Pelanggan yang kaki lumba pastinya mampu tersenyum lebar apabila Ferrari telah memperkenalkan spesifikasi unik ‘Piloti Ferrari’ sempena dengan pelancaran 488 Pista.

Menerusi program Tailor Made kendalian syarikat ini, jentera tersebut diinspirasikan oleh AF Corse’s #51 488 GTE, yang dimenangi oleh Alessandro Pier Guidi dan James Calado dalam FIA World Endurance Championship (WEC) 2017.

Bahagian luarannya turut menampilkan jaluran dengan warna bendera Itali, serta ditampilkan bersama logo WEC dan perkataan “PRO” yang menunjukkan kelas #51 yang disertainya. Di samping itu, terdapat satu lagi set yang didatangkan dengan jaluran bertemakan Itali dan nombor perlumbaan persendirian mengikut kemahuan pelanggan.

S-duct hitam pekat dan spoiler belakang serta corong udara gentian karbon antara bahagian yang menerima sentuhan peribadi bagi luaran. Hanya ditawarkan dengan empat warna – Rosso Corsa, Blu Tour De France, Nero Daytona dan Argento Nürburgring – yang akan ditawarkan untuk model ini, di mana kesemuanya diinspirasikan daripada sukan permotoran dunia.

Untuk bahagian dalamnya pula, banyak sentuhan hitam Alcantara menjadi pilihan termasuk pada tempat duduk yang turut ditampilkan dengan bendera Itali pada perehat belakang. Malahan lebih banyak warna bertemakan bendera Itali turut menjadi pilihan termasuk pada pedal penukar gear dan alas lantai – dengan pilihan fabrik teknikal bagi seluruh jenis permaidani.

Bagi membuatkan pelanggan merasai sesuai yang lebih istimewa, nombor perlumbaan turut diletakkan pada roda stereng dan juga plat pengenalan eksklusif. Semua bahagian dengan kekemasan gentian karbon didatangkan dengan sentuhan matte dan logo ‘Tailor Made’ berkemasan karbon.

Tiada perubahan mekanikal bagi jentera khas ini, ia masih menggunakan enjin 3.9 liter turbo berkembar V8 dengan hamburan kuasa 720 PS (710 hp) pada 8,000 rpm dan tork 770 Nm. Pemenang anugerah Enjin Antarabangsa Tahunan 2018 ini hanya memerlukan 2.85 saat untuk pacuan 0-100 km/j dan mampu mencapai kelajuan tertinggi sehingga 340 km/j.

Namun bukan semua pencinta Ferrari yang layak untuk memiliki jentera khas ini. Hanya pelanggan yang terlibat dengan program permotoran anjuran jenama ini sahaja yang dibenarkan untuk membelinya. Jika berminat, jangan lupa untuk menyertai program Corse Clienti (Challenge, XX, F1 Clienti) terlebih dahulu.