanda mereka juga bakal membawa sedan sport Kia Stinger GT pada masa akan datang?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required