Audi PB18 e-tron – beginikah R8 masa hadapan nanti?

Audi PB18 e-tron – beginikah R8 masa hadapan nanti?

Audi semasa acara Pebble Beach Concours d’Elegance di California telah menunjukkan kereta konsep PB18 e-tron. Nama ini didapati daripada tempat ia ditunjukkan pertama kali ini, serta DNA teknologi yang dikongsi olehnya dengan kereta lumba Audi R18 e-tron LMP1.

Walaupun nampak seperti mempunyai persamaan dengan kereta konsep Audi Aicon, Audi menyatakan ia masih berbeza kerana Aicon lebih kepada kereta mewah automatik manakala PB18 direka lebih kepada untuk dipandu sama ada atas jalan biasa ataupun di litar.

Disebabkan itu, tiada sistem kompleks untuk pemanduan autonomous atau kelengkapan untuk keselesaan pada kereta ini. Apa yang ada di dalamnya cuma satu tempat duduk pemandu yang disepadukan pada kerangka monocoque dalamannya tetapi masih boleh dilungsur untuk pelarasan, ditolak ke tepi untuk dipandu seperti biasa atau memuatkan tempat duduk penumpang. Stereng dan pedal pula menggunakan sistem ride-by-wire.

Pakej PB18 mengikut susun letak tradisional kereta sports enjin di tengah, dengan kabin ditolak ke hadapan, manakala titik graviti tengah terletak di belakang tempat duduk dan di hadapan gandar belakang – memberikan kelebihan kepada dinamik pemanduan. Berat kereta ini cuma 1,550 kg hasil penggunaan aluminium, karbon dan pelbagai lagi bahan komposit lain.

Untuk dimensi, PB18 mempunyai ukuran 4.53 meter panjang, 2.0 meter lebar dan 1.15 meter tinggi, dengan jarak roda 2.7 meter. Ini adalah dimensi sebuah kereta sport, dan apabila dilihat dari tepi, ia mempunyai bumbung yang rendah serta C-pillar yang besar. Ruang kargo pula adalah 470 liter.

Diffuser belakang kenderaan ini mendapat inspirasi daripada sukan permotoran, dan ia boleh dilaras ke bawah untuk meningkatkan tekanan downforce. Sama juga dengan spoiler belakangnya. Untuk rim, kereta ini menggunakan unit 22 inci bersama salur udara keluar dan masuk pada lengkuk roda dan di sebaliknya terdapat cakera brek karbon 19 inci.

Kereta konsep ini menggunakan tiga motor elektrik – satu di hadapan dan dua lagi di belakang. Ia boleh menghasilkan kuasa sebanyak 150 kW untuk gandar hadapan, dan 350 kW untuk gandar belakang. Kuasa maksimum yang boleh dihasilkan adalah 500 kW, tetapi dengan tambahan boost, ia boleh pergi sehingga 570 kW. Jumlah tork keseluruhan pula adalah 830 Nm, membuatkan kereta ini boleh memecut 0-100 km/j di bawah dua saat.

Audi PB18 e-tron – beginikah R8 masa hadapan nanti?

Bateri padu yang disejukkan dengan cecair pada kenderaan ini mempunyai kapasiti tenaga 95 kWh dan apabila dicas penuh, ia boleh membawa kenderaan sehingga jarak 500 km. Ia sudah direka untuk menerima pengecasan 800 volt dan induksi, dan boleh dicas penuh dalam masa cuma 15 minit.

Semasa kegunaan harian, pemandu boleh menetapkan kelajuan maksimum untuk menjimatkan bateri dan mendapatkan jarak lebih jauh. Dalam keadaan biasa, semasa bergerak, PB18 akan menjana semula kuasa untuk mengecas bateri terutamanya apabila membrek. Torque Control Manager pula bekerja sama dengan ESC untuk menyampaikan kuasa kepada gandar yang memerlukan.

Bahagian suspensi kenderaan ini juga menggunakan tetapan yang sudah biasa dilihat pada kereta lumba. Depan dan belakang menggunakan suspensi jenis independent, dan terdapat sistem push-rod pada gandar hadapan dan pull-rod di gandar belakang. Ia bekerja sekali dengan penyerap hentak adaptif magnetic ride.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required