Selepas dipertontonkan semasa Geneva Motor Show tahun lepas, Aston Martin akhirnya memperkenalkan secara rasmi Rapide AMR baru, yang kini menjadi model terbaru di bawah jenama sub Rapide, selepas DB11 AMR.
Model ini hanya akan dikeluarkan sebanyak 210 unit, dan syarikat dari British ini menggambarkan ia sebagai “sebuah kenderaan sports yang mampu membawa satu pasukan pelumba ke litar di benua lain, dan apabila tiba di litar, boleh terus digunakan untuk perlumbaan.”
Secara logiknya, model ini mendapat beberapa peningkatan daripada Rapide standard. Enjin V12 5.9 liter NA padanya kini mendapat salur kemasukan udara pada manifold yang lebih besar, diambil daripada Vantage V12 serta kalibrasi baru untuk enjin dan kotak gear automatik Touchtronic lapan kelajuannya.
Hasilnya, kenderaan ini boleh menghasilkan 603 PS pada 7,000 rpm dan 630 Nm tork, kesemuanya dihantar ke roda belakang melalui gandar dengan limited-slip differential. Walaupun dengan perubahan itu, Rapide AMR masih berkongsi catatan pecutan 0-100 km/j yang sama dengan Rapide S, iaitu 4.4 saat, tetapi mempunyai lebih sedikit kelajuan maksimum iaitu 330 km/j (berbanding 327 km/j).
Selain penambahan kuasa, Rapide AMR turut dijadikan lebih dinamik dan lincah untuk mengambil selekoh. Ia kini 10 mm lebih rendah berbanding Rapide S dan penyerap adaptif tiga tahap padanya telah dilaras untuk menyokong inisiatif tersebut.
Bagi memberi kuasa henti pula, sistem brek seramik karbon digunakan, dengan cakera saiz 400 mm di hadapan bersama angkup enam piston, dan cakera 360 mm di belakang bersama angkup empat piston. Buat pertama kali juga, Aston Martin menggunakan rim 21 inci pada model ini, dan apabila ditambah dengan salur udara ke bahagian brek dan pelindung habuk daripada Vanquish S, ia dapat menyejukkan brek.
Secara visualnya, kenderaan ini masih nampak sama seperti model konsep yang ditunjukkan di Geneva, termasuk perincian pada gril, dan lampu siang berbentuk bulat, inspirasi daripada model Zagato. Komponen aerodinamik seperti splitter, sill, diffuser belakang, bonet berskup dan spoiler di belakang semuanya dibuat daripada gentian karbon.
Beberapa pilihan warna dan skema rekaan disediakan kepada pelanggan, tetapi yang lebih ikonik adalah warna Stirling Green dengan kemasan dan jalur Lime seperti dalam gambar. Warna ini memberi kesinambungan kepada model lumba pasukan Aston Martin Racing.
Bahagian dalam juga mengikut skema warna yang sama, dan pelanggan boleh memilih sama ada jahitan AMR Lime ataupun Galena Silver. Konsol tengah gentian karbon penuh dan tempat duduk yang dibalut dengan Alcantara menambahkan ciri sporty pada kenderaan ini dan ia juga pertama kali digunakan pada model Rapide. Setiap kenderaan juga datang dengan plat tanda pemeriksaan AMR, lencana AMR dan plat tepi pintu karbon.
Di United Kingdom, Rapide AMR dijual pada harga 194,950 pound (RM1,040,366), manakala di Amerika Syarikat US$240,000 (RM958,920) dan di Jerman 229,950 euro (RM1,078,010). Kereta ini juga akan ditawarkan di seluruh dunia, kecuali China dan Russia. Penghantaran pula akan bermula pada suku keempat tahun 2018.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.