Mazda SkyActiv-X – bakal digandingkan dengan ciri elektrifikasi lain untuk lebih penjimatan dan cekap

Mazda SkyActiv-X – bakal digandingkan dengan ciri elektrifikasi lain untuk lebih penjimatan dan cekap

Jika anda mengikuti perkembangan Mazda diperingkat global, teknologi enjin SkyActiv-X mungkin sudah banyak kali didengar. Ia diumumkan pertama kali sejak Oktober tahun lalu, dan paling awal akan digunakan dalam model kenderaan produksi jenama itu pada 2019 nanti. Jadi, apa sebenarnya perancangan Mazda dengan enjin baru ini?

Jika model-model dengan “6.5 Generation Technology” bagi kemaskini kenderaan tahun 2018 menjadi perantara dengan menampilkan peningkatan bagi model-model sedia ada Mazda (dari generasi ke-enam) dengan model generasi akan datangnya – ini antara lain melibatkan kemaskini pada barisan enjin SkyActiv-G dan juga SkyActiv-D – barisan enjin SkyActiv-X pula akan menandakan kehadiran penawaran model-model generasi ke-tujuh daripada Mazda.

Ketika sesi bersama wakil media ASEAN yang berlangsung di Hokkaido, Jepun minggu lalu, antara perkara yang turut diberi penekanan ialah berkaitan teknologi enjin baru SkyActiv-X ini dan arah tuju Mazda selepas ini. Menurut Pengurus Besar di Pejabat Perniagaan Asean Mazda, Susumu Niinai, enjin SkyActiv-X akan ditawarkan sebagai pilihan yang paling tinggi bagi model dan varian yang ada.

Mazda SkyActiv-X – bakal digandingkan dengan ciri elektrifikasi lain untuk lebih penjimatan dan cekap

“Maksudnya, pilihan terhadap barisan enjin SkyActiv-G dan SkyActiv-D masih tetap akan ditawarkan selepas ini. Bagi SkyActiv-X, dengan tekonologi yang ada padanya, ia lebih sesuai ditawarkan sebagai pilihan varian dengan spesifikasi lengkap dan harga yang lebih tinggi,” jelasnya.

Seperkara lagi, penawaran bagi model-model dengan enjin SkyActiv-X ini juga akan hadir dengan gandingan ciri atau sistem elektrifikasi, dan bukan enjin pembakaran dalaman semata-mata. “Sebagai contoh, ciri seperti i-Stop dan juga regenerative braking,” jelas beliau.

Namun, hal ini bukanlah sesuatu yang terlalu asing bagi Mazda, kerana model-model semasa yang ditawarkan ketika ini juga sudah ditawarkan dengan ciri seperti i-Stop yang dimaksudkan itu. Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kadar penggunaan ciri elektrifikasi pada model-model SkyActiv-X akan bertambah lebih banyak. Sistem mild hybrid atau hibrid penuh mungkin? Dengan kehadiran Toyota yang kini menjadi rakan usahama, siapa tahu itu akan menjadi kenyataan kelak.

Mazda SkyActiv-X – bakal digandingkan dengan ciri elektrifikasi lain untuk lebih penjimatan dan cekap

Jadi, apa yang gempak sangat dengan teknologi enjin SkyActiv-X? Dalam bahasa mudah, ia menemukan kelebihan-kelebihan yang ada pada enjin petrol (janaan output, pemanasan dan exhaust purification) dan juga enjin diesel (penjimatan bahan api, kelebihan tork dan maklum balas) di dalam satu enjin.

Ia merupakan lanjutan daripada pendekatan enjin Homogeneous Charge Compression Ignitinion (HCCI) yang pernah dibangunkan oleh pengeluar lain sebelum ini. Namun, terdapat satu masalah utama dengan enjin jenis ini; amat sukar untuk mencapai peralihan yang stabil antara spark ignition (SI) (pendekatan pada enjin petrol konvensional) dan compression ignition (CI) (pendekatan pada enjin diesel) yang menjadikan pembakaran dalam enjin berkenaan tidak cekap.

Mazda kemudiannya menemukan titik penyelesaian kepada masalah ini – dengan pendekatan yang dikenali sebagai Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI). Dengan cara ini, peralihan antara SI dan CI akan ditentukan oleh tekanan di dalam silinder serta permulaan pembakarannya turut dikawal melalui pencucuh.

Kelebihan cara ini ialah ia membolehkan ia mendapatkan nisbah udara yang lebih banyak dalam campuran udara-bahan api (lean mixture) yang masuk ke kebuk pembakaran, seterusnya mencapai penjimatan petrol yang lebih tinggi. Ia juga boleh berlangsung di dalam jumlah bebanan dan kelajuan enjin (rpm) yang lebih konsisten dan di dalam julat yang lebih meluas.

Menurut Mazda lagi, ketika membangunkan prototaip untuk teknologi SkyActiv-X ini, mereka hanya menggunakan enjin 2.0 liter. Enjin baru ini juga turut dilengkapi dengan supercharger mekanikal dan menggunakan palam pencucuh biasa. Tetapi, pendekatan ini tetapi boleh dilakukan terhadap enjin-enjin dengan kapasiti lain yang Mazda miliki, sekiranya ada keperluan untuk itu.

Bagi pengguna pula, selain penjimatan minyak sehingga 20% berbanding enjin SkyActiv-D atau 45% lebih jimat berbanding enjin SkyActiv-G sebelumnya, pemanduan juga disifatkan lebih lancar dan responsif, terutama ketika ingin memulakan perjalanan.

Apa pun tanggapan terhadap perkembangan ini, Mazda sebenarnya telah membuktikan satu perkara. Bergerak ke hadapan, syarikat itu masih melihat enjin pembakaran dalaman masih lagi relevan untuk satu jangka wakti yang panjang. Apatah lagi ketika mengambil kira gandingan sistem elektrifikasi moden dan “hijau” yang semakin menjadi keutamaan ketika ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required