Jika di Amerika Syarikat, musim bermulanya kejuaraan Super Bowl atau liga American Football akan menyaksikan pelbagai syarikat mengeluarkan iklan mereka. Namun berbeza di Malaysia, kerana ‘pesta’ iklan akan bermula ketika musim perayaan, terutamanya tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan juga Deepavali.

Seperti biasa, bermula ramadan tahun ini, pelbagai syarikat telah mengeluarkan iklan raya mereka sama ada yang disiarkan di TV mahupun menerusi saluran maya. Bagi peminat kereta, iklan raya dari UMW Toyota Motors tahun pastinya akan mendapat perhatian anda kerana ia penuh dengan pelbagai model nostalgik dari Toyota.

Iklan dengan tajuk ‘Jalan Cerita Raya’ ini bermula dengan kisah seorang budak bernama Afiq bersama Ayahnya yang mempunyai rutin berjalan-jalan menaiki van Toyota LiteAce, setiap petang setelah Ayah Afiq pulang dari kerja. Rutin ini dilakukan sehingga Afiq bosan, dan walaupun telah meningkat dewasa Afiq masih tidak memahami apa ‘keseronokkan’ sebenar Ayahnya dengan membawanya hanya berjalan-jalan sekitar taman perumahan.

Sehinggalah Afiq berkahwin dan mempunyai anak, giliran anaknya meminta Afiq untuk membawanya bersiar-siar dengan kereta setelah pulang dari kerja. Saat itu, baru Afiq sedar apa sebenarnya tujuan Ayahnya dahulu membawanya berjalan-jalan sekitar taman, setelah ditegur oleh isterinya selepas menolak permintaan anaknya itu.

Agak menyentuh perasaan bukan? Okeh, sebagai seorang yang minat kereta, apa yang anda nampak? Ya, selain dari LiteAce sebagai bintang utama, video dari Toyota ini turut menampilkan Corolla generasi kedua KE20 dengan muka Levin KE25/TE27, Starlet KP60 dengan muka versi “Bugeye” (lampu bulat, keluaran versi pertama), Corolla wagon generasi keempat tiga-pintu KE72 dan juga Toyota Celica generasi ketiga RA60.

Malah watak Afiq ketika remaja sendiri dilihat menggunakan kereta sport lagenda Toyota – Corolla Sprinter Trueno AE86 “zenki” dengan warna Panda hitam-putih lengkap bersama rim ‘pisang’ RS Watanabe. Walau bagaimanapun, watak Afiq yang lebih matang nampaknya diberikan Toyota Vios generasi kedua, dan kemudian SUV funky Toyota C-HR.