Sebelum wujudnya Bugatti Veyron, tidak banyak pilihan hypercar yang muncul dipasaran. Namun ketika itu, kereta produksi paling pantas di dunia bukanlah Ferrari atau Lamborghini, sebaliknya supercar tiga tempat duduk dari British iaitu McLaren F1. Tahun ini, McLaren kembali menghasilkan satu lagi model yang menempatkan pemandu di tengah kereta sebagai pewaris kepada F1, dan ia gelar sebagai McLaren Speedtail.

“Hyper-GT” ini diberikan muka yang hampir sama dengan model-model terkini McLaren seperti 675LT dan juga Senna, tampil dengan lampu hadapan nipis. Tetapi pada bahagian tengah, pengaruh F1 mula kelihatan dengan kokpit berbentuk ‘air mata’, dan juga pembahagi pada bahagian tingkap pintu. Garis badan dari hadapan terus di bawa landai ke belakang.

Hampir keselruhan panel belakang adalah sebahagian dari diffuser, dan turut menempatkan lampu di reka sangat ringkas manampilkan satu bar LED pada setiap sisi, serta dua tip ekzos oval bersaiz besar.

Menurut McLaren, walaupun badan gentian karbon Speedtail ini agak ringkas, setiap perinciannya adalah untuk membantu aspek aerodinamik kereta ini. Penutup statik pada rim hadapan misalnya, ia adalah untuk membantu aliran udara ke pelbagai liang udara pada badan kereta berkenaan.

Tiada sebarang sayap diberikan pada bahagian belakang, tetapi ia diberikan sepasang aileron pada setiap panel sisi. Aileron tersebut kelihatan seperti tetap, namun dengan penggunaan material gentian karbon fleksibel, ia sebenarnya boleh dilaras dengan menggunakan actuator hidraulik, bagi membantu Speedtail seperti ketika memberhenti, dan juga ketika mencapai kelajuan maksima.

Aspek aerodinamik kereta ini turut dibantu dengan sistem Velocity Active Chassis Control. Dengan menekan butang mod Velocity, ia akan melaras sudut aileron belakang, menyembunyikan kamera sisi, dan kereta ini akan direndahkan 35 mm lagi bagi merapatkan badan ke permukaan tanah pada jarak hanya 1,120 mm untuk membolehkan ia mencapai kelajuan 402 km/j (250 bs/j).

Bahagian dalaman kereta ini turut di reka ringkas. Papan pemukanya terdiri daripada tiga skrin paparan dan stereng dengan tiga jejari terletak pada bahagian tengah, sementara butang suis penghidup enjin, butang pilihan gear dan lain-lain diletakkan di bahagian bumbung. Tiada cermin sisi tradisional pada kereta ini, dan ia digantikan dengan kamera yang boleh disorokkan pada pintu, dan paparannya boleh dilihat pada skrin papan pemuka.

Susunan tempat duduk Speedtail turut menyerupai F1 di mana dua buah tempat duduk penumpang diletakkan pada belakang sisi kiri dan kanan pemandu. Walaupun keseluruhan bahagian atas kabin ini adalah kaca, jumlah cahaya yang boleh masuk ke dalamnya boleh dikawal kerana ia diperbuat dari cermin electrochromic. Manakala ruang penyimpanan disediakan pada bahagian hadapan dan belakang hyper-GT ini – pelanggan turut ditawarkan beg khas Speedtail bagi dipadankan pada ruang tersebut.

McLaren tidak mendedahkan spesifikasi unit janakuasa Speedtail, namun mereka mengesahkan ia dibekalkan dengan kuasa 1,035 hp dari unit hibrid petrol-elektrik. Ini membolehkan kereta dengan berat hanya 1,430kg tersebut memecut dari kedudukan pegun ke 299 km/j (186 bs/j) dalam masa hanya 12.8 saat atau 2.7 saat lebih pantas dari McLaren P1 yang berkuasa 903 hp. Seperti dinyatakan tadi, kereta ini mampu mencapai kelajuan maksima 402 km/j.

Hyper-GT McLaren Speedtail ini dijual pada harga bermula 1,970,000 pound British (RM10,541,846). Walau bagaimanapun, pembuat kereta sport tersebut hanya menghasilkan sejumlah 106 unit Speedtail (sama seperti produksi McLaren F1 dahulu) dan kesemuanya sudahpun habis dijual sebelum kereta ini didedahkan – McLaren Special Operations (MSO) turut menawarkan pilihan lencana yang diperbuat dari emas putih 18-karat. Pelanggan pertama Speedtail ini dijangka akan menerima kereta mereka pada awal tahun 2020 nanti.