Proton sasar kekalkan momentum dengan serap SST

Proton sasar kekalkan momentum dengan serap SST

Awal minggu ini, Proton telah mengumumkan bahawa mereka akan menyerap Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi kereta-kereta yang didaftarkan pada bulan September ini – di mana cukai berkenaan mula dikenakan pada 1 September, setelah ‘cuti cukai’ yang bermula 1 Jun lalu apabila GST dikadarkan pada sifar peratus tamat.

Menurut Proton, langkah ini adalah bagi memastikan prestasi jualan yang baik bermula Jun lalu dengan jumlah 6,173 buah kereta akan terus kekal. Prestasi jualan berkenaan dilihat meningkat pada Julai dengan 8,012 unit sekaligus mencatatkan prestasi terbaik bukan sahaja untuk tahun 2018, malah terbaik untuk Proton sejak 30 bulan lalu. Ia tidak terhenti setakat itu apabila rekod jualan dipecahkan lagi pada Ogos dengan catatan 9,501 unit – terbaik sejak 35 bulan lalu.

Proton berharap momentum berkenaan dapat dikekalkan dengan meyerap SST pada September ini, serentak dengan promosi-promosi yang dijalankan bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Diskaun bermula RM500 hingga RM1,000 ditawarkan untuk Saga, Iriz dan Persona; manakala Ertiga Xtra yang baru sahaja dilancarkan turut menerima pengurangan harga sehingga RM2,000.

Langkah ini mungkin dilihat tidak mampan kerana ia mungkin hanya akan menarik sekumpulan pelanggan yang membeli kerana musim jualan murah. Dan mengikut senarai-senarai harga yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar lain pula, harga untuk model-model CKD nampaknya turun sedikit dengan SST 10% ini berbanding GST 6% terdahulu.

Proton sasar kekalkan momentum dengan serap SST

Walau bagaimanapun, Proton mempunyai rancangannya sendiri menerusi strategi menyerap cukai SST berkenaan. Menurut pengeluar automotif tempatan tersebut, keputusan untuk mengambil langkah sedemikian adalah untuk “menambah perasaan positif sedia ada kepada pembeli kereta terhadap jenama,” seperti yang ditunjukkan pada prestasi jualan baru-baru ini, dan memberi lebih masa kepada konsumer bagi membuat keputusan, “menyahkan elemen terburu-buru dalam membeli kereta.”

Pelanggan yang gembira berkemungkinan besar akan terus kekal dengan jenama tersebut dengan berkunjung semula ke premis dan pusat servis, yang akan memastikan kereta mereka terus bersama jaringan servis rasmi, menurut Proton lagi. Syarikat tersebut turut berpendapat bahawa pelanggan akan tertarik atas sebab apa yang mereka bayar untuk Proton adalah terus kepada kereta dan bukannya cukai.

“Angka jualan yang memberangsangkan dicapai oleh Proton selama tiga bulan lalu menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai kerana semakin ramai orang yang memilih kereta kami kerana pakej keseluruhan yang ditawarkan. Pelan pemulihan kami kini sedang berjalan jadi kami perlu memastikan pelanggan-pelanggan ini terus kekal dengan memberikan khidmat pelanggan bertaraf tinggi,” kata CEO Proton Edar Abdul Rashid Musa.

“Dengan melaraskan kadar SST kepada sifar untuk semua kereta Proton, kami memberikan pembeli peluang untuk menikmati harga bebas cukai seperti apa yang pelanggan kami nikmati selama tiga bulan sebelum ini. Ini akan memberikan banyak faedah kepada mereka apabila membeli kereta dan akan membantu Proton bagi mengekalkan momentum jualan yang telah dibina sebelum ini,” tambahnya.

Proton sasar kekalkan momentum dengan serap SST

Proton menegaskan bahawa formula kewangan adalah mudah. Dengan menjual lebih banyak kereta, kos jualan, pemasaran dan membina setiap unit seterusnya boleh diagihkan, mengurangkan kos purata. Dengan memulangkan keuntungan ini kepada para pelanggannya, ia akan seolah-olah melabur semula terhadap masa depan jenamanya sendiri, dan ia juga memberi manfaat kepada pembeli kereta, menurut Proton dan menyifatkannya sebagai situasi menang-menang.

Tambahan pula, kos Proton yang lebih rendah sebagai pembuat kereta nasional turut membantu syarikat itu dalam menyerap SST. Ini kerana mereka tiada pek CBU atau CKD yang dikenakan duti import, dan Proton juga menerima pengecualian maksimum duti eksais untuk Program Rangkaian Perindustrian (ILP). ILP direka bagi menggalakkan pemasangan tempatan, jadi dengan menggunakan komponen dari dalam negara, komponen binaan sendiri, enjin yang dihasilkan secara tempatan dan menjalankan usaha R&D dalam negara akan meningkatkan kadar pengecualian.

Dengan menggabungkan kesemua faktor tersebut, harga keseluruhan sebelum SST akan membolehkan (semasa transaksi terakhir kepada pengguna) ia lebih rendah dari CBU atau kereta CKD jenama luar. Kos-kos lain seperti pengangkutan, insuran, jualan dan pemasaran serta margin keuntungan yang perlu diambil kira, masih perlu ditolak oleh Proton bagi menampung pengecualian cukai berkenaan.

Jangan lupa bahawa Proton juga kini sedang giat menaik taraf jaringan pusat-pusat 3S/4S mereka sebelum SUV pertama mereka yang diasaskan dari Geely Boyue menerjah pasaran tidak lama lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required