gempak-mufors-road-safety-campaign 39

Menerusi Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dikendalikan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara, setakat ini seramai 95,413 orang penunggang motosikal memperoleh lesen B2 melalui 24 program yang dijalankan.

Menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Nadzri Siron, jumlah itu membuktikan kejayaan SKSJ yang bertujuan memudahkan masyarakat mendapat lesen menunggang motosikal, laporan Bernama.

“Di Pahang sahaja, seramai 10,352 orang telah menerima manfaat daripada 22 SKSJ yang dilaksanakan sejak diperkenalkan pada tahun 2009, yang membolehkan peserta mendapat lesen pada bayaran RM200,” ujarnya kepada pihak media.

Katanya lagi, pelaksanaan program SKSJ dapat mengurangkan jumlah penunggang motosikal tanpa lesen selain mengeratkan hubungan silaturahim antara JPJ dengan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti riadah. Bukan itu sahaja, program ini juga penting kepada masyarakat Orang Asli yang banyak menggunakan motorsikal dalam urusan seharian mereka.