Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan barisan model-model kenderaan terbaru dari keluarga S-Class untuk pasaran tempatan di sini. Merupakan limosin mewah dengan kelengkapan teknologi paling tinggi serta flagship model bagi pengeluar Jerman ini, pelbagai pembaharuan diperkenalkan. Untuk pasaran global, Mercedes-Benz S-Class ketika ini ditawarkan dalam enam pilihan varian badan yang berbeza.

Model pertama yang juga paling utama ialah Mercedes-Benz S 450 L, yang dilancarkan ini ialah dari versi pemasangan tempatan (CKD). Ia menggunakan enjin dengan kapasiti 3.0 liter enam-silinder V6 petrol. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic, menghasilkan kuasa sebanyak 367 hp pada 5,500-6,000 rpm dan 500 nm tork dari 1,800-4,000 rpm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 5.4 saat. Pecutan maksimum ialah 250 km/j.

Dijual pada harga RM699,888, ia ditawarkan dalam varian atau tingkat kemasan S 450 L AMG Line. Dari segi penampilan luaran, model terbaru ini hadir dengan gril radiator rekaan baru, menampilkan kemasan twin louvres dalam warana krom dan disertai juga oleh palang melintang dalam kemasan hitam berkilat yang memberikannya penampilan bergaya mewah.

Selain itu, rekaan bampar depan dengan ruang aliran udara yang lebih jelas kelihatan serta menyumbang kepada kemaskini penampilannya juga merupakan satu rekaan baru. Di belakang, lampu LED dengan kemasan crystal-look kini lebih menonjol dan unik. Nyalaan lampu ketika mengunci atau membuka kunci kreta ini, serta tiga pasang gentan optik melintang juga ada ciri baru pada model ini.

S-Clas baru ini juga mengenakan bampar belakang dari rekaan baru, dengan kemasan pada ruang ekzos yang nampak lebih jelas – lingaran kemasan luarannya dari elemen krom, meliputi kelebaran jarak yang lebih ketara.

Model paling lengkap dari segi teknologi bagi Mercedes-Benz ini kini mengambil langkah penting dari sudut ciri pemanduan autonomous. Ia kini dilengkapi dengan Active Distance Control Distronic dan Active Steering Assist untuk membantu pemandu mengekalkan jarak selamat kenderaan mereka – sebagai contoh, kelajuannya kini dilaras secara automatik sebaik sahaja pemandu akan tiba di selekoh, simpang atau bulatan.

Ciri baru lampu utama Multibeam LED juga ditawarkan sebagai pilihan, membolehkan larasan pantas tahap pancaran lampu utama dengan lebih cepat dan tepat bergantung kepada keadaan trafik semasa. Larasan lampu utama Ultra Range membolehkan pancaran cahaya maksimum diberikan, seperti yang dibenarkan oleh undang-undang; pancaran utama kekal melebihi tahap 1 lux dan menjangkau jarak lebih daripada 650 meter.

S-Class baru ini menerima penambah baikan dan perubahan yang agak menyeluruh, kini tampil dengan 6,500 komponen baru digunakan berbanding model sebelumnya.

Ruang dalaman tidak ketinggalan daripada menerima pembaharuan. Antara yang utama ialah dua paparan resolusi tinggi, setiap satu dengan skrin 12.3-inci. Ini memberikan satu paparan yang sangat luas dan elegan bagi model ini. Ia memaparkan pelbagai maklumat pemanduan dan multimedia untuk kegunaan pemandu. Dengan kokpit digital sepenuhnya ini, pemandu boleh juga memilih gaya paparan (Klasik, Sporty dan Progresif) dan menentukan sendiri paparan maklumat yang diinginkan.

S-Class baru ini juga hadir dengan butang Touch Control yang sensitif, berfungsi dengan memberi maklumbalas pergerakan leretan tangan, sama seperti telefon pintar. Ia membolehlah pemandu mengendalikan keseluruhan sistem infotainmen tanpa mereka perlu mengalihkan tangan dari stereng. Sistem ini juga boleh dikawal melalui touchpad pada konsol tengah dan juga melalui kawalan suara Linguatronic. Satu lagi ciri baru ialah kendalian operasi ciri Distronic dan cruise control juga boleh dilakukan dari stereng sahaja.

Suasana kabin juga turut ditawarkan dengan sistem pencahayaan dengan teknologi LED dengan 64 warna sebagai ciri pilihan. Selain itu, sistem audio Burmester 1,520 watt melengkapkan lagi pengalaman pemandu dan penumpang ketika berada di dalam kereta ini.

Mercedes-Benz S-Class 450 L AMG Line ini juga ditawarkan dengan pakej pembiayaan khusus kepada pengguna. Dengan ansuran RM8,888 sebulan, pengguna boleh memiliki kereta ini melalui tempoh pembiayaan tiga tahun di bawah EaseCare Financing, yang datang dengan kelebihan tambahan seperti pakej servis, insurance komprehensif untuk tahun pertama dan Agility Financing. Sebagai perbandingan, pembiayaan bagi tempoh tiga tahun tanpa pakej tambah nilai yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz akan mencecah RM16,198 sebulan.

Untuk maklumat lanjut dan terperinci bagi model-model Mercedes-Benz terbaru ini, anda boleh juga layari laman CarBase.my.