Semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini, JPJ ada menganjurkan skim mendapatkan lesen B2 secara mudah untuk mereka yang kurang berkemampuan dan tinggal di kawasan pedalaman, dipanggil Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ). Skim ini sudah wujud sejak tahun 2009 dan melibatkan bayaran cuma RM200 dan latihan selama satu minggu.

Walaubagaimanapun, dalam satu sidang media, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah memberitahu bahawa skim ini akan diberhentikan. Laporannya telah disiarkan oleh The Star dan selepas ini, semua orang perlu melalui proses pengambilan lesen yang biasa dilakukan oleh JPJ.

“Sesiapa yang mahu mendapat lesen B2 perlu melalui prosedur biasa melalui institusi memandu. Ini adalah program yang diwujudkan oleh kerajaan sebelum ini. Kementerian telah memutuskan lesen tidak lagi akan diberi dengan cara ini,” tambah Loke.

Berkenaan isu ‘lesen terbang’, Loke memberitahu tindakan akan diambil kepada sesiapa yang menawarkan servis yang dilarang ini dalam media sosial. “Kami telah menemui beberapa laman Facebook yang menawarkan servis ini. JPJ telah membuat laporan kepada pihak polis, dan juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Loke yang turut memberitahu tindakan akan diambil kepada pegawai JPJ yang terlibat.