Tahukah anda bahawa station wagon telah pun wujud sejak sebelum 1930’an lagi? Pada era berkenaan, wagon bukanlah salah satu kenderaan diasaskan dari kereta, tetapi berevolusi dari casis trak, sesuai dengan tugasnya untuk membawa barangan komersil. Tahun demi tahun, station wagon mula dihasilkan dengan lebih kompak yang bukan sahaja boleh digunakan oleh syarikat-syarikat kecil, malah turut boleh dijadikan sebuah kenderaan keluarga yang begitu praktikal.

Namun lama kelamaan, wagon mempunyai satu lagi tarikan yang tersendiri – rupa belakangnya yang seakan hatchback, tetapi lebih panjang membuatkan ia begitu mengiurkan sekiranya sedikit sentuhan sporty diberikan, terutamanya dengan hanya menukar rim berdiameter lebih besar dan badannya direndahkan dari asal. Maka, bermulalah era di mana wagon bukan dibeli kerana kegunaannya, tetapi lebih disebabkan oleh gaya.

Station wagon berwarna kuning yang anda lihat kali ini adalah keluaran Datsun dari siri Sunny dengan kod casis VB110 keluaran tahun 1974. Jika untuk versi sedan, rakyat Malaysia lebih mengenali Datsun ini dengan nama Datsun 1200 atau Datsun ‘Driving School‘. Untuk pengetahuan anda juga, wagon kuning ini juga dipunyai oleh pemilik Toyota Starlet KP61 tiga-pintu yang dipaparkan sebelum ini iaitu En. Hamizan Selamat dari Klang.

Seperti juga Starlet Kambing miliknya, Sunny Wagon ini turut menerima sentuhan Restomod dari Hamizan. Proses bermula dengan meleraikan kesemua bahagian badan kereta ini, dan setiap panel logam pada badan dan kerangka yang berkarat dipulihkan semula. Kemudian, badan kereta ini diberikan warna kuning baharu – macam pernah nampak kuning ni? Ya, bukan kuning Lamborghini, tetapi kuning Myvi Extreme, barulah nampak laju walaupun tak bergerak.

Boleh dikatakan, hampir tiada perubahan rupa diberikan pada bahagian luaran wagon ini. Hamizan hanya memadankan spoiler ‘sodok’ pada dagu hadapan dan juga cermin sisi fender dari Toyota Celica generasi pertama pada kereta ini. Manakala perincian lain seperti gril dan bonet hadapan spesifikasi JDM, bampar dan juga perapi-perapi krom termasuk visor tingkap adalah peralatan asal pada wagon VB110 berkenaan.

Begitu juga pada bahagian dalaman, hampir kesemuanya masih lagi standard kecuali sepasang tempat duduk Recaro Fishnet, tombol gear aftermarket dengan logo Datsun, serta roda stereng kayu dari Nardi. Walau bagaimanapun, bahagian-bahagian yang telah lusuh seperti panel-panel pintu sebelah dalam, pelapik bumbung telah dibalut semula, manakala papan pemuka turut direstorasi untuk rupa yang lebih segar.

Untuk pengetahuan anda, panel penghawa dingin yang terletak pada bahagian bawah papan pemuka kereta ini bukanlah kelengkapan asal kerana ia dijual tanpa sistem tersebut ketika keluar dari bilik pameran dahulu. Hamizan memadankan ‘air-cond gantung’ tersebut ketika proses restorasi kereta ini bagi memastikan pemanduan di tengah cuaca panas bukan sesuatu yang meyeksakan.

Pengubahsuaian yang boleh membuatkan anda ternganga pada kereta ini sebenarnya melibatkan sistem mekanikal termasuk enjin, suspensi dan juga brek. Pada spesifikasi standard, wagon ini dibekalkan enjin siri A Datsun dengan kapasiti 1,200 cc atau lebih dikenali dengan kod A12.

Hamizan mengeluarkan enjin standard tersebut bagi menggantikan dengan enjin juga dari siri A tetapi dengan kapasiti 1,500 cc atau A15 yang selalunya boleh dijumpai pada van Nissan Vannette C20 dan C22.

Pada asasnya, kedua-dua enjin tersebut adalah sama dan cuma dibezakan pada blok yang lebih tinggi pada A15 bagi menghasilkan kapasiti dan kuasa serta tork yang lebih besar, jadi pemadanan enjin tersebut adalah sangat mudah tanpa melibatkan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana cagak enjin.

