Kerusi kanak-kanak diwajibkan mulai 2020 – Loke

Kerusi kanak-kanak diwajibkan mulai 2020 – Loke

Peraturan mewajibkan penggunaan kerusi khas kanak-kanak di dalam kenderaan persendirian, yang sepatutnya dilaksanakan pada 2019, ditangguhkan setahun lagi iaitu dikuatkuasakan pada 2020.

Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, sebelum ia dilaksanakan secara mandatori, pihaknya akan menjalankan beberapa program kesedaran tentang kepentingan kerusi keselamatan bayi kepada orang ramai sepanjang tahun 2019, laporan Bernama.

“Sepatutnya, perancangan untuk mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bayi adalah pada tahun ini tetapi selepas perbincangan dengan Miros (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia), kami dapati industri ini belum bersedia, tidak cukup bekalan, tidak cukup stok dan kami juga mahu memastikan kos (kerusi bayi) lebih mampu (untuk pembeli),” katanya.

Kerusi kanak-kanak diwajibkan mulai 2020 – Loke

Menurut Loke, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) agar tidak mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap pembelian kerusi keselamatan bayi supaya harganya lebih murah.

“Diharapkan MOF menerima cadangan kami dan sekiranya terdapat sebarang pengumuman positif, kami berharap ia akan diumumkan Jumaat ini,” kata Loke.

Mungkin ada yang beranggapan kerusi khas kanak-kanak ini agak mahal dan anda kurang berkemampuan untuk membelinya. Tetapi tolonglah fikirkan dan utamakan soal keselamatan si kecil anda. Malang tidak berbau, namun tanggungjawab kita sebagai orang dewasa untuk memastikan agar keselamatan si kecil diletakkan di aras yang tertinggi.

Untuk kanak-kanak di bawah berat 25 kg (berat adalah ukuran lebih tepat berbanding usia) haruslah diletakkan di kerusi khas kanak-kanak (Kumpulan 0+, 1 dan 2, kerusi berkenaan diposisi menghadap belakang) dan bagi yang di bawah berat 36 kg pula boleh duduk di tempat duduk biasa dengan tambahan pemasangan booster seat atau booster cushion (Kumpulan 3) tetapi dalam masa yang sama pastikan dipakai tali pinggang keledar. Ini adalah satu keperluan, bukan sekadar pilihan.

Dan mereka juga perlu didudukkan di tempat duduk penumpang belakang, bukan di hadapan. Ini bagi menjauhkan mereka daripada beg udara hadapan yang akan terkeluar sekiranya berlaku kemalangan. Anda hanya boleh menempatkan kerusi khas kanak-kanak atau booster seat di tempat duduk hadapan sekiranya ada suis untuk mematikan beg udara di bahagian penumpang hadapan (tidak semua kereta didatangkan dengan fungsi itu), tetapi ini hanya pilihan terakhir (terutamanya jika bimbang si kecil anda mengamuk, meragam atau tantrum bila kena duduk seorang diri di belakang).

BUkan itu sahaja, tolong jangan sesekali memangku si kecil bila duduk di hadapan, paling ‘dahsyat’ dan kurang berhemah; ketika sedang memandu. Pegangan tangan anda tidak begitu kuat untuk menahan si kecil anda sekiranya terlibat dalam kemalangan, malah ia juga sangat berbahaya bila beg udara terkeluar. Ia kemungkinan mampu memberikan kecederaan parah pada si kecil termasuk terpatah leher, tengkorak retak dan sebagainya.

Maka, sekali lagi kami di paultan.org menyeru untuk anda mempertingkatkan lagi tahap keselamatan si kecil, berfikirlah secara rasional, betapa pentingnya penggunaan kerusi khas untuk mereka. Biarpun harus berbelanja lebih untuk membelinya, demi keselamatan si kecil, silalah pertimbangkanlah perkara ini. Bukan tunggu peraturannya dikuatkuasakan, tetapi lakukanlah sekarang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required