Ferrari Monza SP1, SP2 – Speedster retro dengan enjin V12 6.5L, 809 hp/719 Nm; 0-200 km/j hanya 7.9 saat!

Ferrari Monza SP1, SP2 – Speedster retro dengan enjin V12 6.5L, 809 hp/719 Nm; 0-200 km/j hanya 7.9 saat!

Kadang-kala, orang yang tidak berminat dengan kereta turut akan tahu asas rekaan sebuah kereta sport dengan jenama Ferrari – biasanya akan menampilkan rekaan sebuah GT dengan muncung yang panjang dan belakang pendek atau berbentuk supercar sebenar dengan menempatkan enjin di belakang pemandu. Namun dua buah Ferrari yang baru didedahkan sangat berbeza – digelar sebagai Monza SP1 dan SP2, kedua-duanya merupakan speedster tanpa bumbung dengan konsep retro.

Apa yang anda nampak ini bukanlah model konsep, tetapi merupakan model produksi sebenar yang menurut laporan Autocar dihasilkan tidak sampai 500 unit, dengan harga yang dianggarkan mencecah US$3 juta atau sekitar RM12.4 juta, dan hanya akan ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan terbaik sedia ada Ferrari.

Monza SP1 dan SP2 ini diletakkan dalam barisan model Icona baharu, atau lebih tinggi dari kereta-kereta sport lain seperti barisan model 488 dan 812 Superfast, model-model GT seperti Portofino dan GTC4Lusso atau model siri istimewa seperti 488 Pista.

Speedster ini sebenarnya direka dengan inspirasi dari model ikonik 166 MM Barchetta keluaran tahun 1948 dan juga kereta-kereta lumba Ferrari era 50’an seperti 750 Monza dan 860 Monza. Hasilnya, ia kelihatan seperti versi sebenar Mach 5 dari siri animasi Speed Racer, malah lebih agresif kerana tidak diberikan cermin hadapan dan hanya satu tempat duduk untuk SP1; manakala SP2 menerima tempat duduk penumpang disebelah.

Rekaan badan yang diperbuat dari material gentian karbon ini direka ringkas dengan hanya menempatkan gril hadapan yang besar, lampu hadapan yang sangat nipis, liang sisi yang kecil. Manakala pada bahagian belakang, Monza SP1 dan SP2 ini juga diberikan lampu belakang yang nipis bersama diffuser besar yang turut menempatkan empat tip ekzos.

Dengan bentuk yang ringkas ini menyebabkan pintu kedua-dua kereta berkenaan bersaiz sangat kecil. Kokpit kereta ini turut direka minalis sementara Ferrari juga telah membina sistem Virtual Wind Shield bagi memastikan aliran udara tidak mengganggu dengan menghalakan udara ke sekeliling pemandu dan penumpang.

Walau bagaimanapun, aspek kuasa tidaklah seringkas rekaan kereta ini. Kedua-duanya dijana oleh enjin NA 6.5 liter V12 sama seperti Superfast dan menurut Autocar, ia turut menerima sistem kemasukan udara bervariasi seperti pada enjin Formula 1. Enjin tersebut berupaya menjana 809 hp (dari 789 hp) pada takat 8,500 rpm dan tork maksima 719 Nm pada takat 7,000 rpm. Kuasa dialirkan terus ke gandar belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

Ini membolehkan Monza SP1 dan SP2 ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.9 saat, dan mencapai 200 km/j dalam masa hanya 7.9 saat! Jika anda berani, kedua-dua kereta sport ini mampu dikerah melebihi 300 km/j.

Serentak dengan pengenalan dua model ini, Ferrari turut memperkenalkan aksesori dan pakaian yang boleh digayakan bersama, dihasilkan oleh jenama mewah Loro Piana dan Berluti. Ferrari menyatakan bahawa barangan yang termasuk overalls perlumbaan, jersi, topi keledar, sarung tangan, skaf dan kasut memandu berkenaan merupakan berberapa solusi teknikal bagi “memastikan keselesaan dan pergerakan bebas ketika memandu.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required