Enjin tersebut juga tidak dimasukkan terus sebaliknya telah dileraikan terlebih dahulu bukan sahaja untuk dirombak rawat, malah turut menerima pelbagai ubahsuai bagi mengekstrak lebih kuasa kuda.

Menurut Hamizan, bengkel yang bertanggungjawab untuk melahirkan semula wagon ini – Faroib Autosport, Klang – telah melakukan pengubahsuaian custom dengan spesifikasinya tersendiri pada omboh dan juga rod penghubung. Bagi membolehkan kemasukan campuran udara dan bahan api ke kebuk penghantaran, kepala silinder enjin A15 berkenaan turut diberikan pengubahsuaian yang cukup ekstensif.

Aci sesondol asal telah ‘dipotong’ bagi mendapatkan bukaan 275 darjah, manakala injap-injap kemasukan dan ekzos asal telah ditukar dengan unit yang lebih besar. Spring-spring injap turut ditukar dengan unit yang lebih keras bagi membolehkan ia tertutup dengan lebih cepat bagi mengelakkan kebocoran tekanan, manakala liang-liang kemasukan turut dibuat proses port & polish.

Hamizan juga berjaya mendapatkan penutup enjin custom dengan tulisan Tomei 1300 bagi membuatkan enjin ini kelihatan seperti enjin-enjin jentera TS-Cup Datsun yang berlumba di Jepun.

Setelah enjin tersebut diletakkan ke perut wagon ini, sistem suapan bahan apinya pula di bina semula. Hamizan dan Faroib tidak menggunakan sistem karburator asal mahupun karburator perlumbaan, sebaliknya menggunakan sistem suntikan bahan api custom dengan throttle dan trumpet individu bagi setiap silinder.

Sistem suntikan tersebut di kawal oleh kotak komputer standalone dengan pendawaian dan juga sistem pencucuh yang dibina sendiri oleh Faroib Autosport. Kuasa dari enjin dihantar ke gandar belakang menerusi kotak gear lima kelajuan asal yang telah dirombak rawat sepenuhnya oleh bengkel panel Hamizan berkenaan.

Kelengkapan lain yang turut menyokong enjin ini adalah sistem penyejukkan dengan radiator aluminium custom, dan juga tangki petrol dengan custom baffle bersama pam bahan api di dalamnya. Kalau anda perasan juga, kebanyakkan wayar dalam ruang enjin ini telah disorokkan, bateri telah dialihkan ke ruang kargo belakang, manakala unit condenser penghawa dingin juga dipindahkan ke bawah lantai belakang.

Bagi mengendalikan badan yang menerima kuasa yang lebih besar dari sebelum ini, Foraib Autosport turut membina sistem suspensi dengan talaan khusus bagi wagon berkenaan. Suspensi hadapan menerima set penyerap hentak custom bersama pillowball dengan logo Foraib yang dihasilkan oleh Zuhal Fast Johor Bahru, manakala bahagian belakang pula menerima penyerap hentak boleh laras keras-lembut.

Hamizan turut memadankan rim ‘pisang’ yang sangat ringan dari RS Watanabe dari siri Type B dengan dimensi 13×6.5jj di hadapan serta 13x7jj di belakang. Keempat-empat rim berkenaan dibalut dengan tayar semi slick Yokohama Advan AD08 bersaiz 175/60R13, manakala untuk memberhentikan kereta ini dengan lebih cepat pula, angkup brek hadapan menerima unit yang lebih besar dari Alcon digandingkan bersama cakera berliang.

Sekarang, wagon Datsun ini bukan sahaja masih praktikal, malah ia juga sebuah jentera yang laju malah akan membuatkan banyak kepala berpaling kepada di atas jalan raya. Jadi berapa ramai nak join saya jiwa kacau lepas tengok Datsun ini? Cepat angkat tangan!

Kami sedang mencari lebih lagi kereta-kereta custom dan ubahsuai untuk dipaparkan di sini. Jika anda mempunyai kereta menarik untuk ditampilkan, jangan segan silu untuk emailkan butiran lanjut kepada farid@driven.com.my. Kami akan menghubungi anda semula selepas itu