Model asal Audi A1 mula diperkenalkan pada tahun 2010, dan ia menandakan penyertaan baru bagi pengeluar Jerman tersebut dalam segmen supermini. Kini selepas lapan tahun, model baru tahun 2019 diperkenalkan dan ia hanya ditawarkan dalam satu bentuk badan sahaja iaitu Sportback lima-pintu.

Bahagian hadapannya yang agresif melihatkan penggunaan gril ‘singleframe’ lebar dan bukaan udara hiasan (sebenarnya tertutup) yang besar. Anda juga boleh mendapatkan set lampu LED penuh dengan lampu siang yang mempunyai pencahayaan seperti anak panah.

Bumbung berwarna kontras masih lagi disediakan sebagai pilihan tambahan, tetapi bahagian c-pillar kini menggunakan warna sama seperti badan dan dijadikan lebar serta lebih condong. Di belakang, grafik pencahayaan lampunya dijadikan sama seperti lampu di hadapan.

Secara keseluruhannya, 11 pilihan warna disediakan untuk A1, bersama warna yang kontras bagi bahagian cermin sisi, bukaan udara hadapan serta kemasan bawah pintu, untuk menyamai warna bumbung. Anda juga boleh memilih trim S Line yang memberikan bukaan udara lebih besar, belahan lebih lebar di atas gril, side skirt dan juga spoiler belakang. Pilihan rim pula terdiri daripada saiz antara 15 hingga 18 inci.

Rekaan sporty dan lebih tajam seperti di luar juga kini digunakan pada bahagian dalam, dengan konsol tengah yang lebih condong ke arah pemandu. Sepasang corong pendingin hawa mengapit panel instrumen digital 10.25 inci (virtual cockpit 12.3 inci disediakan sebagai pilihan) di hadapan pemandu manakala di hadapan penumpang terdapat corong pendingin hawa bersepadu dengan kemasan berjalur seperti gril.

Bergantung kepada trim, pelanggan boleh memilih pelbagai barangan khas yang antaranya termasuk kemasan pelbagai warna pada corong pendingin hawa, konsol tengah serta pembuka pintu. Anda juga boleh menambah pakej lampu suasana dengan pilihan 30 warna.

Pada bahagian tengah terdapat sistem infotainmen, yang dalam keadaan asal merupakan unit radio MMI yang boleh dikawal menggunakan panel instrumen ataupun butang kawalan di stereng. Jika itu tidak mencukupi, pelanggan boleh memilih MMI Radio Plus dengan skrin sesentuh 8.8 inci dan input tulisan tangan seperti A8, ataupun paling canggih, MMI Navigation Plus yang menggunakan skrin 10.1 inci berserta petunjuk jalan dengan sambungan internet dan Audi Connect.

Barangan tambahan lain yang boleh dipilih untuk A1 ini adalah pakej yang memberikan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan tambahan soket USB-C bersama Audi Phone Box yang datang dengan pengecas telefon tanpa wayar Qi dan kemampuan untuk menggunakan antena kereta sebagai penerima talian telefon.

Terdapat juga pilihan radio digital DAB dan fungsi radio hibrid yang boleh menukar antara penerimaan radio biasa dengan radio atas talian apabila sambungan tidak begitu baik. Untuk audio, pembeli boleh memilih dua sistem bunyi, iaitu pakej lapan pembesar suara 180-watt ataupun Bang & Olufsen premium 11 pembesar suara 560-watt dengan fungsi ‘3D-effect’.

Audi A1 baru ini secara keseluruhannya lapan sentimeter lebih panjang dan 10 mm lebih rendah berbanding model Sportback sebelum ini, dengan ukuran 4.03 panjang, 1.74 meter lebar dan 1.41 meter tinggi. Audi mendakwa ia meningkatkan aspek keselesaan manakala ruang simpanan pula 65 liter lebih besar, menjadi 335 liter, dan boleh dibesarkan sehingga 1,090 liter apabila tempat duduk dibaringkan.

Semasa dilancarkan nanti, hanya akan ada tiga enjin petrol turbo yang ditawarkan iaitu unit tiga silinder 1.0 liter, serta unit empat silinder 1.5 liter dan 2.0 liter. Kuasa maksimum yang boleh dihasilkan terletak antara 95 hp hingga 200 hp, dan kesemuan model kecuali yang paling tinggi (2.0 liter) disediakan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar S-Tronic tujuh kelajuan. Varian 2.0 liter tersebut hanya datang dengan transmisi DCT enam kelajuan.

Di bawah badannya, A1 kini menggunakan platform MQB yang sama seperti Volkswagen Polo dan Seat Ibiza. Ia hanya didatangkan dalam pacuan roda hadapan, dengan bahagian hadapan menggunakan suspensi MacPherson dan bahagian belakang menggunakan torsion beam. Untuk naik taraf, pembeli boleh mendapatkan suspensi sport, penyerap adaptif, mod pemanduan Audi Drive Select dan set brek yang lebih besar dengan angkup berwarna merah.

Pada aspek keselamatan, A1 baru datang secara standard dengan brek kecemasan hadapan autonomous pre sense dan lane departure warning, dan anda boleh menambahnya dengan sistem pre sense basic, adaptive cruise control dengan bantuan stop and go dan hill start assist. Buat pertama kalinya juga, kamera undur ditawarkan sekali sebagai sebahagian daripada pakej parking system plus yang turut memberikan pengesan jarak hadapan, manakala park assist pula kini boleh memasukkan kenderaan ke petak di hadapan secara muncung dahulu.