Bertempat di Pelabuhan Barat Klang (Westport Malaysia) hari ini, Proton secara rasmi melepaskan sejumlah 440 unit Proton Gen2 dan juga 13 unit Persona generasi pertama yang dieksport ke Aqaba, Jordan yang akan diedarkan pada pasaran Timur Tengah. Ini adalah eksport pertama Proton setelah bekerjasama dengan Geely, di mana kali terakhir jenama berkenaan mengeksport kenderaan mereka adalah pada 2017 dengan membawa Iriz ke Indonesia.

Menurut Proton, kereta-kereta berkenaan akan dijual pada pasaran Iraq dan negara-negara jiran yang lain di mana mereka mempunyai kedudukan yang kukuh disana – terbukti apabila terdapat kelab-kelab pemilik Proton yang aktif dirantau tersebut meskipun jumlah eksport yang sedikit dalam masa berberapa tahun yang lalu.

“Majlis ini merupakan titik permulaan buat Proton kerana kami kini meneruskan dan malah meningkatkan penghantaran kereta ke Timur Tengah bagi bulan-bulan akan datang. Ia juga merupakan penghantaran eksport pertama sejak perkongsian dengan Geely dan kami mengharapkan agar pasaran eksport ini menerima pandangan yang positif pada masa akan datang. Jadi, bersiap sedialah untuk lebih banyak pengumuman dari kami bermula Ogos tahun ini,” kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Proton sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi untuk pasaran domestik dan eksport tetapi kerjasama dengan Geely telah memperkenalkan kepada kami pola pemikiran berkualiti bersama dengan sistem audit kualiti yang turut diguna pakai oleh Volvo. Dengan mnggunakan sistem tersebut sebagai rujukan, kami telah berjaya menurunkan mata demerit sebanyak tiga kali ganda kerana kami berhasrat mengeluarkan kereta dengan kualiti yang lebih baik kepada pelanggan,” tambahnya lagi.

Ketua Pegawai Ekskutif Proton, Dr Li Chunrong pula berkata, “Pasaran Timur Tengah memandang tinggi pada produk-produk dari negara-negara Islam seperti Malaysia. Permintaan bagi kereta-kereta akan terus berkembang kerana keadaan ekonomi mereka yang maju dan akan membantu menambahkan lagi peningkatan perniagaan eksport kami. Walau bagaimanapun, pasaran ASEAN kekal sebagai keutamaan bagi perniagaan eksport Proton, jadi kami teruja dengan peluang yang ada di rantau ini.”

Tambah Dr.Li lagi, Proton kini sedang memanfaatkan operasi rangkaian luar negara Geely bagi meningkatkan keberkesanan kos operasinya. “Kami sedang mengenalpasti semua peluang yang ada untuk mengembangkan jumlah eksport untuk Proton. Geely menyokong kuat dalam inisiatif ini dan mereka sangat berpengalaman dalam hal ini, kami berharap untuk memanfaatkannya bagi membolehkan kami menjual lebih banyak kereta di luar Malaysia,” jelasnya.