Serentak dengan majlis penyampaian hadiah untuk pusingan akhir Proton 1-Tank Adventure, jenama automotif dari Malaysia berkenaan turut memperkenalkan MPV enam-tempat duduk Ertiga versi kemaskini digelar Proton Ertiga Xtra.

Kali ini, Ertiga masih kekal dengan tiga versi iaitu varian tertinggi Premium AT (menggantikan Executive Plus sebelum ini), serta dua varian lebih rendah Executive AT dan Executive MT. Jika anda lihat pada bahagian luar, Ertiga masih lagi kelihatan sama, tanpa apa-apa perubahan.

Perbezaan terbesar pada Ertiga Xtra ini berbanding model asal adalah pada bahagian dalaman di mana kini kesemua model menerima fabrik berwarna perang lebih gelap pada tempat duduk dan kemasan pada panel pintu (kemasan lain masih kekal dengan beige), serta diberikan sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 7 inci yang memberikan fungsi, Bluetooth, hubungan Smart E-link kepada telefon pintar bersama pemain DVD. Khas untuk model Premium, ia turut hadir dengan fungsi navigasi GPS.

Ciri lain masih lagi sama di mana model Premium menerima kemasan jalur krom pada perumah lampu kabus hadapan, cermin sisi boleh lipat berkuasa lengkap dengan lampu isyarat membelok, poket pada kedua-dua belakang tempat duduk hadapan (hanya pemandu untuk Executive), pelaras ketinggian pada tempat duduk pemandu, suis kawalan audio pada stereng serta dua tweeter untuk sistem bunyi.

Manakala kesemua model menerima rim 15-inci dengan tayar 185/65R15, pendingin hawa manual, pendingin hawa kabin belakang pada bumbung (dengan kawalan kelajuan motor penghembus), empat pembesar suara, dua soket kuasa 12V (satu lagi untuk tempat duduk baris kedua) serta satu port USB.

Unit janakuasa masih lagi sama dimana kesemua model enjin petrol K14B 1.4 liter DOHC dengan VVT dan sistem suntikan bahan api pelbagai titik dari Suzuki Swift generasi sebelum ini, berkuasa 92 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 130 Nm pada takat 4,000 rpm. Model automatik menerima kotak gear empat kelajuan, manakala manual pula diberikan transmisi lima-kelajuan.

Bagi keselamatan pula, kesemua Ertiga Xtra diberikan dua beg udara, ciri ABS dengan EBD, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang.

Untuk kesemua ini, Proton Ertiga Executive MT dijual pada harga RM56,773 (RM56,713 sebelum ini), Executive AT berharga RM59,525 (RM56,084 sebelum ini) dan Premium RM62,278 (RM62,548 sebelum ini). Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan dengan insuran, tanpa GST mahupun SST – tentunya berbeza selepas 1 September ini setelah rejim cukai SST mula dilaksanakan semula.