Mazda mahu perkenalkan semula enjin rotary pada EV – kenapa, apa kelebihannya, Mazda 3 model pertama?

Mazda mahu perkenalkan semula enjin rotary pada EV – kenapa, apa kelebihannya, Mazda 3 model pertama?

Mazda telah menyiarkan perincian lanjut berkenaan rancangan masa hadapan syarikat dalam satu taklimat yang diadakan baru-baru ini, dengan menyentuh topik berkaitan ‘Sustainable Zoom-Zoom 2030’. Ini termasuklah kemunculan semula enjin rotary sebagai penambah jarak untuk kenderaan elektrik (mereka panggilnya sebagai xEV).

Mengimbas kembali informasi yang ada sebelum ini, Mazda telah pun memberitahu beberapa teknologi yang sedang dibangukan seperti enjin penyalaan mampatan Skyactiv-X, SkyActiv-Vehicle Architecture dan juga fasa kedua untuk falsafah rekaan Kodo mereka.

Syarikat dari Jepun ini juga mensasarkan pengurangan emisi karbon daripada kenderaan mereka sehingga 50% daripada tahap yang dicatat pada tahun 2010 menjelang 2030, dan 90% menjelang 2050. Walaupun begitu, mereka masih tidak percaya enjin pembakaran dalaman akan pupus dalam masa terdekat, jadi ia tidak mengganggu sasaran mereka. Mazda seterusnya melibatkan diri dalam penyelidikan bahan api bio alga dengan pakar akademik dan Institut Teknologi Jepun.

Berikutan pengkomersialan enjin Skyactiv-X, semua kenderaan Mazda akan mempunyai bantuan sistem elektrik, dengan 95% daripadanya adalah jenis hibrid, manakala selebihnya adalah kenderaan elektrik penuh (EV). Langkah seperti ini perlu dilakukan untuk pasaran seperti Amerika Syarikat, Eropah dan China, di mana peraturan emisinya adalah lebih ketat dan semakin meningkat.

Mazda memberitahu, kenderaan EV mereka akan dibangunkan sepenuhnya oleh syarikat sendiri dengan mengikut tiga konsep penting, dan yang pertama adalah “keseronokan memandu”. Kita juga sudah mendengar banyak kali tentang falsafah ‘Jinba-Ittai’ syarikat itu, dan mereka mahu menjadikannya realiti dengan memberikan penyatuan rasa antara pemandu dengan kenderaan EV tersebut.

Salah satu cara untuk mencapai perkara ini adalah dengan meletakkan teknologi G-Vectoring Control (GVC). Pada kenderaan enjin pembakaran dalaman biasa (ICE), GVC mengawal tingkah laku kenderaan dengan mengurangkan tork enjin, tapi pada kenderaan EV, ia juga mengawal sistem penjanaan semula kuasa brek. Model EV juga akan menerima sistem torque vectoring by brake GVC Plus seperti yang terdapat pada CX-5 terbaru.

Mazda mahu perkenalkan semula enjin rotary pada EV – kenapa, apa kelebihannya, Mazda 3 model pertama?

Topik yang paling menjadi perhatian sudah tentu adalah enjin rotary. Sebelum ini kita sudah diberitahu sistem rotary ini akan digunakan sebagai penambah jarak, tapi kenapa? Menurut Mazda, pergerakan berputar rotor (pada enjin rotary) membenarkan enjin tersebut disepadukan dengan motor elektrik yang mempunyai struktur berpusing yang hampir sama. Ini seterusnya menjadikan rekaannya lebih kompak dan ringan, serta lebih kebebasan untuk mereka ruang enjin.

Selain daripada itu, enjin rotary juga tidak mempunyai sistem injap, lebih seimbang, menawarkan pembakaran lebih lancar dan mempunyai struktur yang lebih ringkas. Semua karekter ini menghasilkan gegaran serta bunyi yang rendah pada pelbagai frekuensi – NVH lebih bagus.

Tambah Mazda lagi, enjin rotary akan menjadi asas untuk xEV mereka, dengan kombinasi generator, bateri serta tangki bahan api yang berbeza, seterusnya membenarkan mereka menawarkannya dalam pelbagai jenis xEV seperti hibrid, plug-in hybrid atau range extender, tetapi masih menggunakan pakej kenderaan yang sama.

Mazda mahu perkenalkan semula enjin rotary pada EV – kenapa, apa kelebihannya, Mazda 3 model pertama?

Aspek serba boleh ini juga membenarkan tahap penggunaan elektrik yang berbeza, bergantung kepada campuran tenaga untuk pasaran tertentu. Sebagai contoh, negara yang menggunakan elektrik daripada sumber asli, tapi kekurangan infrastruktur mengecas kenderaan boleh memilih kenderaan range extender manakala negara yang bergantung kepada tumbuhan boleh memilih plug-in hybrid atau hibrid lain memandangkan ia lebih bermanfaat untuk mengurangkan emisi karbon.

Mazda juga mendakwa enjin rotary mereka boleh digunakan dengan pelbagai jenis bahan api, termasuk gas petroleum cecair (LPG), gas asli termampat (CNG) dan juga hidrogen, sekaligus meluaskan lagi penggunaannya. Mereka juga memberitahu, EV dengan enjin rotary boleh digunakan sebagai generator dalam keadaan kecemasan, dikuasakan oleh LPG.

Melihat kepada topik ketersambungan pula, kenderaan masa hadapan Mazda akan ditawarkan dengan kemudahan digital seperti telefon pintar yang disokong oleh servis telematik dan peranti komunikasi dalaman yang mengambil manfaat daripada gabungan mereka dengan Toyota.

Berkenaan bila kita akan dapat melihat teknologi ini, Mazda memberitahu mereka sudah pun memulakan kerja untuk EV dan ujian pertama dirancang berlaku tahun hadapan dan pelancaran pada tahun 2020. Berita yang lebih menarik, Mazda ada memberi tanda model terawal yang akan memuatkan teknologi baru ini seperti Mazda 3, tetapi kita harus menunggu, mungkin waktu Los Angeles Auto Show bulan hadapan untuk mengetahui selanjutnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required