GIIAS 2018: Suzuki Jimny generasi baharu akan di pasang di Indonesia, turut akan dieksport ke Thailand

GIIAS 2018: Suzuki Jimny generasi baharu akan di pasang di Indonesia, turut akan dieksport ke Thailand

Kita di Malaysia memang sah lah tidak akan menerima Suzuki Jimny generasi baharu yang telah didedahkan baru-baru ini kerana jenama tersebut tidak lagi bertapak di sini. Namun lain pula ceritanya di Indonesia kerana republik berkenaan bukan sahaja terus akan memasarkan Jimny, malah turut dirancang akan memproduksi SUV kompak ini di salah satu kilang Suzuki dalam negara tersebut.

Perkara ini telah diumumkan oleh Subrono Laras, Presiden Pesuruhjaya PT Indomobil Sukses International di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2018 ketika mendedahkan SUV kecil tersebut untuk dipamerkan kepada umum. Menurut wakil kami ke GIIAS, Danny Tan dari paultan.org Bahasa Inggeris, Jimny menjadi antara model yang paling mendapat tumpuan pengunjung, termasuk presiden Indonesia, Joko Widodo walaupun dipamerkan tanpa pentas khas.

Bulan lalu juga ada dilaporkan bahawa Indonesia akan menjadi pembekal Jimny untuk ke pasaran Thailand, selain dari Jepun. Republik berkenaan akan menghasilkan Jimny dalam varian “Sierra”, iaitu model yang diberikan bampar lebih agresif, over-fender pada setiap perumah roda, dijana enjin 1.5 liter digabungkan dengan kotak gear lima kelajuan manual atau empat-kelajuan auto.

Di Jepun, Jimny masih menggunakan badan standard yang kurang lebar, bersama enjin 660 cc tiga silinder bagi mengekalkannya sebagai sebuah model di bawah undang-undang Kei-Car. SUV ini juga sebenarnya masih kekal dibina menggunakan asas ladder frame; tiga sudut bersama gandar hidup tiga hubungan dan spring gegelung. Digandingkan dengan sistem 4WD separa masa bersama gear peralihan (2H, 4H, 4L), Jimny masih kekal sebagai jentera off-road sebenar, bukan crossover seperti Suzuki Vitara.

‘Pajero kecil’ ini juga turut diberikan dua cross member tambahan bagi memperkuatkan lagi casis serta meningkatkan ketegaran torsi. Ia direka bagi mendapatkan sudut approach 37 darjah, sudut ramp breakover 28 darjah, dan sudut berlepas 49 darjah, bagi membolehkannya ‘memanjat’ pelbagai permukaan bumi tanpa merosakkan bahagian bawah badan.

Walau bagaimanapun, Subroto menyatakan Jimny yang akan diproduksi di Indonesia masih belum ditentukan sama ada hanya diberikan sistem pacuan 4×2 atau 4×4. Syarikat berkenaan masih lagi dalam proses perancangan produk dan menyasarkan harga yang kompetitif dimana sistem 4WD pastinya akan menambah lagi kos.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required