Mazda kemaskini produk 2018 sebagai cerminan ciri, teknologi kepada model-model generasi akan datang

Mazda kemaskini produk 2018 sebagai cerminan ciri, teknologi kepada model-model generasi akan datang

Barisan model kenderaan Mazda yang menerima kemaskini bagi tahun 2018 bukanlah sekadar melibatkan hal-hal remeh seperti yang kadang kala dilakukan oleh sesetengah jenama, yang biasanya bertujuan untuk menyuntik sedikit kesegaran dan memberikan penampilan kosmetik baru semata-mata.

Jika ingin dirujuk sebagai facelift dalam maksud mudah yang biasa difahami, peningkatan yang dilakukan sebenarnya lebih daripada itu. Jika ingin dirujuk sebagai kenderaan generasi baru Mazda juga tidak tepat – kerana pengeluar kenderaan yang berpangkalan di Hiroshima itu memang dalam proses untuk memperkenalkan model-model generasi akan datang dengan teknologi terkini; paling awal mungkin bermula pada 2019 nanti.

Untuk memahami apa yang cuba dilakukan Mazda melalui model-model yang dikemaskini sebagai produk tahun 2018, ia adalah seperti “jambatan” antara model-model semasa dengan model-model akan datang yang bakal dikeluarkan kelak.

Mazda kemaskini produk 2018 sebagai cerminan ciri, teknologi kepada model-model generasi akan datang

Produk yang menerima kemaskini 2018 ini secara langsung menerapkan serta menampilkan sebahagian daripada konsep dan teknologi yang akan melengkapi model kenderaan generasi baru Mazda nanti. Mengikut istilah dalaman yang digunakan Mazda, ia dirujuk sebagai “6.5 Generation Techology”.

Model-model terbaru yang telah diperkenalkan dan melibatkan kemaskini 2018 produk yang dimaksudkan ini ialah seperti Mazda CX-5, SUV CX-8 (dilancarkan untuk pasaran Jepun pada September 2017), Mazda 6 (penampilan sulung di LA Motor Show tahun lalu) dan akan datang ialah Mazda CX-3 facelift, yang dijangka akan diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Jepun dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurut Mazda, mereka ingin memberikan pengalaman pemanduan tanpa tekanan terhadap pemandu, dan untuk mencapai perkara itu, antara perkara yang ingin dicapai melalui kemaskini berkenaan ialah rasa penyampaian prestasi yang bersahaja – antaranya melalui peningkatan yang dilakukan pada barisan enjin SkyActiv-G dan SkyActiv-D.

Enjin SkyActiv-G (2.0L/2.5L) yang merupakan enjin produksi dengan nisbah mampatan 14:1 yang merupakan tertinggi di dunia kini dipertingkatkan kecekapannya sehingga 15% serta tork low-and-mid-range yang ditambah baik juga sebanyak 15% – memberikan prestasi enjin yang lebih baik.

Tidak hanya itu, teknologi baru dikenali sebagai nyah-aktif silinder (cylinder deactivation) juga sudah diperkenalkan pada enjin 2.5 liter (pada Mazda 6 2018 misalnya) – ciri yang membolehkan enjin berfungsi hanya dengan dua silinder berbanding empat silinder dan memberikan kelebihan kecekapan pembakaran sekaligus penjimatan minyak kepada enjin berkenaan dalam kegunaan dunia sebenar.

Lain-lain perkara yang turut menerima penambahbaikan bagi aspek enjin ini ialah mengurangkan rintangan mekanikal dan knock resistance yang telah diperbaiki – yang turut menyumbang kepada peningkatan tork pada semua tahap rpm – serta kadar pembebasan emisi yang lebih bersih hasil daripada penggunaan teknologi suntikan minyak yang maju.

Mazda kemaskini produk 2018 sebagai cerminan ciri, teknologi kepada model-model generasi akan datang

Enjin SkyActiv-D juga menerima peningkatan dan kemaskini yang sama. Ia kini lebih jimat bahan api, kurang bising dan lebih lancar pada kadar rev yang tinggi. Kadar pembebasan sisa bakar yang lebih bersih juga mampu dicapai dengan pendekatan Rapid Multi-Stage Combustion – yang menjadikan semburan bahan api lebih halus dan suntikan pelbagai peringkat.

Kualiti dinamik juga tidak ketinggalan untuk diberi perhatian oleh Mazda, terutama pada dua model Mazda6 dan CX-3 yang akan diperkenalkan nanti. Ia mengaplikasi konsep yang berteraskan manusia dan bagaimana cara mereka mendengar. Dalam bahasa mudah, antara yang diterapkan adalah untuk menjadikan perubahan kadar kebisingan dan keselesaan dalam kabin lebih linear dan tidak disedari oleh pemandu dan penumpang.

Dari aspek keselamatan, adalah menjadi matlamat Mazda untuk menjadikan ciri i-ACTIVESENSE sebagai standard bagi semua model. Teknologi ini direka untuk memberikan sokongan pemanduan menyeluruh kepada pemandu dalam apa juga situasi dan menghindari kemalangan, atau sekiranya ia berlaku, dapat mengurangkan kecederaan.

Mazda kemaskini produk 2018 sebagai cerminan ciri, teknologi kepada model-model generasi akan datang

Antara tambahan terbaru sistem ini ialah ciri Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dengan fungsi Stop & Go. Ia membolehkan kenderaan Mazda yang ditawarkan dengan ciri ini mengikut dan berhenti dalam jarak selamat dari kereta di hadapan, memaklumkan pemandu sekiranya kereta di hadapan itu telah bergerak serta ciri Stop & Go yang membolehkan kereta berkenaan meningkatkan kelajuan sebaik sahaja pemandu mula menggerakkannya.

Ciri 360-degree View Monitor juga menjadi tambahan terbaru, seperi yang ditawarkan pada Mazda6 2018. Ciri ini membolehkan pemandu melihat halangan yang berada pada titik buta, mencantum imej-imej dari empat kamera untuk menyediakan pemandangan keliling kenderaan. Mungkin ciri-ciri ini bukanlah sesuatu yang baru dalam pasaran, tetapi untuk ia ditawarkan pada kenderaan peringkat umum seperti Mazda adalah sesuatu yang sangat bermakna.

Mazda kemaskini produk 2018 sebagai cerminan ciri, teknologi kepada model-model generasi akan datang

Terakhir adalah pendekatan dan kualiti rekaan yang diberikan. Dua model terkini Mazda sudahpun diterapkan dengan perkara ini. Pertama, model SUV tiga barisan tempat duduk Mazda CX-8 yang menampilkan kualiti sentuhan yang jauh berbeza dari model-model sebelum ini. Kedua, Mazda6 yang tampil dengan pendekataan rekaan papan pemuka serta ruang kabin serba baru yang menjadi cerminan terhadap penawaran masa depan dari Mazda.

Inilah yang merupakan kerangka dalam gerak kerja Mazda bagi model dengan kemaskini produk bagi tahun 2018. Ikuti juga laporan kami berkaitan ciri i-ACTIV AWD yang dikemaskini dan pengalaman kami di litar ujian musim sejuk Mazda di Kenbuchi Proving Ground, Hokkaido nanti di ruangan ini.

Mazda CX-8 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required